NOTA 4 – DUBAI, KOTA METROPOLITAN YANG TERCARI-CARI IDENTITI

Kali pertama turun di lapangan terbang antarabangsa Dubai, saya kagum. Rekabentuk yang moden, kemudahan tandas yang bersih, kawasan lantai yang mempunyai permaidani seperti di masjid, musolla yang banyak dan besar dan kemudahan-kemudahan lain yang tentunya berada pada kelas yang tersendiri membuatkan siapa sahaja yang datang pasti akan merasa kagum.

Kecanggihan lapangan terbang antarabangsa Dubai dan penerbangan Emirates yang menghubungkan serata dunia membolehkan ramai pelancong bertandang ke sini.


Bukan sahaja canggih, lapangan terbang ini juga cukup eksklusif dengan hamparan permaidani dan jubin yang  berkualiti tinggi.

Perkara pertama yang saya lakukan adalah melakukan tukaran wang. Dengan seratus lima puluh dolar, saya mendapat lebih kurang empat ratus lima puluh dirham. Cukup lumayan. Kemudian saya mencari tempat untuk menyimpan bagasi, di lapangan terbang ini, ada kemudahan simpanan bagasi yang beroperasi dua puluh empat jam dengan kadar bayaran yang amat berpatutan.

Dengan kemudahan WiFi yang ada di lapangan terbang, saya menghubungi keluarga di Adelaide untuk memaklumkan ketibaan. Mujurlah ada teknologi facetime yang cukup efisyen untuk berhubung secara video.

Setelah bertanya kepada pegawai yang bertugas di kaunter pertanyaan tentang kaedah pengangkutan yang paling selamat dan mudah untuk menjelajah Dubai dalam masa sehari, saya memilih pengangkutan Metro Dubai, ala-ala LRT yang menghubungkan lapangan terbang dengan banyak lokasi penting di Dubai.

Stesen Metro Dubai. Antara pengangkutan yang menjadi pilihan utama penduduk di sini untuk bergerak.

Lokasi pertama yang saya singgahi adalah Dubai Mall. Tempat di mana saya boleh menyaksikan bangunan paling tinggi di dunia, iaitu Burj Al Arab. Dubai Mall juga dikatakan sebagai ‘shopping complex’ yang paling besar di dunia. Di Dubai Mall ini juga, ada aquarium besar di tengah-tengah yang menempatkan pelbagai jenis haiwan laut, termasuklah Great White Shark yang amat besar saiznya. Di sini juga ada padang hoki ais. Saya sempat menyaksikan satu perlawanan hoki ais yang sedang berlangsung. Banyak lagi tarikan-tarikan lain di Mall ini sahaja, ada Souq Al Arab, Dubai Fountain dan banyak lagi. Lenguh juga kaki saya berjalan selama beberapa jam di sini.

Kedai-kedai dari barat semuanya punya tempat di sini

Perlawanan hoki ais antara pasukan Russia dan Amerika Syarikat

Antara lokasi mewah untuk menjamu selera, harganya? boleh agak sendiri.

Burj Al Arab, bangunan tertinggi dunia yang menjadi  bukti akan kebenaran sabda baginda nabi.

Kawasan Dubai Fountain yang menjadi tarikan pelancong pada waktu malam

Kedai ini menjual manisan dan coklat yang datang khusus dari Eropah

Kawasan khas ini di Dubai Mall dikhaskan untuk peragaan fesyen pada musim-musim tertentu. Saya terkujat melihat bentuk iklan yang dipaparkan di sini.

Setelah menjelajah Dubai Mall, saya menaiki Metro untuk melihat beberapa tempat lagi. Antaranya adalah Emirates Mall yang mempunyai kemudahan rumah salji yang amat besar dan Burj Madina yang punya reka bentuk yang unik Tidak cukup ruang jika ingin saya ceritakan semuanya. Setelah tiba kembali di lapangan terbang, kaki saya terasa amat lenguh, dengan perbezaan waktu yang agak jauh berbanding Adelaide, saya terus terlena di Musolla setelah menunaikan Solat Maghrib dan Isya’ secara jama’ dan sedar kembali jam 3 pagi keesokan harinya.

Dubai yang gah dengan pencakar langit dan kemewahan luar biasa.
Kereta yang kelihatan di bandar-bandar semuanya dari jenis yang berjenama dan mewah. Sukar untuk mencari kereta  lama atau yang agak uzur rupanya berjalan di atas jalan raya

Aquarium besar yang menempatkan pelbagai spesis ikan, termasuklah Great White Shark.
Berjalan-jalan di sekitar Dubai, saya tertanya-tanya, saya ini sedang berada di mana? Melihat pakaian pelancong asing di 'shopping complex', iklan-iklan produk yang terpapar dan kehidupan rakyatnya yang amat mewah, juga bangunan dan kedai-kedai yang ada di kawasan pusat Bandar, terasa seperti berada di negara barat. Calvin Klein, Coach, Estee Lauder, namakan apa sahaja, semuanya boleh didapati di sini.  Bahasa Inggeris menjadi antara bahasa utama di sini. Rakyatnya (atau imigran) terdiri dari pelbagai rencam, banyaknya mungkin dari Indonesia, India dan Bangladesh yang mencari kehidupan yang lebih baik di sini. Rakyat Malaysia juga tidak kurang banyak yang berhijrah ke sini.

Dubai adalah kota Metropolitan yang amat maju, mewah dan canggih, bangunan-bangunannya punya struktur ‘Islam’ dan masjidnya juga cukup indah dan besar. Bila waktu solat masuk, azan berkumandang di merata-rata. Rata-rata bank juga menggunakan sistem Islam sebagai mekanisma utama dalam perniagaan.

Tapi saya merasa bahawa ada sesuatu yang hilang dan tidak kena di sini. Roh Islamnya ada, tapi tidak menjadi arus perdana yang mengawal pembangunan dan arus kemewahan yang berlangsung dengan kadar yang amat luar biasa. Apatah lagi bila mengingatkan lokasi kesengsaraan umat Islam di Palestin, Iraq dan Syria yang tidak jauh dari Dubai sebenarnya.

Jika ingin dikatakan Dubai adalah sebuah negara Islam contoh dengan kemajuan yang pesat, izinkan saya untuk tidak bersetuju. Saya merasakan bahawa Dubai masih tercari-cari identitinya yang sebenar. Pelancong asing yang datang, bukan kerana tertarik dengan keindahan Islam, tapi tertarik dengan keindahan bangunan yang ada dan kemewahan berganda yang ditawarkan di sini (juga kerana pesawat Emirates yang menghubungkan serata dunia mungkin).

Imigran yang datang bekerja, juga kerana mencari kehidupan yang lebih baik, bukan kerana tawaran ilmu atau seruan keimanan seperti yang terdapat di dua tanah suci. Entah, saya kehilangan kata-kata bagi menggambarkan Dubai. Tapi, apa yang pasti, Dubai adalah realiti kepada hadis-hadis baginda tentang akhir zaman yang dinyatakan lebih kurang seribu tahun yang lampau.

Tarikan dunia benar-benar menjadikan umat Islam hari ini kehilangan identiti. Penyakit cinta dunia dan takut mati benar-benar menjadi punca yang menyebabkan umat hari ini kehilangan taring hingga tidak lagi dihormati, jauh sekali dari menjadi pemimpin dalam dakwah, ilmu, rekacipta dan penguasa kepada dunia untuk menyebarkan ‘rahmatan lil alamin.’

Saya meninggalkan Dubai pada jam tujuh pagi. Berlepas ke Brazil untuk pengembaraan seterusnya.

3 comments:

  1. Ana setuju. Ini juga terjadi seperti Kazhastan. Negeranya kaya dengan sumber galian emas, namun pemerintahnya hanya melihat keagungan binaan berbanding keagungan ilmu untuk dibangunkan di sana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Subhanallah, sabda baginda semakin terserlah kebenarannya.

      Delete
  2. Perkongsian ilmu yang sangat bermanafaat. Terima kasih.

    ReplyDelete