Saya melangkah masuk ke perut
kapal terbang Emirates dengan perasaan berdebar-debar dan dengan doa agar Allah
mempermudahkan segala perjalanan dan melindungi keluarga yang saya tinggalkan.
Malam itu, penerbangan dari Adelaide ke Dubai agak penuh dengan manusia yang transit
di Dubai untuk seterusnya menuju ke pelbagai destinasi.
Saya ditempatkan di tempat duduk
yang agak belakang. Berhampiran tempat penyediaan makanan. Diapit oleh dua
orang yang bertubuh besar menyebabkan saya tidak dapat bergerak bebas. Saya
hanya tidur-tidur ayam sepanjang perjalanan.
Saya dijadualkan sampai di Dubai
pada jam lima empat puluh lima pagi. Menurut jadual waktu Solat di aplikasi
iPray, waktu itu, matahari telah naik di Dubai. Ini bermakna saya mesti
menunaikan Solat Fardhu Subuh di dalam pesawat.
Bermula jam empat pagi, saya
memerhatikan langit di luar kapal terbang. Sebelum itu, saya telah bersedia
dengan Wudhu’ yang diambil di tandas pesawat sejak awal lagi. Puas juga menahan
mata untuk tidak terlelap dan menahan dari tidak terkentut. Ini kerana,
berwudhu’ di tandas pesawat bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan keadaan yang
sempit, dan perlu dijaga agar air tidak menitis-nitis merata-rata yang akan
menganggu keselesaan pengguna tandas yang lain, sebolehnya saya cuba menahan
wudhu selama yang mungkin.
Jam empat lima puluh pagi, sejam
sebelum mendarat, rona merah kelihatan di ufuk langit, tanpa berlengah saya
bergegas ke bahagian belakang pesawat untuk menunaikan solat.
Keadaan penerbangan yang lancar
tanpa ‘turbulence’ membolehkan saya solat secara berdiri dengan sempurna di
ruang belakang pesawat yang agak luas. Pramugari yang ada di belakang juga
memberikan ruang yang selesa dan menjaga kawasan tersebut agar tidak diganggu
ketika saya sedang menunaikan solat.
Arah kiblat jelas kelihatan melalui peta penerbangan. Lebih memudahkan,
kedudukan Dubai yang hampir sejajar dengan Makkah memudahkan saya menentukan
arah kiblat dengan lebih yakin.
Saya solat seringkas yang mungkin
dan kemudian terus bangun setelah memberi salam.
Solat di atas kapal terbang
adalah sesuatu yang istimewa. Saat itu kita merasakan betapa lemahnya kita
sebagai manusia. Ini kerana, berpuluh ribu kaki di atas udara, macam-macam
boleh terjadi.
Solat adalah perkara yang penting
dalam kehidupan seorang Muslim. Tidak ada makna kehidupan seorang Muslim tanpa
solat yang dipelihara sebaiknya. Solat adalah batas pemisah antara iman dan kufur.
Selama mana kita hidup, langsung
tidak ada alasan untuk kita tidak menunaikan solat fardhu. Ketika di atas udara
atau sedang belayar di lautan yang luas, bahkan di dalam suasana peperangan
sekalipun ada panduan solat yang boleh diikuti. Ketika sakit dan tidak mampu
berdiri, solat boleh dilaksanakan secara duduk, jika tidak mampu, solatlah secara
berbaring, jika tidak mampu juga, solat boleh dilakukan dengan isyarat mata.
Jika langsung tidak mampu, haa, itu maknanya sudah tiba masa manusia lain pula
yang datang untuk menyolatkan kita.
Tidak ada alasan penat dan baju
kotor untuk kita meninggalkan solat pada waktunya, ini kerana jika pada pakaian
terdapat najis, perlu kita berusaha sedaya upaya untuk membersihkannya. Jika
tidak ada air untuk berwudhu’ setelah berusaha mencari, boleh bertayammum.
Bukan juga alasan jika kepenatan kerana
berjaga malam untuk tujuan ‘study’ atau kerana menyaksikan perlawanan
bolasepak. Besar dosanya jika kita meninggalkan solat atau menunaikan solat di
luar waktu tanpa ada alasan syara’ yang sah seperti tertidur atau lupa.
Tapi realiti yang berlaku hari
ini adalah sebaliknya. Teringat saya semasa zaman pelajar dulu, ketika menaiki
bas untuk ke pelbagai destinasi yang jauh. Ada pemandu yang langsung tidak
berhenti sehingga diperingatkan oleh beberapa orang penumpang. Lebih
menyedihkan, ketika bas berhenti, hanya dua tiga orang yang turun menunaikan
solat, selebihnya memilih untuk berdengkur dan berehat di perut bas. Jika
perempuan, boleh juga bersangka baik bahawa mereka berada dalam keuzuran, tapi
kalau lelaki, uzur celah mananya?
Begitu juga yang saya lihat
ketika berada dalam penerbangan pulang dari menunaikan umrah. Dari ramai-ramai Jemaah,
hanya beberapa orang yang bangun dan menunaikan solat Subuh pada waktunya,
samada secara berdiri di belakang pesawat atau secara duduk di tempat duduk
masing-masing.
Sebab itu, amat penting, jika
kita berada dalam musafir, terutamanya bagi wanita, untuk sentiasa berpakaian
menutup aurat dengan sempurna. Pakaian tidak ketat dan menampakkan susuk tubuh
walaupun bertudung. Tudung juga perlu labuh hingga ke paras dada dan baju yang
dipakai perlu berlengan panjang. Stokin tangan dan kaki juga perlu ada untuk
menjaga aurat agar tidak terbuka. Sebab itu bagi wanita, pakaian yang paling
baik, adalah pakaian yang boleh digunakan untuk solat tanpa ada sebarang rasa
ragu-ragu.
Lelaki biasanya tidak ada masalah
dalam pemakaian, kerana biasanya pakaian yang dipakai ketika musafir adalah
pakaian yang menutup aurat.
Solat memang mudah, dan punya
keringanan-keringanan yang tertentu, tapi ia bukan urusan yang boleh kita ambil
mudah. Jika tidak tahu, perlu bertanya kepada guru yang murshid. Perlu belajar,
jangan beralasan malu atau tidak sempat. Di hadapan Allah nanti, perkara
pertama yang Allah akan tanya adalah berkenaan dengan Solat, Allah tidak akan
menerima alasan kesibukan atau alasan tidak tahu sebagai alasan kepada
kegagalan untuk kita tidak menunaikan solat dengan sempurna.
Berbalik kepada perjalanan saya, akhirnya
saya mendarat di lapangan terbang antarabangsa Dubai tepat pada jam lima empat
puluh lima pagi. Saat kapal terbang bersedia untuk mendarat, saya terpesona
melihat keindahan Dubai yang penuh dengan cahaya, juga pencakar langit yang
amat tinggi dan unik.
Apakah yang menanti saya di
Dubai, kita nantikan episod seterusnya.
No comments:
Post a Comment