“Ayah, ikhwah tu lelaki kan?”
Tanya Humaira’ tidak berapa lama dulu.
“Ye.” Saya menjawab ringkas, acuh
tak acuh kerana mata masih tertumpu pada skrin komputer mencari ilham untuk
menulis hasil analisa data kualitatif.
“Akhawat tu perempuan kan?”
Tanyanya lagi.
“Ye, perempuan.” Kali ini saya
berhenti dan merenung wajahnya kehairanan. Dua soalan pertamanya adalah
berbentuk pengesahan. Saya amat pasti, akan ada soalan ketiga pula selepas ini.
“Ukhuwwah itu apa pula ayah?”
Barulah keluar soalan sebenar.
Saya tertawa kecil. Tidak dapat
saya bayangkan apa yang tergambar di kepalanya. Mungkin sebutan yang lebih
kurang sama membuatkan dia tertanya-tanya. Jangan terbayang yang bukan-bukan
sudah lah. Kalimah ukhuwwah mungkin didengarinya dari sesi usrah ibunya yang
sedang berjalan di ruang tamu.
“Ukhuwwah itu bukan lelaki, bukan
perempuan, bukan juga lelaki separuh atau perempuan separuh. Ukhuwwah ini
maksudnya hubungan antara seorang muslim dan seorang muslim yang lain.” Jelas
saya. Cuba mencari maksud paling mudah.
“Hubungan ini bukan hubungan
biasa, tapi hubungan yang cukup istimewa kerana Islam yang menjadi asas
hubungannya.”
“Bila ada ukhuwwah, kita akan
sentiasa berlapang dada dengan sahabat-sahabat kita. Kemudian kita juga akan
sentiasa mengutamakan kawan kita berbanding diri kita sendiri.” Saya
menjelaskan dengan bahasa yang sedikit tinggi.
“Berlapang dada itu apa ayah?”
Soalnya lagi, seperti yang dijangka.
Soalannya kali ini membuatkan
saya termenung panjang. Makna ukhuwwah tidak boleh dijelaskan dengan kata-kata sahaja
sebenarnya. Ia mesti dibuktikan oleh perbuatan. Terasa malu untuk menjelaskan,
kerana diri saya sendiri sebenarnya masih jauh dari mempunyai sifat ukhuwwah
sebenar terhadap saudara-saudara Muslim saya yang lain.
Saya berfikir-fikir, cuba mencari
makna-makna dan hakikat ukhuwwah yang lebih dari sekadar teori dan kata-kata.
Ukhuwwah itu bukan hubungan
biasa. Bukan sekadar menyampaikan salam dan bermanis muka antara saudara
seiman. Ye, ia adalah sebahagian darinya tapi ia tidak terhenti setakat itu
sahaja.
Ukhuwwah itu bukan hubungan gedik
dan manja, apatah lagi sesama lelaki, dan ia bukan juga hubungan ramah dan
mesra sahaja, tapi ia adalah hubungan hati antara orang-orang yang beriman. Ada
hak-hak yang perlu ditunaikan, ada amanah hubungan yang perlu dilaksanakan.
Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim “Perumpamaan
orang-orang yang beriman dalam kasih sayang dan belas kasihan adalah umpama
satu tubuh, jika salah satu anggota tersebut merasa sakit, maka seluruh tubuh juga
akan merasa sakit dengan tidak dapat tidur dan demam.”
Ukhuwwah adalah perasaan yang
indah. Ia adalah tanda kesatuan dan keunikan umat ini yang amat istimewa.
Menurut Imam Hassan Al Banna,
peringkat ukhuwwah yang paling rendah adalah berlapang dada sesama saudara dan
peringkat tertinggi pula adalah mengutamakan kepentingan saudaranya berbanding
kepentingan dirinya sendiri.
Untuk berlapang dada, sangka baik
mesti menjadi asas. Sangka baik ini tidak semestinya menjadikan kita naïf,
tetapi menjadikan kita seorang muslim yang melaksanakan amanah hubungan dengan
penuh sedar.
Sebagai contoh, saat kita melihat
saudara kita terlibat dalam perkara maksiat dan kelalaian, kita bersangka baik
bahawa dia melakukannya akibat kejahilan dan dorongan hawa nafsu. Ukhuwwah yang
benar akan mendorong kita untuk melihat kejahilan ini dengan penuh sifat kasih
sayang dan tanggungjawab untuk memperbaikinya, bukan peluang untuk mengumpat
dan menjatuhkan maruahnya dengan penuh kehinaan.
Ketika kita melihat ada saudara
kita yang telah lama tidak ke masjid. Sebelum kita meletakkan apa jua sangka
buruk, ukhuwwah akan mendorong kita untuk berlapang dada bagi bertanya akan
perihal dirinya. Andai sahabat kita mempunyai masalah, maka usahakanlah untuk
membantu agar dia dapat ke masjid juga.
Begitu juga saat kita mendengar berita-berita buruk, apatah lagi jika berita buruk tersebut adalah dari kalangan mereka yang terkenal baik agamanya. Ukhuwwah sejati akan membuatkan kita bersangka baik dan sentiasa bertabayyun (menyiasat) apa jua berita, apatah lagi bila ia datang dari orang-orang yang fasiq.
Ukhuwwah juga akan sentiasa
menjadikan kita seorang yang mampu berlapang dada untuk menerima teguran dan
kritikan, walaupun pedas. Ini kerana kita bersangka baik bahawa saudara kita
yang memberi teguran benar-benar ikhlas untuk mengubah diri kita ke arah yang
lebih baik walaupun mungkin cara teguran itu diberikan agak keras.
Nah, itu baru manifestasi ukhuwwah
peringkat yang paling rendah. Semak diri kita, sejauh mana kita telah berusaha
untuk mencapainya. Sekarang mari kita lihat, peringkat paling tinggi pula
bagaimana?
Kita sering mendengar contoh kisah sahabat Rasulullah yang sedang dalam keadaan nazak saling mengutamakan saudaranya dalam pembahagian air minum di kalangan mereka. Tidak perlulah saya ulas lanjut di sini berkenaan kisah berikut. Apa yang lebih penting adalah bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam kehidupan kita hari harian.
Mari kita semak aplikasi dari
kefahaman ini. Saat kita melihat saudara kita yang dalam kesusahan, tidak kira
di Gaza, Etnik Rohingya, di East Turkistan atau di mana sahaja, sejauh manakah
kita boleh mengorbankan keutamaan perbelanjaan diri kita dan keluarga untuk
membantu saudara muslim kita yang dalam kesusahan?
Kadang-kadang kita tidak perlu pergi jauh, saat melihat saudara kita yang kehabisan wang perbelanjaan, tinggal di rumah sewa yang dhaif, hanya mampu membeli motosikal buruk walaupun telah berkeluarga, sejauhmana kita mampu berkorban untuk membantu mereka?
Apakah kita masih mampu selesa
dengan rumah dan kereta yang menawan saat ada saudara-saudara kita yang masih
terlalu jauh dari memenuhi keperluan hidup. Allahuakbar!
Mari semak diri kita, apakah kita
telah sampai ke peringkat ini? Jika tidak mampu, jangan pula kita tidak
berusaha dan paling kurang jangan sampai kita tidak mampu juga untuk berlapang
dada.
Ukhuwwah adalah manifestasi
keimanan. Ia adalah cetusan dari tahap keimanan yang ada di dalam hati kita.
Jika masih jauh, kita perlu sentiasa perlu berusaha untuk mencapai tahap-tahap
ukhuwwah ini.
Seperkara yang perlu diingat,
ukhuwwah tidak boleh dijadikan alasan untuk bermudah-mudah dalam muamalah,
terutamanya dalam urusan-urusan yang melibatkan hutang sebagai contoh. Jangan
ada yang menggunakan ukhuwwah untuk mengambil kesempatan mengenakan sahabatnya,
apatah lagi menggunakan ukhuwwah sebagai alasan untuk tidak membayar hutang.
Ukhuwwah juga tidak seharusnya
menjadikan kita naïf dan lembik tengkuk hingga boleh dipijak oleh orang lain.
Pada hak-hak yang perlu ditunaikan, tunaikanlah, pada mereka yang berbuat
zalim, laksanakanlah tanggungjawab kita selayaknya, jangan berlebih-lebih.
Namun begitu, sifat pemaaf pastinya lebih utama walaupun ia sukar untuk
dilaksana.
Saya memandang wajah Humaira’,
entah bagaimana saya mahu menjelaskan perkara ini kepadanya. Saat-saat begini
saya hanya mampu tersenyum dan berkata.
“Anakku, suatu masa nanti ayah
akan ceritakan insyaallah, panjang kisahnya.”
Ye, insyaallah, satu masa nanti,
akan saya ceritakan juga kepadanya.
Janganlah kalian saling hasad, saling najasy
(menawar barang dengan harga yang lebih tinggi tanpa bermaksud membeli, akan
tetapi untuk memperdaya pihak lain), saling membenci, saling acuh tak acuh. Janganlah sesama kalian menjual di atas penjualan sebagian
yang lainnya (maksudnya mempengaruhi pembeli ditengah memilih suatu barang sehingga
membatalkan pembeliannya, kemudian orang lain menawarkan barang dengan kualitI yang sama atau lebih baik
dengan harga yang sama). Jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara, seorang muslim adalah saudara
bagi muslim yang lainnya. Oleh karena itu janganlah menzalimi, menghina, mendustai dan jangan
pula meremehkannya. Taqwa itu ada di sini (hati), dan beliau sambil menunjuk ke dadanya tiga kali.
Cukuplah seseorang dianggap jahat jika iamemandang hina kepada
saudaranya sesama muslim. Setiap muslim atas muslim lainnya adalah haram darahnya, hartanya, dan juga kehormatannya.´ (HR. Muslim)
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteAllahu Akbar, perkongsian yang menarik.
DeleteSyukran. Tak sabar rasanya nak baca cerita yang selanjutnya :)
Benar. Semenjak dua menjak ini, saya berasakan perlunya berkelakuan baik dengan sahabat-sahabat muslim sekeliling. We must take action first. Bersangka baik, mengambil berat, sabar dikritik, dan berbudi bahasa. Semuanya kerana mengharapkan keredhaan Allah s.w.t, agar dipermudahkan urusan kehidupan harian dan seterusnya membuatkan dada menjadi lapang.
ReplyDelete