Sejak televisyen dikuarantin
sementara untuk mengelakkan anak-anak terlalu ketagih dengan skrin, saya
terpaksa meluangkan masa lebih untuk bercerita sebagai alternatif,
kadang-kadang habis juga modal dan banyak yang perlu dibaca, tapi itulah harga
yang perlu dibayar.
Saya bungkam seketika mendengar
soalan tersebut, tidak pernah terlintas dan tidak pernah bersedia untuk
menjawabnya. Walaupun saya banyak membaca juga tentang poligami, terutamanya
poligami dalam kehidupan Rasulullah, tapi untuk menerangkannya kepada
anak-anak, adalah sesuatu yang tidak pernah saya gambarkan.
Seperti biasa, saya memohon agar
jawapan kepada soalan tersebut ditangguhkan untuk saya membaca dan berfikir
dengan lebih panjang, Humaira bersetuju dan terus tidur selepasnya.
Lama saya berfikir dan meneliti
pelbagai jawapan, pendapat rakan facebook juga saya pinta untuk meluaskan ufuk
pemikiran. Persoalan ini perlu dirungkai penuh hati-hati, agar tidak menjadi
fitnah di kemudian hari.
“Humaira’ ingat tak soalan
Humaira’ tentang mengapa Rasulullah ada banyak isteri?” Tanya saya kepada Humaira
pada satu hari setelah saya bersedia untuk memberikan jawapan.
“Ingat-ingat, ayah dah tahu ke
jawapannya?” Balas Humaira’.
“Hmmm, begini. Dalam Islam,
memang orang lelaki dibenarkan untuk berkahwin dan mempunyai lebih dari satu
isteri. Perkara ini memang Allah sebut di dalam Al Quran dalam surah An Nisa
ayat ke tiga.” Saya memulakan penerangan dengan menggunakan dalil khusus dari
Al Quran tentang keharusan untuk orang lelaki berpoligami.
“Cuba Humaira’ tengok ayat
tersebut dalam iPhone ayah” Saya menyerahkan iPhone kepadanya dengan aplikasi
iQuran yang telah dibuka pada surah An Nisa.
“Hmmm…okay.” Jawab Humaira’
setelah meneliti.
“Jadinya, berkahwin lebih dari
satu isteri ni adalah satu perkara yang dibolehkan dalam Islam, asalkan suami
dapat berlaku adil kepada kesemua isteri-isterinya. Dalam bahasa Melayu, ia
disebut sebagai poligami. Ia bukanlah satu perkara yang buruk ataupun keji,
bahkan akan dapat pahala pula jika diuruskan sebaiknya.”
“Ini adalah kerana lelaki Allah
ciptakan untuk melindungi orang perempuan, bukan sebaliknya, sebab itu
perempuan tidak boleh berkahwin lebih dari satu. Ini adalah perkara fitrah yang
Allah jadikan dalam kehidupan manusia.”
“Untuk Rasulullah, ada
keistimewaan khusus yang Allah beri, iaitu untuk berkahwin lebih dari empat
isteri atas tujuan-tujuan yang tertentu yang ayah akan jelaskan lebih lanjut
nanti.”
Saya menerangkan seringkasnya.
Cukup setakat ini untuk dia memahami beberapa perkara asas.
Humaira' mengangguk-angguk tanda
memahami. Alhamdulillah, berterus terang dengan hukum hakam dengan dalil dari
Al Quran dan Sunnah adalah cara terbaik untuk memberikan jawapan.
Suka atau tidak, poligami adalah
perkara yang dibenarkan oleh agama dan kita sebagai orang yang beriman wajib akur. Jika kita mengatakan bahawa poligami adalah tidak adil dan akan menzalimi
wanita, mereka yang tidak berpoligami pun banyak yang menzalimi wanita, lebih
buruk lagi bila berlaku kes-kes seperti sumbang mahram dan berzina dengan perempuan
simpanan kerana jalan syariat yang halal dipandang buruk dan disusahkan.
Jika dikatakan poligami menyebabkan isteri dan anak-anak ditinggalkan dan tidak terbela, banyak juga kes mereka yang tidak berpoligami meninggalkan isteri terkontang kanting membanting tulang bagi menyara keluarga. Apakah kita berani untuk mengharamkan perkahwinan monogami kerana takut lelaki tidak akan berlaku adil?
Jangan diambil contoh yang buruk untuk memenangkan hawa nafsu ke atas jalan syara', kerana di luar sana masih banyak contoh-contoh baik dari kehidupan lelaki-lelaki soleh yang berpoligami dan mampu untuk melunaskan tanggungjawab sebaiknya.
Jika dikatakan poligami menyebabkan isteri dan anak-anak ditinggalkan dan tidak terbela, banyak juga kes mereka yang tidak berpoligami meninggalkan isteri terkontang kanting membanting tulang bagi menyara keluarga. Apakah kita berani untuk mengharamkan perkahwinan monogami kerana takut lelaki tidak akan berlaku adil?
Jangan diambil contoh yang buruk untuk memenangkan hawa nafsu ke atas jalan syara', kerana di luar sana masih banyak contoh-contoh baik dari kehidupan lelaki-lelaki soleh yang berpoligami dan mampu untuk melunaskan tanggungjawab sebaiknya.
Pandangan masyarakat yang buruk
terhadap mereka yang berpoligami perlu diperbetulkan, ia adalah penyelesaian
syariat yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan mana-mana solusi ciptaan
manusia.
Ia juga jauh lebih baik dari trend di negara-negara
barat yang ‘membolehkan’ lelaki dan wanita tidur dengan seberapa banyak
pasangan semahunya sebelum mengikat diri dalam institusi perkahwinan yang sah.
Bahkan biasa juga didengari mereka yang telah tinggal bersama dan mempunyai
anak tetapi enggan berkahwin segera kerana merasakan bahawa perkahwinan akan
menyusahkan dan menyempitkan hidup mereka.
Poligami adalah penyelesaian dari Allah, termaktub di dalam agama sebagai salah satu jalan yang dibenarkan oleh syara'. Seperti mana kita tidak boleh untuk menghalalkan perkara yang haram, jangan sewenang-wenangnya juga kita mengharamkan perkara yang halal kerana beberapa kisah yang tidak menyebelahi.
Poligami adalah penyelesaian dari Allah, termaktub di dalam agama sebagai salah satu jalan yang dibenarkan oleh syara'. Seperti mana kita tidak boleh untuk menghalalkan perkara yang haram, jangan sewenang-wenangnya juga kita mengharamkan perkara yang halal kerana beberapa kisah yang tidak menyebelahi.
Anak-anak perlu dididik sejak kecil untuk mengenal dan tidak memusuhi poligami. Ini penting, kerana bila berlaku perkara tersebut
dalam keluarga mereka, anak-anak akan redha dan memberi sokongan untuk mencipta
suasana yang lebih harmoni. Penerimaan anak-anak adalah antara kunci penting
dalam kebahagiaan rumahtangga poligami.
Adapun saya, bila isteri bertanya
tentang poligami, tidaklah saya menolak dengan penafian ‘Lan’ (selama-lamanya
tidak) kerana saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Tidak
juga saya berkata mahu kerana saya tahu kemampuan diri dan apa yang saya
perlukan dalam hidup. Setakat ini, saya masih bahagia dengan satu isteri yang
telah memberikan segala-galanya untuk membuatkan saya sentiasa ceria dan
bahagia.
Jika anda mampu silakanlah untuk
merebut pahala yang berganda dari bakti dalam rumahtangga, namun, bagi mereka
yang tidak mampu (ukurlah baju di badan sendiri), tahanlah diri dengan berpuasa kerana
tanggungjawab dan soal jawab di hadapan Allah amatlah berat.
Buat wanita, didiklah diri untuk
redha jika ditaqdirkan ia berlaku dalam keluarga anda, ia memang pedih dan
tidak akan ada lelaki yang mampu memahaminya, tapi itulah mujahadah dan ruang
pahala istimewa yang Allah sediakan khusus untuk wanita-wanita yang bertaqwa.
Moga Allah memberikan kita
petunjuk dan sentiasa membimbing kita menuju jalannya yang lurus.
No comments:
Post a Comment