Lebih kurang tiga minggu sebelum
bertolak ke Natal, Malaysia dilanda demam PRU 13. Beberapa hari setelah tarikh
pilihanraya diumumkan, saya mengambil keputusan untuk pulang secara solo ke
Malaysia untuk menguruskan beberapa urusan, termasuk menziarahi kedua ibu bapa
yang telah agak lama saya tidak berjumpa mereka secara fizikal.
Kepulangan saya ke tanahair kali
ini juga untuk urusan tampal gigi yang amat mahal di Adelaide, juga pembelian
buku-buku anak-anak yang semakin membesar. Tapi yang paling utama tentunya
untuk meninjau penglibatan ISMA dalam pilihanraya kali ini yang memilih untuk
bertanding atas tiket BERJASA.
Alhamdulilllah, misi kepulangan
saya selama seminggu ke Malaysia berlangsung dengan jayanya. Semua yang saya
sasarkan berjaya dilaksanakan. Terasa berbaloi wang yang dibelanjakan untuk
perjalanan.
Kini tiba masa untuk saya
bersedia bagi musafir panjang buat kali kedua dalam tempoh dua minggu.
Pertamanya adalah urusan pembentangan, juga urusan transit di Dubai yang
memakan masa sehari semalam. Apa yang paling saya bimbang adalah tahap
keselamatan di Brazil yang dikatakan sebagai tidak selamat oleh kerajaan
Australia.
Juga yang merisaukan adalah
berkenaan dengan makanan. Setelah berkomunikasi dengan Tuan Salman, pegawai di
kedutaan Malaysia di Brazil, beliau menyatakan bahawa makanan halal adalah
sukar untuk di dapati di Brazil, terutamanya di Natal dan Rio. Keselamatan dan
kesihatan juga adalah isu yang perlu saya pertimbangkan dengan serius, menurut
Tuan Salman.
Membaca catatan
pelancong-pelancong di tripadvisor dan lonelyplanet juga tidak membantu.Ada
kisah yang dirompak waktu siang hari buta. Ada yang diugut dan tidak kurang
yang bercerita tentang kisah penculikan yang semakin canggih caranya.
Namun, hendak bimbang lebih-lebih
pun tidak ada gunanya. Saya perlu berhati-hati, tetapi tidaklah sampai
paranoid. Langkah-langkah keselamatan perlu diambil. Lagipun, bukankah tidak
ada satu musibah pun yang akan menimpa diri kita melainkan telah ditetapkan ke
atas kita oleh Allah.
Bila datang
kebimbangan-kebimbangan begini, saya sentiasa teringat satu ayat Allah dari
surah Taubah ayat 51 yang bermaksud: Katakanlah: "Sekali-kali tidak akan menimpa kami
melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung
kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus
bertawakal."
Jika telah sampai taqdir Allah berkenaan
dengan ajal dan musibah, duduk di dalam tembok yang paling kukuh atau kereta
kebal yang paling kebal pun kematian dan musibah masih akan menimpa.
Hanya kepada Allah hendaknya saya
bertawakkal.
Dipendekkan cerita, dalam keadaan
yang kelam kabut dengan analisa kuantitatif di minggu terakhir saya bertolak,
tidak banyak yang mampu saya sediakan. Isteri saya hanya membekalkan sebotol
sambal ikan bilis, satu bekas biskut, satu pek Snickers, sebotol Pringles dan
dua pek Maggi Tomyam.
Sehari sebelum bertolak, Humaira’
pula meluahkan perasaannya, katanya saya asyik keluar sahaja meninggalkan
mereka semua. Ketika melihat wajah isteri, bahasa tubuhnya seakan-akan
bersetuju dengan omelan Humaira’ yang sentiasa berterus terang.
Sedih juga hati hendak
meninggalkan mereka buat kali kedua dalam tempoh yang panjang. Apatah lagi
dengan ragam anak-anak yang sejak kebelakangan ini agak manja dengan saya.
Namun apakan daya, tuntutan tugas terpaksa dilaksanakan. Saya berjanji kepada
diri sendiri (Insyaallah) untuk selalu menghubungi mereka dan akan membawa
mereka berjalan-jalan melihat penguin di Victor Harbour setelah saya pulang.
Satu lagi perkara penting yang
saya bawa selain makanan adalah buku-bukuan. Tiga buah buku menjadi bekal saya
dalam perjalanan panjang kali ini, Prophetic Parenting, Mempengaruhi Anak
Melalui Cerita dan How to Win Friends and Influence People.
Ketika saat berpisah di lapangan
terbang Adelaide, saya memeluk erat isteri dan anak-anak. Hanya kepada Allah
saya tinggalkan mereka, kerana hanya pada dialah sebaik-baik tempat bergantung
dan sebaik-baik tempat memohon pertolongan.
Terima kasih. Saya sangat suka membaca nota/catatan Dr Mohd Hisham..
ReplyDelete