Bicara Politik Seorang Marhaen

Walaupun duduk dalam pakatan yang berbeza, DAP, MCA dan Gerakan kelihatan senada dalam banyak perkara, terutamanya pada perkara-perkara yang melibatkan survival bangsa Cina di Malaysia. 

Kesepakatan dan suara mereka dalam politik walaupun berada dalam dimensi perjuangan yang berbeza, tapi amat jelas memberikan hasil yang baik untuk banyak agenda yang memberikan keuntungan kepada bangsa mereka. Ambil isu meritokrasi sebagai contoh. Isu hudud apatah lagi. Isu Salun mungkin nampak remeh, tapi sebenarnya ia adalah bukti jelas bahawa mereka konsisten senada dalam banyak perkara.

Perkara yang sama tidak berlaku pada UMNO dan PAS. Tidak senada, saling serang menyerang dan sering salah menyalahkan. UMNO menyalahkan PAS dan menuduh dengan tuduhan sesat dan macam-macam lagi, PAS juga tidak kurang, menyalahkan UMNO dalam hampir banyak perkara, AES, hiburan, PPSMI dan banyak lagi. Isu kafir mengkafir pula masih menjadi dendangan.


Letih melihat suasana begini, Lebih sedih bila golongan ilmuan dan mufti seperti Tan Sri Harussani menjadi mangsa cemuhan anak-anak muda yang terlalu taksub dengan politik. Tidak dapat dinafikan bahawa banyak perkara dasar yang berbeza, namun bukankah baik jika kedua parti terbesar orang Melayu ini dapat menunjukkan kesepakatan sekurang-kurangnya dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia, isu Kristianisasi dan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai contoh.

Dalam isu salun, UMNO sebenarnya akan lebih dihormati jika mengambil pendirian mempertahankan PAS berbanding menggunakan isu tersebut untuk menyerang lawan mereka. PAS pula tidak perlulah menuduh UMNO yang ‘spin’ isu dan mencari-cari kesalahan UMNO yang lain pula, apatah lagi diremehkan mereka yang bimbang akan suara PAS dalam pakatan untuk menangani isu-isu yang lebih besar andai ditaqdirkan PR berjaya ke Putrajaya.

Begitu juga dalam isu kenyataan Chua Soi Lek dan Karpal Singh mengenai Hudud, jika UMNO dan PAS sepakat untuk memberi amaran kepada kedua mereka agar jangan menyentuh perkara-perkara yang melibatkan sensitiviti umat, saya yakin, parti-parti komponen lain akan lebih hormat.

Baik PAS atau UMNO, keduanya sujud ke satu qiblat yang sama, mengucap dengan syahadah yang sama dan keduanya punya sumbangan yang tersendiri untuk umat Islam di Malaysia. Memetik kata Dr. Maza, ahli PAS bukan semuanya malaikat dan ahli UMNO bukanlah semuanya korup.

Saya yakin, diluar sana, ramai sekali ahli-ahli UMNO yang inginkan kebaikan untuk Islam, bekerja dengan ikhlas siang dan malam untuk membangunkan ISLAM di Malaysia. Saya kenal ramai darinya. Begitu juga dengan PAS, tidak dinafikan, begitu ramai yang bersemangat untuk beramal demi Islam. Ramai juga yang tidak kisah untuk bersahabat dan berukhuwwah dengan ahli-ahli UMNO di peringkat bawahan.

Jangan salah sangka, bila saya menyeru kepada kesepakatan antara UMNO dan PAS, bukan bermakna saya menyeru untuk mempertahankan mereka yang korup. Tidak kira dari mana-mana parti, mereka yang korup aqidah, memperjuangkan Syiah, mengangkat agenda Islam liberal, korup dalam urusan kewangan dan pentadbiran mesti ditolak. Bertandinglah secara sihat, tapi jangan gadaikan perkara-perkara asas agama.

Hubungan ukhuwwah mesti sentiasa dipelihara, maruah dan kedudukan Islam di Malaysia mesti dipastikan berada di tempat yang tertinggi dan mulia.

Saya mungkin marhaen, saya mungkin naïf dalam politik kepartian dan tidak pernah bergelumang di dalamnya. Tapi ini adalah hasrat hati yang saya yakin, dikongsi oleh ramai saudara-saudara Islam seaqidah di bumi Malaysia.

Tidak kira BN atau PR, apa yang saya inginkan adalah sikap izzah untuk memelihara kepentingan ummah, bukan persengketaan berpanjangan yang tidak berkesudahan, salahkah?

3 comments:

  1. Well said. Izzah tak mungkin dapat lakukan itu. Sy sgt jelas tentang perjuangan PAS, sy sgt jelas tentang perjuangan UMNO... tapi sy tidak jelas langsung tentang perjuangan PKR. Mohon pencerahan. Pada pandangan saya, Izzah telah di beri peluang untuk membuktikan, tapi dia tidak melakukan dengan cukup baik.

    ReplyDelete
  2. Izzah yang saya maksudkan bukan Nurul Izzah, tapi Izzah kalimah Arab yang bermaksud kemuliaan.

    ReplyDelete
  3. hehe lain kali kena bubuh bracket () lepas perkataan Izzah kot.

    ReplyDelete