JANGAN MENEGUR ANAK HINGGA MENJATUHKAN AIR MUKANYA


“Panggg!!” Bunyi pinggan pecah di meja berhampiran menarik perhatian saya. Bukan sahaja saya, tapi hampir semua pelanggan restoran kecil tersebut.

Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki sekitar usia 4 tahun berdiri tegak, wajahnya penuh ketakutan. Langsung tidak ada pergerakan.

Saya melihat ayahnya dalam keadaan yang amat marah.

“Kan aku dah kata! Kenapa kau ni degil sangat haaa! Bodoh!” Bagaikan halilintar ayahnya memarahi anaknya di hadapan orang ramai.

Saya tergamam. Pelanggan yang lain juga kelihatan begitu. Sejurus kemudian, semua menghadap makanan masing-masing, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Tidak lama kemudian, kelihatan keluarga tersebut beredar keluar restoran. Saya hanya sempat melihat kelibat budak tersebut yang masih ketakutan. Entah apa yang bakal dihadapinya selepas ini. Saya tidak mahu bersangka ataupun memikirkannya.

Peristiwa tersebut bermain-main di fikiran saya selepas saya keluar dari restoran. Kasihan dengan anak kecil itu. Kasihan juga kepada kedua ibu bapanya.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya berfikir-fikir.


Walaupun saya mungkin tidak akan sampai ke tahap itu dalam memarahi anak-anak, tapi kadang-kadang, terbabas juga tanpa sempat menekan butang ‘pause’.

Kadang-kadang, akibat malu dengan rakan-rakan dan orang sekeliling dan khuatir dikatakan kita ibu bapa yang tidak pandai mendidik anak, anak-anak menjadi mangsa kemarahan kita di khalayak ramai. Astaghfirullah.

Moga Allah mengampunkan dosa-dosa saya akibat kelalaian.

Anak-anak adalah anak-anak. Walau bagaimana lurus dan berjurus mereka sekalipun, tetap akan ada tindakan mereka yang pasti tidak kena pada mata orang dewasa. Menjerit, menangis dengan kuat tidak kira masa, berlari-lari, terlanggar itu ini, tertumpah air, berebut-rebut, terpecahkan pinggan dan seribu satu macam karenah lagi adalah perkara biasa, kerana mereka adalah kanak-kanak, bukan orang dewasa yang mampu berfikir, bertindak matang dan mengawal segala tingkah perbuatan.

Itu bezanya mereka dengan orang dewasa. Namun, amat tidak wajar jika orang dewasa juga bertindak dengan tidak rasional dengan terhadap anak-anak berusia bawah 5 tahun yang masih belum mengerti dengan sempurna banyak perkara, yang melakukan kesalahan tanpa sengaja, bahkan dia tidak pun tahu apa yang dilakukannya adalah satu kesalahan.

Jika ingin menegur anak-anak, elakkanlah dari melakukannya di khalayak ramai, kerana anak-anak juga punya perasaan malu dan maruah diri. Apatah lagi dengan menggunakan bahasa-bahasa kesat yang bukan sahaja menjatuhkan air mukanya, malah kalam-kalam kesat itu mungkin bertukar menjadi doa yang dimakbulkan Allah.

Anak-anak perlu diluruskan, perlu dididik dengan adab dan akhlaq, perlu didisplinkan, perlu diingatkan agar sentiasa tertib, namun untuk melakukannya, lakukanlah dengan cara yang baik juga dan jangan mengharapkan dengan sekali teguran, anak-anak akan terus berubah.

Ceritakan kepada anak, mengapa tindakannya adalah satu kesalahan, tunjukkan kepadanya cara yang lurus tanpa perlu menyindir atau memarahinya dengan bahasa sumpah seranah atau dengan bahasa yang amat melukakan jiwa.

Sebelum menegur anak juga, siasat dulu kesalahannya. Jangan menghukum dengan semberono dan jangan memarahi anak atas kesalahan yang tidak dia lakukan. Kelak dia akan melihat kita sebagai ibu bapa yang zalim dan tidak boleh dipercayai.

Jika ingin meluruskan anak, lakukanlah dengan berperingkat-peringkat, bukan terus memarahi atau memukulnya dengan rotan. Menurut Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiatul Aulad, rotan adalah kaedah terakhir selepas segala kaedah teguran telah dilaksanakan, bukan kaedah pertama bila anak melakukan kesalahan.

Banyak lagi perkara yang kita sama-sama perlu pelajari dalam mendidik anak. Moga Allah memberikan kita petunjuk. Insyaallah.

1 comment:

  1. Ketika melihat-lihat barangan cenderamata di tingkat bawah Muzium Padi, Kedah, seorang kanak-kanak telah memecahkan barangan kaca di situ. Semua pelanggan di situ termasuk saya tergamam. Ibunya segera mengajak keluar. Saya rasa beliau membayar ganti rugi sebelum menarik anak kecil itu keluar. Ibunya tidak mengherdik, sekadar berkata,"adik, cepatlah keluar, jom", dengan nada sederhana.

    ReplyDelete