Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Kisah Perjalanan : Siri 1 : Mencari Jalan Kembali
Perjalanan ke Baitullah adalah suatu perjalanan yang pasti tidak akan dapat dilupakan oleh setiap yang melaluinya, samada Umrah atau Haji, kenangan-kenangan harum dari kota Madinah dan keagungan Kaabah pasti akan melekat di memori setiap individu yang pernah menziarahinya.
Kota ini adalah kota suci, tanahnya diberkati, penduduknya mulia, sesiapa yang menziarahnya pasti beroleh kemuliaan.
Bagi kami, perjalanan ini bermula dicelah-celah keserabutan fikiran dek kerana banyaknya tugas dan tanggungjawab yang menghimpit perasaan dan melemahkan jiwa. Keserabutan itu mendesak kami untuk mencari sebuah ketenangan.
Himpitan-himpitan tanggungjawab di tempat kerja, tugas dan tanggungjawab terhadap rumahtangga dan keluarga, masalah demi masalah datang menghimpit di kiri kanan atas dan bawah sehingga menyesakkan jiwa. Tidak pernah sepanjang kehidupan kami, kami merasa begitu sesak, hingga tidak tahu kemana lagi hendak dituju, ibarat berada di dalam terowong sempit yang tidak ketahuan dimana penghujungnya.
Saban malam kami berdoa agar Allah mengurniakan kami jalan keluar dari segala himpitan-himpitan yang merimaskan dan menjauhkan kami dari berhubung dengan pintu-pintu langit. Kami ingin mencari jalan kembali.
Alhamdulillah, jalan keluar yang Allah tunjukkan adalah dengan mengurniakan kami ilham untuk bertamu ke rumahnya, punca segala ketenangan dan kebahagiaan, tempat turunnya wahyu dan tempat bersemadi manusia yang paling dicintai oleh Allah.
Kami merasa amat takjub dengan ilham ini, sebelum ini belum pernah terlintas di benak fikiran kami walaupun mempunyai segenap kemampuan dan kesempatan masa untuk menziarahi rumahnya.
Ilham ini adalah ibarat jemputan agung kepada kami, kami merasa amat berbesar hati dan terharu menerima jemputan dari pemilik segala keagungan di langit dan di bumi. Ramai yang mungkin mempunyai wang yang banyak, kesempatan masa dan timbunan harta tetapi belum diizinkan untuk bertamu ke sana.
Kami merasa bahawa bahawa kami adalah insan bertuah antara ramai manusia-manusia lain yang diberi keizinan dan kesempatan untuk bertamu ke rumahnya. Syukur ya Allah, atas segala nikmat yang telah kau kurniakan.
Ramai yang mencari bahagia, tetapi bahagia itu dicari pada banyaknya harta, pada hebatnya kereta, pada besarnya rumahtangga dan mungkin pada tempat-tempat percutian yang luarbiasa, tetapi akhirnya beroleh kecewa dan menambah keserabutan di jiwa.
Hakikatnya bahagia itu hanya ada pada punca segala bahagia, jalan mencari kebahagiaan hanyalah dengan kembali kepada tuhan. Jika anda merasa kecewa, duka, dan luka jiwa kembalilah kepadanya, kerana hanya dia yang mempunyai penawar untuk segalanya.
Berdoalah saban waktu kepadanya, nescaya akan ditunjukkan jalan keluar yang tidak disangka-sangka. Kesudahan yang baik hanyalah milik orang-orang yang bertaqwa.
Kami bersyukur kerana kami ditunjukkan jalan untuk kembali padanya. Jalan untuk pulang mencari punca kebahagiaan. Alhamdulillah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment