KEBENARAN ITU ADALAH DENGAN HUJAH

Dalam satu situasi,

“Jom makan kat restoran tu?” Ajak Hilman kepada kawannya, Zaim.

“Eh, bukan restoran tu tak halal ke?” Balas Zaim, hairan dengan ajakan kawannya.

“Tapi aku nampak ada orang melayu makan kat situ tadi, pakai kopiah lagi.” Jelas Zaim dengan yakin.

“Errrr….,” Hilman terpinga-pinga.

Dalam satu lagi situasi.

“Kau tak nak ‘join’ ke skim pelaburan ni, keuntungannya berlipat kali ganda, ramai yang dah berjaya.” Bersemangat Hafiz cuba mengajak sahabat baiknya Zairul untuk menyertai skim pelaburan ala piramid yang baru disertainya.

“Aku tak minatlah pelaburan-pelaburan ‘online’ jenis begini, lagipun aku pernah baca dekat website Ustaz Zaharuddin yang pelaburan jenis ni berpotensi besar haram sebab ada melibatkan unsur-unsur riba. Bahkan ada pakar ekonomi Islam peringkat antarabangsa yang mengharamkannya.” Hujah Zairul, cuba menolak ajakan rakannya dengan lembut dan dengan sedikit ilmu yang diketahuinya melalui pembacaan dan analisa.

“Mana boleh haram, ada ramai ustaz yang berkelulusan timur tengah menyertai pelaburan ni, takkanlah mereka tak tahu? Bahkan ada yang jadi ejen, tahu tak? Ramai juga pensyarah-pensyarah universiti, doktor, peguam dan jurutera yang dah sertai, takkan kau nak kata dia orang ni tak reti?” Balas Hafiz sedikit marah, membidas kembali persoalan Zairul dengan ‘hujah’, membuat Zairul tergamam.


Situasi-situasi di atas mungkin hanya rekaan saya semata, tidak ada kena mengena secara langsung dengan yang hidup atau yang telah mati, tapi saya yakin ianya banyak berlaku di alam nyata.

Baiklah, sebenarnya apa yang saya cuba sampaikan dari 2 kisah rekaan di atas adalah cara kita berfikir tentang hukum dan menentukan keabsahan tindakan kita dalam apa jua situasi.

Perkara pertama yang mesti kita fahami adalah; halal dan haram mesti bersandarkan kepada hujah dari Al Quran dan Sunnah. Bukan bermakna kita merujuk secara langsung kepada Al Quran dan Hadis nabi tanpa panduan dari guru, tetapi melalui pendapat dan perbahasan para ulama’ yang telah menganalisa dalil-dalil dengan metodologi khusus yang diperakui.  

Sebagai orang awam, kita mengetahuinya melalui pembacaan, pembelajaran di kelas-kelas dan mungkin juga melalui ilmuan yang menjelaskan kepada kita sesuatu perkara dengan terperinci lengkap dengan dalil-dalilnya.

Terpulanglah hendak mengikuti mana-mana mazhab atau pendapat mana-mana ulama’ sekalipun, apa yang pasti, halal dan haram tidak boleh kita sandarkan kepada perbuatan mana-mana pak lebai dan ustaz, terutamanya dalam perkara-perkara yang kita ketahui secara jelas unsur-unsur haramnya.

Sebagai contoh dalam situasi yang saya sebutkan di atas, melihat Pak Lebai berkopiah makan di restoran yang kita ketahui status halalnya diragui bukan satu hujah untuk kita makan di sana. Paling tidak, perlu kita siasat mengapa Pak Lebai tersebut makan di sana atau bertanya terus kepada tuan restoran tentang status makanan di kedainya sebelum boleh kita makan di restoran tersebut. Boleh jadi Pak Lebai tersebut mengetahui apa yang tidak kita ketahui, boleh jadi juga dia tidak tahu akan status restoran tersebut.

Satu lagi contoh adalah dalam pelaburan internet. Banyak hujah ‘halal’nya sesuatu pelaburan yang saya dengar, adalah bila ada ustaz itu dan ustaz ini masuk, apatah lagi ustaz-ustaz yang popular, maka pelaburan tersebut halalan thoyyiban untuk disertai. Bukan begitu caranya, kita mesti menyiasat atau bertanya kepada pihak yang berautoriti dan mereka yang ahlinya hingga kita berpuas hati bahawa penyertaan kita adalah sah dari segi hukum dan undang-undang negara.

Biasakan diri kita mencari dalil sebelum membuat apa-apa keputusan dan tindakan, bukan buat keputusan dan kemudian baru mencari dalil. Sebagai muslim, kita mesti lebih sensitif, terutamanya dalam perkara yang melibatkan halal dan haram.

Kebenaran juga bukan berdasarkan kepada ramainya sokongan atau popularnya sesuatu pandangan, mungkin kadang-kadang, kebenaran itu berada pada kelompok yang kecil yang dilihat menentang arus yang popular dalam masyarakat.

Sebagai contoh, katakan berjumpa bomoh yang menggunakan jin telah menjadi amalan popular dalam masyarakat. Namun begitu, popularnya amalan tersebut tidak membolehkan kita yang mengetahui dengan jelas akan haramnya hukum berjumpa bomoh untuk melakukan amalan tersebut berdalilkan kebiasaan dan populariti amalan tersebut dalam masyarakat.

Biasakan diri berdamping dengan orang-orang yang lebih berilmu, terutamanya ilmu agama. Jika tidak tahu atau tidak pasti tentang sesuatu perkara, rujuklah pada orang yang ahlinya. Tidak kira dalam apa jua perkara, solat, puasa, zakat, haji, muamalah kewangan atau politik semasa, ilmu mesti dijadikan asas pertimbangan dalam apa jua perkara.

Tidak semua perkara kita boleh berlapang dada. Ada perkara yang jelas haram dan besar mudharatnya, perlu kita tinggalkan dan nyatakan penentangan semampu yang mungkin. Berlapang dada hanyalah pada perbezaan-perbezaan pendapat pada perkara yang tidak melibatkan usul-usul Aqidah dan mudharat yang besar pada kaum Muslimin.

Tidak wajar kita ‘berlapang dada’ dan membiarkan perkara-perkara yang jelas haram dan memberi mudharat besar kepada diri dan kepentingan kaum muslimin. Paling tidak, nyatakan penentangan di dalam hati kepada mungkar yang sedang berlaku, kerana itu adalah sedhaif-dhaif tahapan iman.

Moga Allah memberi kita faham tentang agamanya dan mengurniakan kita petunjuk menuju jalannya yang lurus.

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment