Cepat sungguh masa berlalu, rasanya seperti baru sahaja menulis entri
pertama dalam blog pada awal tahun 2013, hari ini, Januari 2014 telahpun masuk
ke fasa pertengahan. Bilangan tulisan di blog pada tahun 2013 juga semakin
merosot jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, mungkin kerana saya
banyak berkongsi rasa di facebook agaknya. Azam 2014 adalah untuk menghidupkan
kembali blog ini dengan lebih banyak artikel dan analisis yang lebih dewasa.
Banyak perkara yang berlalu pada tahun 2013. Perjalanan PhD juga telah hampir
sampai ke penghujung, data telah siap dikutip dan dianalisa, tinggal untuk
diulas dalam tesis. Beberapa bab telah disiapkan dan telah dihantar, tapi masih
menunggu komentar dari penyelia yang nampaknya agak kurang aktif sejak cuti
Krismas baru-baru ini.
Entahlah, tapi semakin saya mendalami bidang ini, semakin saya tahu
bahawa saya tidak akan kekal lama dalam bidang ini. Dunia kajian dan penerbitan
akademik dalam bidang sistem maklumat bukan bidang yang pastinya saya akan
terus mendalami selepas ini walaupun jika saya berjaya menamatkan penulisan
tesis ini dengan jayanya. Bidang lain, mungkin, dan mungkin juga satu hari
nanti saya akan bertukar karier menjadi usahawan sepenuh masa. Hidup dengan
usaha dalam perkara yang lebih saya sukai.
2013 juga saya banyak berkelana, ke Dubai, Brazil dan pulang ke Malaysia
beberapa kali, antaranya kerana PRU dan untuk menjemput ibu bapa saya datang ke
sini. Banyak pengalaman baru dalam perjalanan, banyak juga kenalan-kenalan baru
yang saya temui, paling ‘mengejutkan’, bila mendapat khabar cahaya mata keempat
akan tiba tidak lama lagi dalam tahun 2014.
Selain dari orang baru yang akan disambut pada tahun 2014, tahun ini
juga tahun terakhir saya akan berada di Australia, paling lambat saya akan
pulang adalah pada bulan Ogos 2014, paling cepat mungkin bulan Mac saya akan
pulang. Perasaan pastinya bercampur baur, tapi apa yang pasti, kehidupan akan
diteruskan dan setiap saat yang berlalu, di mana sahaja saya berada, ada
malaikat yang mencatat segala amalan untuk dipersembahkan di hadapan Allah satu
hari nanti di akhirat.
Begitulah kehidupan, saat demi saat, kita semakin tua, anak-anak semakin
membesar dan kematian semakin menghampiri, selagi usia masih bersisa,
gunakanlah sebaiknya untuk beramal sebanyak-banyaknya buat bekal di akhirat
nanti.
No comments:
Post a Comment