Anak : Satu Anugerah 1000 Keajaiban



"Nampak macam geng masak-masak je,kat bawah tu nampak kosong, tapi masih belum 100% pasti lagi, mungkin ada kemungkinan lain"

Dr. Murizah memberikan telahannya tentang jantina anak kedua kami yang baru berusia 4 bulan dalam kandungan.

Aku hanya tersenyum, hati terasa berbunga-bunga, walaupun ada juga mengharap agar jantina bayi kami yang ke dua ini lelaki. Namun aku tidak kesah, walauapapun jantinanya, tetap akan ku tatang bagai minyak yang penuh.

Mengimbau kenangan kehamilan isteriku yang kedua ini, jalannya penuh dengan tanda-tanda kebesaran dan meneguhkan lagi pendirianku bahawa manusia hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan segalanya.

Semenjak berhenti rehat setahun setelah kelahiran Humaira, kami telah mencuba pelbagai kaedah untuk mendapatkan zuriat kedua, pil kesuburan, suntikan, urutan, Biodex dan pelbagai lagi hinggakan isteriku hampir berputus asa setelah 3 tahun mencuba dan mendapat hasil yang kecewa.


Humaira sejurus selepas dilahirkan

Namun, Ramadhan tahun lepas benar-benar membuktikan kebesaran Allah. Aku masih lagi ingat, tidak putus doaku setiap solat, di atas motor, sebelum sahur, ketika iktikaf, bibirku basah dengan doa dan harapan agar Allah mengurniakan zuriat yang kedua. Antara doa yang selalu aku ulang-ulang adalah :

Di sanalah Zakaria mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa".
(3:38)

Bulan 11, sejurus sebelum isteriku melalui prosedur IUI, satu tahap dibawah IVF(persenyawaan beradas) yang rumit dan menyakitkan, tanpa sebarang ubat subur, suntikan dan sebarang bantuan ubat-ubatan, dengan kehendak Allah, isteriku hamil.

Kami mulanya seakan tidak percaya, sehingga berulang 2 ke 3 kali klinik untuk membuat pengesahan. Sehingga kandungan itu berusia 3 bulan barulah aku benar-benar yakin bahawa isteriku hamil.

Sesungguhnya Allah itu maha berkuasa melakukan apa yang dikehendakinya, walaupun melampaui batas logik akal manusia, ingatlah penciptaan Nabi Adam, pengurniaan zuriat kepada Nabi Zakaria dan kelahiran Nabi Isa Putera Maryam.

Allah itu berkuasa mengurniakan zuriat kepada sesiapa yang dikehendakinya, benarlah firman Allah :

"atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada siapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa." (42:50)

Anak adalah satu anugerah penuh keajaiban dari Allah yang berkuasa atas segala sesuatu.

No comments:

Post a Comment