Beberapa hari lepas, negara dikejutkan dengan berita sedih sepasang suami
isteri yang ditahan di Sweden kerana merotan anak mereka di tangan dengan
tujuan untuk mendidik mereka berkenaan dengan solat.
Hingga saat ini, pasangan ini telah ditahan di penjara hampir sebulan
dan lebih menyedihkan, anak-anak mereka telah ditempatkan bersama dengan
keluarga bukan Islam. Menurut sumber media, undang – undang penderaan fizikal
kanak-kanak yang amat ketat di Sweden telah menyebabkan pasangan ini ditahan.
Setiap Muslim yang membaca berita ini pasti akan terluka, kerana merotan
anak-anak dalam pendidikan solat adalah sebahagian sunnah baginda dalam tarbiah
anak-anak. Rotan adalah langkah terakhir yang dianjurkan oleh baginda dalam
mendidik anak-anak untuk mendirikan solat. Sunnahnya adalah mula menyuruh anak
solat pada usianya 7 tahun dan rotan digunakan jika masih culas dalam solat
pada usia 10 tahun.
Mungkin inilah hakikat praktikal disebalik peribahasa hujan emas di
negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. Sweden
walaupun terkenal sebagai sebuah negara yang baik serba serbi, dari segi hak
asasi, ‘good governance’, kebersihan, kemajuan, harga barang yang murah dan
sebagainya tapi bila berlaku kes-kes begini, tetap kita merasakan tinggal di Malaysia
yang mungkin tidak sehebat Sweden dari segi material adalah jauh lebih baik.
Kecederaan emosi akibat memisahkan anak-anak pasangan ini dari ibu
bapanya yang baik jauh lebih buruk dari luka libasan rotan oleh ibu bapa yang
ingin mendidik anak-anaknya. Kerajaan Sweden nyata telah berlaku zalim apabila
memisahkan hak fitrah anak-anak untuk bertemu dengan kedua ibu bapa mereka. Hal
ini terbukti apabila diberitakan anak-anak pasangan ini dalam keadaan tertekan
dan sedih, bahkan dilaporkan bahawa anak bongsu kepada pasangan ini menangis setiap hari kerana rindukan ibu
bapanya.
Semoga Allah melimpahkan kesabaran dan mempermudahkan jalan untuk
pasangan ini dibebaskan dan kembali disatukan dengan anak-anak mereka.
Sedih memang sedih, tapi bila melihat apa yang berlaku kebelakangan ini
di negara kita, peribahasa tersebut mungkin pada masa akan datang tidak akan
lagi relevan. Kisah guru muallaf SJKC yang dipaksa untuk menanggalkan tudung
jika ingin terus mengajar adalah amat menyedihkan dan membimbangkan.
Apatah lagi jika diingat beberapa ketika dulu, seorang Muslimah yang
mencari kerja di KLCC menceritakan pengalamannya yang mendukacitakan, tidak
diterima bekerja hanya kerana bertudung! Dan testimoninya telah disokong oleh
ramai lagi yang menyatakan bahawa mereka juga mengalami diskriminasi yang sama.
Beberapa ketika dahulu, ketika saya sedang menyelia praktikum di
beberapa firma audit, ada pelajar saya yang menyatakan bahawa bossnya marah
jika dia meninggalkan meja untuk mendirikan solat.
Saya percaya, mungkin banyak lagi diskriminasi yang berlaku terhadap
umat Islam di tanahair kita sendiri, di tanah umat Islam di mana ISLAM adalah
agama persekutuan, tapi mungkin tidak di ‘viral’ kan kerana tidak mendapat
perhatian media atau tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Umat Islam di Malaysia, secara khususnya bangsa Melayu yang rata-ratanya
adalah Muslim perlu lebih sensitif terhadap isu-isu begini walaupun kecil.
Sikap terlalu berlembut dan apologetik terhadap diskriminasi yang berlaku akhirnya
akan memakan jati diri dan menyebabkan kita bakal terhina di tanahair kita
sendiri.
Hari ini tidak dibenarkan bertudung di tempat kerja, esok lusa mungkin
tidak dibenarkan untuk solat pula, sepuluh tahun lagi mungkin setiap agama akan
diiktiraf sebagai sama rata dan mesti diberikan keistimewaan yang sama. Lama
kelamaan, terungkai habis kemuliaan ISLAM hingga akhirnya agama Islam dan
bangsa Melayu akan terpinggir dan hilang kedudukan yang istimewa seperti apa
yang telah berlaku di negara jiran kita.
Tidak mustahil, di masa depan, seratus tahun lagi mungkin, ketika hak
asasi manusia menjadi agama baru negara dan rujukan utama pihak yang memerintah,
ada anak-anak yang menyaman ibu bapanya kerana merotan mereka untuk mendirikan
solat!
Jika kita masih terlalu berlembut, salah menyalahkan, keras terhadap
saudara seaqidah dan gagal bersatu dalam apa jua isu yang melibatkan umat
Islam, tidak mustahil, Malaysia sebagai sebuah negara umat ISLAM akan tinggal
sejarah seperti kerajaan ISLAM Champa yang pernah gemilang satu ketika dahulu.
Paranoid? Lihatlah pada sejarah, mereka yang gagal memahami sejarah
akhirnya akan dijarah dan tinggal menjadi sejarah yang dilupakan.
Jangan biarkan ia berlaku di hadapan mata kita dan di hadapan mata anak
cucu kita.
'Not on our watch!'
'Not on our watch!'
Saya baru start nak berhijab, n bila saya suarakan benda ni kat tempat kerja saya, mereka tak benarkan. Saya rasa sedih sangat. Macam bukan negara malaysia.
ReplyDeleteApe cite kes ni sekarang?
ReplyDelete