“Khadijah tak nak dah kawan dengan ayah lepas ni.” Luah Khadijah di dalam kereta ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah setelah menghantar kakaknya ke sekolah.
“Eh, kenapa pula?” Soal saya
sambil ketawa kecil.
Berbeza dengan Humaira’ yang
banyak bertanya soalan yang pelik-pelik untuk membina kefahaman, Khadijah
mempunyai personaliti yang cukup berbeza. Dia lebih pendiam, banyak memerhati
dan bicaranya lebih kepada pernyataan, penerangan dan pengesahan, berbanding
persoalan. Itupun hanya apabila perlu sahaja.
“Sebab ayah garang, Khadijah nak
kawan dengan Nasihah je, Nasihah tak marah Khadijah.” Jelas Khadijah dengan
loghat yang masih pelat-pelat.
Saya tertawa mendengarnya.
“Laaa, ayah marah, ada lah
sebabnya. Kalau dah Khadijah tak nak mandi dan meragam-ragam masa orang nak
cepat tadi, memanglah kena marah.”
“Bila Khadijah buat salah, memang
ayah akan marah sikit, sebab ayah nak Khadijah jadi orang yang lebih baik dan
tak buat salah dah.” Jelas saya.
“Ouh….shorry.” Respon Khadijah
seperti biasa sambil mengangguk-angguk.
Pandangannya di halakan ke luar
tingkap kereta. Saya tahu dia mendengar dan berfikir. Cuma tidak pasti
bagaimana dia memproses maklumat tersebut di dalam mindanya. Tidak seperti
Humaira’ yang suka menjelaskan segala-galanya.
Karakter anak-anak kami memang
berbeza-beza, namun satu perkara yang sentiasa saya dan isteri cuba usahakan tidak
kira apa jua perbezaan antara mereka adalah untuk membina rasa thiqah dalam
diri anak-anak.
Membina rasa bahawa kami adalah
teman yang boleh dipercayai untuk dibawa berbual, untuk dibawa berbincang,
untuk mereka meluahkan perasaan dan untuk diminta nasihat.
Perkara ini penting kerana bila
anak-anak meningkat remaja, pengaruh rakan sebaya akan mempengaruhi dengan amat
pantas. Jika baik pengaruh rakannya, Alhamdulillah, namun jika terjebak dengan
rakan-rakan yang bermasalah, khuatir anak-anak akan terpengaruh.
Apatah lagi dengan anak-anak
perempuan yang terdedah kepada fitnah hubungan lelaki dan wanita yang banyak
membawa akibat yang buruk. Bimbang bila ada lelaki jahat yang akan mengambil
kesempatan terhadap kurangnya rasa percaya anak perempuan kepada ibu bapanya,
secara khusus, kepada ayahnya. Na’uzubillah.
Di sinilah pengaruh ibu bapa amat
penting. Jika ibu bapa memainkan peranan sebagai rakan karib kepada anak-anak,
menjadi tempat anak meluahkan rasa, mengadu masalah dan meminta nasihat,
Insyaallah, anak-anak tidak akan lari jauh.
Ketaatan anak-anak kepada ibu
bapa dengan penuh rela hanya akan hadir apabila anak-anak ada rasa percaya
terhadap kedua ibu bapa. Mustahil mereka akan menjadi anak-anak yang taat dan
membalas budi bila ibu bapa tidak pernah menunaikan hak kasih sayang dan
perhatian kepada mereka sejak kecil.
Saya yakin, proses ini tidak akan
berlaku secara automatik, tidak juga akan berlaku sehari dua, tapi ia adalah
proses panjang yang perlu diusahakan terus menerus oleh ibu bapa. Pada setiap
peringkat usia anak-anak ada hak-hak yang perlu ditunaikan dan kaedah yang
berbeza-beza yang perlu dilaksanakan.
Pada usianya 0 – 7 tahun, ada
tuntutan kasih sayang, pada usianya 8 – 14 tahun datang pula tuntutan arahan
dan displin, dan pada usia 14 -21 tahun ada pula tuntutan untuk menjadi rakan
karib.
Kegagalan ibu bapa untuk memenuhi
tuntutan-tuntutan yang sepatutnya dalam fasa ini akan menyebabkan pendidikan
anak-anak menjadi tempang. Ia lebih kritikal bila kita ingin mereka taat dalam
rangka untuk menjadi anak soleh yang pastinya akan banyak rintangan menanti di
hadapan.
Membina rasa percaya dan menjadi
rakan karib tidak bermakna ibu bapa tidak boleh memarahi, tidak perlu
mendisplin dan tidak boleh tegas dalam mendidik anak, semua elemen ini perlu
ada kerana tanpa displin dan ketegasan dalam mendidik, anak-anak akan rosak.
Namun begitu, ketegasan perlu
diadun dengan kelembutan dan kasih sayang, anak-anak perlu tahu bahawa
ketegasan, kemarahan atau setiap pukulan yang diberikan adalah demi kebaikan
anak-anak itu sendiri.
Bila menghukum, jangan melampau,
bila berlembut jangan hingga anak-anak naik kepala.
Saya akui, ia adalah perjalanan
yang amat sukar. Tambahan pula ketika pelbagai tanggungjawab yang dipikul di
atas bahu pada usia di mana tuntutan terhadap dakwah, kerjaya dan ibu bapa kami
berdua datang bersimpang siur.
Seringkali kami tertewas,
kadang-kadang tenggelam dalam belitan iblis ketika memarahi anak-anak yang masih
kecil. Kadang-kadang pula terlalu sibuk dengan pelbagai urusan hingga tuntutan
terhadap anak-anak diabaikan. Moga-moga luka yang timbul akibat
kesalahan-kesalahan kami dalam mendidik tidak akan berkekalan hingga membuatkan
anak-anak tidak lagi thiqah pada ibu bapanya. Insyaallah, kita sama-sama perbaiki diri.
Mudah-mudahan dengan doa, usaha
dan sangkaan yang baik kita pada Allah, anak-anak kita akan membesar menjadi
anak-anak yang soleh yang akan memperjuangkan agama ini. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment