PILIHAN HARI INI, MASA DEPAN KITA NANTI: IBRAH DARI PENERBANGAN 611 CHINA AIRLINES

Gambar hiasan: Pesawat China Airlines
Beberapa hari yang lepas, saya berkesempatan menonton rancangan Air Crash Investigation di YouTube, antara rancangan kegemaran yang sering saya cuba cari masa untuk menontonnya. Kali ini, episod yang saya tonton adalah berkenaan kemalangan yang menimpa sebuah pesawat China Air yang sedang dalam perjalanan dari Taiwan ke Hong Kong.

Pesawat malang berusia 22 tahun ini pecah di udara dan terhempas ke laut hanya selepas 20 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan dan mengorbankan kesemua 225 penumpang dan anak kapal. Pelbagai teori dibangkitkan oleh media untuk mengenalpasti punca kapal terbang ini terputus dua dan relai di udara, antaranya adalah serangan bom oleh penyerang berani mati dan tembakan peluru berpandu oleh tentera Cina yang sedang menjalankan latihan di kawasan berhampiran pada hari pesawat malang tersebut terhempas.

Namun data dari kotak hitam pesawat dan maklumat radar menolak teori tembakan peluru berpandu, begitu juga pemeriksaan ke atas mayat-mayat yang ditemui menolak teori pesawat ini dibom oleh penyerang berani mati. Lebih memeningkan penyiasat, langsung tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan kegagalan elektronik dalam sistem pesawat atau kesilapan juruterbang. Perbualan dan bunyi dalam kokpit pesawat juga tidak dapat memberikan apa-apa petunjuk.

Jadi apa punca sebenar?


Setelah siri pemeriksaan dilakukan terhadap beratus ratus pecahan bangkai pesawat, akhirnya, petunjuk yang dicari berjaya ditemui. Hasil siasatan menunjukkan bahawa pesawat itu pecah kerana retakan serius pada bahagian ekor akibat satu kemalangan kecil yang berlaku 20 tahun yang lalu.

Akibat kesilapan mekanik yang membaiki kerosakan kecil pada badan pesawat malang tersebut setelah kemalangan itu berlaku, retakan itu semakin lama semakin besar. Lebih malang, ia langsung tidak dapat dikesan dalam siri-siri pemeriksaan rutin pesawat selepasnya kerana mekanik yang membaiki hanya menulis catatan ringkas di dalam log yang menyatakan bahawa kerosakan itu telahpun diperbaiki dengan sepatutnya walhal apa yang berlaku tidak begitu.

Besi yang sepatutnya dibuang dan diganti, hanya ditampal dan dicat semula, pembaikan yang dibuat, tidak mengikut standard yang telah dikeluarkan oleh pengeluar pesawat.

Akhirnya, selepas 22 tahun, kesilapan kecil atau pilihan yang salah untuk tidak membaiki keseluruhan pesawat mengikut standard membawa padah yang besar dan menjadi antara tragedi terburuk dalam sejarah penerbangan China Air.

Banyak perkara yang dipelajari oleh industri penerbangan dalam kemalangan ini, antaranya adalah audit dan pemeriksaan pesawat yang lebih ketat dan lebih kerap dan ia menjadi kajian kes yang penting dalam penambahbaikan terhadap penyenggaraan pesawat.

Episod ini membuatkan saya termenung dan berfikir panjang selepasnya. Bagaimana kerja cincai yang dilakukan kerana hendak cepat akhirnya menjadi sebab musibah ngeri yang mengorbankan banyak nyawa.

Pilihan yang salah 20 tahun yang lampau akhirnya memberi kesan yang amat buruk 20 tahun selepasnya. Ajal dan taqdir adalah ketentuan, tapi usaha dan ikhtiar untuk memilih pilihan yang baik atau buruk adalah sentiasa di tangan manusia.

maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya,
sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu,
dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.

(As Syams 8-10)

Bagaimana dengan kita pada hari ini?

Adakah kita telah memilih untuk menjalani kehidupan yang punya matlamat, perancangan, teliti dan tersusun dalam perlaksanaan? Ataukah kita memilih untuk menjalani kehidupan secara cincai dengan membiarkan ia berlalu secara ‘autopilot’, tanpa destinasi, tiada perancangan dan tidak pernah menyusun perlaksanaan?

Pernahkah kita berfikir, apakah kesan kepada kehidupan kita 20 tahun akan datang jika kita terus menerus dengan cara hidup cincai seperti yang kita jalani sekarang?

Lebih penting lagi, pernahkah kita berfikir, apakah kesan kepada kehidupan kita 2000 tahun akan datang di alam baqa’ jika kita terus menerus dengan pilihan-pilihan cincai seperti mana yang kita lakukan sekarang?

Apa yang kita lakukan hari ini tidak akan berakhir di sini, pasti akan ada kesannya nanti di masa hadapan, bukan hanya ketika kita telah meningkat ke usia tua, tapi lebih utama, bila kita melangkah kaki di hadapan Allah untuk dihisab.

Bagaimana kita memilih untuk mendapatkan harta?

Bagaimana kita memilih untuk membelanjakan setiap sen dari duit kita?

Bagaimana kita menghabiskan usia muda?

Bagaimana kita menggunakan ilmu yang kita ada?

Ke mana kita menjaga dan menyalurkan nikmat kesihatan yang kita ada?

Semuanya akan memberi kesan kepada kehidupan kita di masa hadapan, bukan sahaja kehidupan di dunia, tapi kehidupan di akhirat nanti.

Jika hari ini kita malas membaca, jangan bermimpi untuk menjadi sarjana 20 tahun lagi. Jika hari ini kita membuang masa, banyak tidur dan gemar berbual kosong, jangan mimpi untuk menjadi seperti Syed Mokhtar Al Bukhary 20 tahun lagi. Jika hari ini kita culas dan malas dalam ibadah, dalam tarbiah dan dalam dakwah, jangan bermimpi untuk menjejakkan kaki ke syurga Allah yang tertinggi.

Pilihan kita hari ini adalah masa depan kita nanti.

Cincai pilihan kita, cincailah juga nanti masa depan kita.

Kemas pilihan kita, Allah pasti tidak akan menzalimi hamba-hambanya yang berusaha dan bertawakkal kepadanya.

Pilihlah dengan taqwa, umpama seorang yang berjalan di jalanan penuh duri.


Moga Allah sentiasa menunjukkan kita dan memberi hidayah untuk kita berjalan di atas jalannya yang lurus.

1 comment: