Asmah mendengar acuh tak acuh,
jeritan ibunya tidak diendahkan, dia terus menatap skrin dengan khusyuk, entah
apa yang ditatapnya.
Dalam satu lagi situasi.
“Azmi, marilah makan, nasi dah
nak sejuk ni.” Laung Aisyah dari dapur, memanggil anak sulungnya yang berusia 6
tahun untuk makan tengahari. Azmi tidak berganjak, bagaikan telah dipukau oleh
skrin televisyen Samsung HD bersaiz 60 inci dengan pelbagai rancangan yang
menarik perhatiannya.
Saya yakin, sedikit sebanyak,
situasi di atas pasti pernah atau sedang dialami oleh ibu bapa yang mempunyai
anak dari generasi Z. Generasi skrin sentuh dan interaktif di mana segalanya
pantas dan berwarna-warni. Tidak cukup dengan plasma dan LCD, kini muncul
teknologi retina display dan skrin LED yang cukup mengasyikkan.
Dengan pelbagai rancangan
televisyen dari siaran percuma mahupun berbayar, juga pelbagai aplikasi telefon
dan tablet pintar dari Android ataupun Apple, semuanya adalah resipi untuk ‘melekatkan’
manusia dengan skrin, dan generasi Z adalah antara ‘mangsa’ mereka yang paling
ampuh.
Ditambah pula dengan ibu bapa
yang berkerjaya, ataupun punya ibu bapa yang juga terlalu asyik dengan skrin
telefon pintar, kebimbangan untuk melepaskan anak-anak bermain di luar dengan
kadar jenayah yang tinggi, akhirnya anak-anak ini mencari televisyen, tablet
dan pelbagai lagi gajet sebagai candu untuk mengubat sunyi.
Kesannya besarnya bukan sekarang,
bukan bila anak-anak ini masih kecil, walaupun mungkin ada kebimbangan yang
mengatakan bahawa anak-anak yang terlalu banyak terdedah dengan skrin akan
mudah hilang fokus dalam pembelajaran awal di sekolah, tapi kesannya adalah dua
puluh atau tiga puluh tahun akan datang, bila generasi anak-anak hari ini
menjadi ahli masyarakat.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya, walaupun komik ini menceritakan tentang aurat, tapi sedikit sebanyak ia menggambarkan apa yang ingin saya ceritakan dalam artikel ini. |
Bagaimana agaknya rupa masyarakat
yang akan lahir bila ahli-ahlinya mudah hilang fokus, suka bersendiri di
hadapan skrin dan menjadikan kehidupan mereka di alam maya sebagai sesuatu yang
jauh lebih penting berbanding kehidupan mereka di alam realiti. Kurang sabar
berhadapan dengan maklumat yang perlahan, ketagih like dan mudah terganggu dengan
komen picisan dari insan yang tidak dikenali.
Sesuatu yang tidak dapat kita
bayangkan.
Bukanlah hendak memisahkan
anak-anak dengan teknologi, kerana mereka perlu dididik bagaimana untuk
mengurus teknologi dan hidup dengan cabaran masa akan datang yang pastinya akan
lebih pantas dan canggih jika dibandingkan dengan apa yang kita ada sekarang.
Cuma isunya adalah, adakah kita
membiarkan teknologi dan gajet menguasai anak-anak hingga timbul gejala
ketagihan skrin yang melampau? Atau kita memilih untuk mendidik anak-anak
menjadikan teknologi sebagai ‘khadam’ yang mempermudahkan pelbagai urusan.
Jadi bagaimana?
Pertama sekali, ibu bapa perlu
menjadi contoh. Tidak guna jika ibu bapa berbuih mulut memarahi anak-anak yang
terlalu asyik dengan iPad sedangkan pada masa yang sama ibu bapa sendiri juga
tidak kurang asyik dengan iPhone, tenggelam dengan kepantasan Whatsapp,
facebook, twitter dan YouTube. Bila anak-anak memanggil dan ingin bertanya,
mata si ibu atau si bapa tetap tertancap pada skrin tanpa menghiraukan anak
yang terkebil-kebil menatap, membiarkan anak merasakan diri mereka sebagai
tidak penting.
Ketam yang berjalan senget tidak
akan dapat mengajar anaknya untuk berjalan lurus.
Ibu bapa juga perlu menjadi lebih
interaktif dan menyeronokkan (tidaklah setiap masa kerana ada masanya perlu
juga tegas), bukan dinasour membosankan yang hanya tahu menjerit-jerit penuh
kemarahan. Bilamana ibu bapa ingin menjauhkan anak-anak dari iPad, iPod dan
yang sama waktu dengannya, perlu disediakan juga alternatif yang lebih
menyeronokkan untuk anak-anak. Dengan kata lain, berilah perhatian yang
sepatutnya dan berkualiti kepada anak-anak.
Ibu bapa perlu menjadi televisyen
yang boleh bercerita pelbagai kisah dengan penuh gaya, menemani anak melukis,
menulis dan membaca Al Quran, kitab-kitab hadis dan Fiqh dengan penuh sabar,
membawa anak-anak mengembara ke tempat-tempat menarik, bermain dam, saidina dan
monopoli bahkan hingga menjadi jurulatih badminton atau sukan-sukan lain yang
walaupun tidaklah sehandal Misbun Sidek, tapi masih mampu membuatkan anak-anak
menghargai usaha dan masa kita bersamanya.
Bukan kuantiti masa yang kita
luangkan, tapi kualiti masa itu yang lebih penting, agar anak-anak akan
bersandar kepada ibu bapanya (sudah tentu sandaran yang pertama adalah kepada
Allah) bila tiba masanya, bukan hanya kepada iPhone, Siri atau Google.
Tidak ada siapa yang mengatakan
bahawa ia mudah dilakukan, tapi itulah harga yang perlu kita bayar. Cara yang
mudah dan lebih aman sudah tentulah dengan memberikan iPad dan games bila kita
ingin fokus pada kerja atau ingin berehat setelah seharian bertungkus lumus di
pejabat mahupun sebagai suri rumah, tapi itulah cabaran sebagai ibu bapa. Ia
tidak semudah menulis status di facebook atau menulis artikel di blog tentang
pencapaian anak-anak, tapi ia adalah mujahadah yang sudah pasti ada masanya
kita akan tewas dan keliru.
Rujuklah mereka yang telah
berjaya, mohonlah doa dengan doa-doa pendidikan anak-anak yang ma’thur dari Al
Quran dan hadis dan berusahalah, moga Allah akan memberikan kita petunjuk.
Terima kasih atas peringatan saudara. Insya Allah kami cuba sehabis baik..ameen..
ReplyDeleteTerima kasih atas peringatan saudara. Insya Allah kami cuba sehabis baik..ameen..
ReplyDelete