Musafir saya ke Brazil kali ini
untuk menghadiri persidangan Conf-IRM 13 sebagai pembentang dari University of
Adelaide adalah musafir paling panjang yang pernah saya lakukan, dan mungkin
akan kekal sebagai rekod yang mungkin tidak akan dipecahkan lagi.
Perjalanan saya bermula dari
Adelaide, menaiki penerbangan Emirates selama empat belas jam dan kemudian
berhenti di Dubai untuk transit selama sehari. Seterusnya, dari Dubai, juga
dengan penerbangan Emirates selama empat belas jam ke Rio De Janeiro.
Berhenti seketika di Rio selama
beberapa jam, saya kemudiannya menaiki penerbangan domestik TAM Linhas menuju
ke Natal yang terletak di sebelah utara
Brazil. Penerbangan mengambil masa lima jam.
Untuk perjalanan pergi, saya kira
hampir satu hari setengah saya berada di dalam perut kapal terbang. Begitu juga
perjalanan pulang yang melalui laluan yang sama. Saya menulis catatan ini
ketika dalam perjalanan ke Dubai dari Rio. Ada lebih kurang enam belas jam lagi
untuk ditempuhi.
Banyak
yang ingin saya kongsi, terutamanya pengalaman menarik solat di atas kapal
terbang, wajah Dubai yang saya lihat, pengalaman di Brazil dan kembara sehari
di Rio yang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat.
Setelah kertas kajian yang saya
hantar untuk persidangan ACIS 2012 (Australiasian Conference of Information
System) ditolak, Robyn, penyelia kedua saya mencadangkan agar kertas kajian
tersebut dihantar ke satu lagi persidangan, iaitu Conf IRM 2013 (Information
Resource Management) yang akan diadakan di Natal, Brazil.
Cadangan tersebut dipersetujui
oleh saya dan Indrit (penyelia pertama saya dari Albania), dan atas komen-komen
yang kami terima dari penilai yang menolak kertas kajian tersebut awalnya, kami
memperbaiki dan memberi beberapa nilai tambah kepada kertas kerja tersebut.
Saya tidak meletakkan harapan
yang tinggi untuk kertas kerja tersebut diterima, apatah lagi melihat nama-nama
besar yang akan menghadiri persidangan tersebut seperti Prof Felix Tan, Prof
Gerald Grant dan Prof. Paolo Goes.
Tidak berapa lama setelah kertas
kerja tersebut dihantar, saya mendapat berita yang agak mengejutkan, kertas
kerja tersebut diterima dengan sedikit penambahbaikan untuk dibentangkan dan
dimasukkan dalam prosiding kajian sebagai kertas kajian penuh.
Perasaan saya bercampur baur
antara seronok dan berdebar-debar. Seronok kerana kali pertama setelah hampir
tiga tahun saya dalam pengajian PhD, baru inilah kali pertama kertas kajian
saya diterima untuk dibentangkan. Tambahan pula dengan pelbagai masalah dan kontroversi
yang menyelubungi kajian yang sedang saya lakukan, berita penerimaan ini ibarat
satu penyuntik semangat untuk saya terus melangkah dan menyempurnakan
perjalanan PhD yang hampir beberapa kali saya berfikir untuk berhenti.
Berdebar-debar pula kerana
memikirkan perjalanan jauh yang akan saya lakukan, merentas benua Australia,
Asia, Afrika dan Eropah, kembara saya ke Brazil akan menjadi satu kembara yang
amat jauh, memakan masa dan menelan kos yang tinggi. Pada mulanya saya agak
keberatan untuk pergi, tapi setelah digesa oleh Indrit dan Robyn, saya
memutuskan untuk pergi juga ke persidangan kali ini.
Permohonan dihantar ke pihak
pengurusan Business School untuk kelulusan. Dalam tempoh dua minggu, tanpa
sebarang masalah, permohonan saya diluluskan. Segala perbelanjaan tiket, makan,
dan transit akan ditampung oleh University of Adelaide Business School,
Alhamdulillah.
Nampaknya, penolakan kertas
kajian saya untuk dibentangkan di Melbourne adalah tanda bahawa rupanya Allah
telah menetapkan bahawa saya akan menjejakkan kaki ke Brazil. Besar sungguh
hikmah tersembunyi dalam setiap peristiwa yang menimpa diri.
Kadang-kadang, kita mudah ‘frust’
dengan kegagalan, tapi mungkin, dengan kegagalan itu, Allah telah mengatur
rencana yang lebih baik dari apa yang dapat kita bayangkan. Hanya sahaja, ia
bergantung kepada bagaimana kita menerima taqdir tersebut dan dengan izin
Allah, mengurus kegagalan agar ia menjadi batu loncatan ke arah kejayaan.
Langkah seterusnya adalah untuk
menguruskan perjalanan. Saya berbincang dengan pihak ‘travel agent’ university,
STA Travel di Union House dan mereka lah yang menguruskan segala tempahan tiket
kapal terbang.
Setelah jadual penerbangan
(flight itinerary) dikeluarkan, saya termenung panjang. Empat belas jam dari
Adelaide ke Dubai, transit sehari di Dubai diikuti dengan penerbangan selama
empat belas jam lagi ke Rio. Kemudian dari Rio, menaiki satu lagi penerbangan
ke Natal, Brazil, iaitu tempat di mana persidangan tersebut akan dijalankan. Untuk
perjalanan pulang, saya akan transit selama sehari di Rio, dan kemudian diikuti
dengan dua puluh lapan jam perjalanan dari Rio – Dubai – Adelaide. Keseluruhan
perjalanan akan mengambil masa sepuluh hari.
Panas punggung woi!
Bersambung....
No comments:
Post a Comment