JEREMY WADE, RIVER MONSTERS DAN CITA YANG TERPADAM



Selain dari Air Crash Investigation, satu lagi siri yang saya amat minati adalah River Monsters yang dihoskan oleh Jeremy Wade. Dalam beberapa siri River Monsters yang sempat saya tontoni, Jeremy mengembara ke lokasi-lokasi yang agak ‘remote’ dan asing bagi dirinya untuk mencari spesis ikan gergasi yang jarang-jarang ditemui.

Apa yang menyebabkan saya suka dengan siri ini bukanlah kerana ikan-ikan gergasi yang selalu ditemui oleh Jeremy, tapi saya seronok menikmati bagaimana ‘passion’ Jeremy dalam mencari apa yang diingininya. Beliau bukanlah gagah, tampan dan sasa seperti Bear Grylls, atau agresif, luar biasa dan lucu seperti Steve Irwin yang telah meninggal dunia akibat tertusuk duri ikan Pari.

Susuknya sederhana, tiada six pack atau lengan yang berotot, tapi semangatnya yang meluap-luap dalam setiap pengembaraan membolehkan beliau mencapai apa yang beliau cari walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan.

Dokumentari River Monsters menceritakan kisahnya dengan begitu jujur. Beliau pernah diserang Malaria selama dua minggu ketika kembaranya ke Congo, terjatuh dan cedera beberapa kali akibat pelbagai kemalangan ketika pengembaraan di Amazon, dirempuh oleh ikan gergasi hingga menyebabkan kecederaan yang teruk dan pelbagai lagi kisah-kisah menarik.

Banyak juga pengembaraannya yang langsung tidak membuahkan hasil, ikan yang dicari tidak ditemui, ada ketikanya beliau pulang tangan kosong dengan hampa walaupun telah mengembara dengan amat jauh dan memakan masa yang lama, tapi ‘passionnya’ tidak pernah berkurang dalam setiap pengembaraan.

Apa sebenarnya yang mendorong Jeremy Wade untuk mengembara dan mengalami pelbagai kesusahan?



Apakah kerana kemasyhuran, duit atau mungkin beliau memang amat 'passionate' dalam mencari spesis ikan-ikan gergasi? Suaranya yang jujur dalam setiap dokumentari membuatkan saya merasakan bahawa duit dan kemasyhuran bukanlah matlamat utamanya.

Jeremy Wade mungkin punya jawapannya yang lebih tepat, tapi, menonton siri-siri sebegini, membuatkan saya terfikir bahawa ada sesuatu yang hilang dalam kehidupan kita.

Apa sumber motivasi kita dan apa sebenarnya yang mendorong kita untuk mencapai cita-cita?

Adakah kita menyambung pengajian di peringkat sarjana, sub kepakaran atau doktor falsafah kerana dihambat oleh Universiti atau untuk meningkatkan tangga gaji? Adakah kita melakukan penyelidikan dan penerbitan hanya kerana geran dan keperluan untuk kenaikan pangkat? Adakah kita memilih kursus di universiti berdasarkan jumlah gaji yang bakal diterima setelah bekerja? bahkan adakah kita berniaga juga hanya dengan tujuan untuk menjadi kaya sekaya-kayanya?

Adakah hanya wang yang menjadi sumber motivasi? Dan ‘passion’ kita dalam melakukan apa jua kerja hanyalah untuk menambahkan bilangan angka dalam akaun bank kita. 

Amat rugi jika hanya wang yang menjadi matlamat, hanya wang sumber motivasi, akhirnya hidup hilang makna, kita berhenti bermimpi dan mengembara kerana kerisauan kita terhadap keluarga yang kita sara. Kita mula berhenti bertanya, apa yang sebenarnya aku inginkan dari hidup ini? Akhirnya tanpa kita sedar, kita menjadi hamba kepada wang.

Kita merancang hidup, merancang kewangan, tapi segalanya menjadi rutin, fikir utama hanyalah untuk perut keluarga sendiri sahaja, jika ada sedikit lebihan, kita sumbangkan beberapa ringgit di tabung masjid untuk menyedapkan hati.

Hidup jadi biasa-biasa, tiada lagi eksplorasi, kita hilang keberanian untuk keluar dari zon selesa, kita kehilangan ‘passion’ untuk mengejar cita-cita yang kita simpan di lubuk hati kita yang paling dalam.

Duit semakin banyak, tapi kita tidak pernah puas. Kita menyangka dengan menambah pendapatan, kita akan jadi lebih bahagia, tapi hakikatnya bukan begitu, akhirnya kita tenggelam dalam rutin kehidupan yang membosankan dan sedar-sedar, kita telah berada di penghujung usia.

Jadi bagaimana?

Kita mungkin agak jauh untuk menjadi seperti Jeremy Wade kerana minatnya yang agak luarbiasa, dan kita juga tidak perlu mengejar buaya seperti Steve Irwin, punya tubuh sasa seperti Sylvester Stallone, mampu melakukan 'epic split' di atas lori seperti Jean Claude Van Damme, terjun dari angkasa yang tinggi seperti Felix Baumgartner atau mengembara seorang diri di lokasi yang ekstrim seperti Bear Grylls tetapi sebenarnya setiap kita boleh mencapai potensi diri yang luar biasa jika kita kembali mencari dan menyalakan semula ‘passion’ di dalam diri yang telah lama hilang.

Jeremy Wade juga pernah jatuh sakit teruk, gagal, bahkan hampir menemui ajal, dan saya yakin, itulah sunnah bagi mereka yang mengejar cita-cita yang tinggi. Beliau bukan 'Superman' dan kita juga tidak perlu menjadi 'Superman' untuk mengejar apa yang kita inginkan.

Bahkan sebagai Muslim, kita ada idola yang jauh lebih baik dari Jeremy Wade, kita ada sahabat-sahabat Rasulullah yang mengembara ke seluruh pelusuk dunia, para tabi’in yang menguasai pelbagai cabang ilmu, Imam muktabar seperti Muhammad Bin Idris As Syafi’i, kita ada Al Khwarizmi, Ibn Taimiah, Ibn Battutah, Ibn Khaldun, Hassan Al Banna, Abd Aziz Rantissi dan ramai lagi, dunia Islam tidak pernah kekeringan tokoh yang menghasilkan sumbangan yang bermakna untuk dunia untuk kita teladani.

Selagi hayat kita masih ada, jangan pernah berhenti untuk mengejar ketinggian dan kemuliaan, bukan untuk kemasyhuran dunia, tapi untuk nasib yang lebih baik di akhirat sana.

Paling kurang, cita-cita untuk belajar bahasa Arab dan menghafaz Al Quran jangan pernah dipadamkan. Selagi kita masih bernyawa, kita sebenarnya masih ada masa. 

No comments:

Post a Comment