Minggu lepas Adelaide mengalami ‘heatwave’ yang dikatakan antara yang terburuk dalam sejarah. Bahkan pada hari Khamis, iaitu hari keempat ‘heatwave’, Adelaide diisytiharkan sebagai bandaraya terpanas di dunia dengan suhu mencecah hampir 46 darjah celcius.
Dengan suhu melebihi 40 darjah untuk 5 hari berturut-turut, kelembapan
udara yang rendah hingga menyebabkan pernafasan menjadi sukar dan kulit menjadi
amat kering, angin panas yang bertiup menerjah muka seperti angin yang baru
keluar dari bara api dan terik mentari yang amat membahang hingga kulit terasa
terbakar setiap kali terkena cahaya matahari, ‘heatwave’ kali ini benar-benar
membuatkan ramai orang resah dan gelisah.
‘Bushfire’ juga berlaku di beberapa tempat hingga mengakibatkan
kehilangan harta yang tidak kurang banyak.
Berada di rumah terasa seperti berada di dalam sauna bila pendingin hawa
di rumah mengalami kerosakan. Malam rabu dan khamis, kami sekeluarga terpaksa
tidur di surau Universiti di bangunan Business School yang baru dibina kerana
tidak tahan berada di rumah. Mandi berkali-kali, minum air sejuk juga
bergelen-gelen kerana perasaan dahaga yang luar biasa. Peluh di badan usah
dikata.
Siang hari dihabiskan di perpustakaan, pulang ke rumah hanya seketika
untuk mandi dan makan seketika. Pergi ke tepi pantai pada waktu malam pun masih
terasa bahang angin panas yang bertiup, bahkan ramai yang masih berenang di
pantai pada jam 11 malam!
Ini baru panas dunia, bak kata Imam Salam dalam khutbah Jumaat di Masjid
Wandana.
‘Heatwave’ yang paling panas di dunia pun pasti tidak akan sepanas suasana
di Mahsyar nanti. Ketika itu matahari di dekatkan sedekat-dekatnya di atas
kepala dan manusia akan tenggelam dalam peluhnya sesuai dengan keadaan amalnya
di dunia.
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, dari Miqdad Al Aswad, Nabi SAW
bersabda:
“Pada hari kiamat, matahari di dekatkan di kepala manusia sejarak satu
mil. Maka semua manusia tenggelam di dalam peluhnya sesuai mengikut amal
perbuatannya di dunia. Sebahagiannya tenggelam hingga mata kaki, sebahagian
yang lain hingga ke pinggang dan sebahagian yang lain hingga ke mulutnya.”
Panas di dunia, paling lama mungkin hanya sebulan atau dua bulan, ‘heatwave’
yang datang juga tidak pernah melebihi lima hari, itupun masih boleh lari ke
tempat yang mempunyai pendingin hawa, mandi air yang dingin, minum ais atau
paling kurang, berteduh di bawah pohon yang rendang.
Panas di akhirat, tidak ada tempat berlindung, kecuali mereka yang telah
menyelamatkan diri dengan amal-amal soleh yang membawa redha Allah ketika
berada di dunia.
Ketika gawat suasana Mahsyar, dengan panasnya, dengan geliwatnya suasana
ketika itu, dengan pelbagai rupa manusia yang dibangkitkan, ada yang berjalan
di atas muka, ada yang wajahnya dihodohkan kerana amal buruk yang dilakukan di
dunia, manusia terseksa berada dalam keadaan resah dan gelisah mencari
penyelamat sementara menunggu hisab dimulakan.
Manusia pada ketika itu mencari para nabi untuk menyelamatkan mereka dan
meminta agar proses hisab segera dimulakan, tetapi malangnya semua para Nabi
menolak kerana khuatir akan kemurkaan Allah. Hinggalah akhirnya, bila manusia bertemu
dengan Nabi Muhammad SAW, baginda bersujud dan berdoa kepada Allah memohon agar
hisab segera dimulakan. Lama setelah itu, permintaan baginda dimaqbulkan dan
hisab pun dimulakan.
Begitulah nanti kisah kita di Mahsyar sementara menanti hisab, pastinya
lebih panas dari ‘heatwave’ di dunia, dan di sana tidak akan ada tempat
berlindung melainkan mereka yang telah dijanjikan oleh Allah akan dilindungi di
akhirat nanti.
Sementara masa dan nyawa masih berbaki di dunia, marilah sama-sama kita
mencari saham untuk membeli perlindungan di padang Mahsyar nanti kerana
panasnya nanti adalah panas yang tidak terperi sakitnya.
Jika panas matahari di dunia pun kita tidak boleh menahannya, bagaimana nanti
kita akan terseksa di akhirat sana jika tidak bersedia dari sekarang untuk
menyelamatkan diri dan ahli keluarga kita dari menjadi bahan bakar api neraka.
Nauzubillahimindzalik.
No comments:
Post a Comment