“Aik, kenapa pula, tak ada angin,
tak ada ribut, apa kes?” Saya bertanya kehairanan. Jarang Husni mengadu dalam
keadaan begini, kesungguhannya dalam dakwah dan tarbiah serta keupayaannya
untuk menyelesaikan banyak masalah-masalah kehidupan dan pada masa yang sama
mengekalkan kecemerlangan dalam pelajaran akademik membuat ramai yang cemburu,
termasuk saya sendiri yang tua setahun darinya.
Bila Husni mengadu begini, pasti
ada sesuatu yang luar biasa.
“Entahlah, ada anak usrah aku
yang seorang ni, dia jadi terlalu rapat dengan aku, rimas aku dibuatnya.” Jelas
Husni, lemah.
Saya ber’aku’-‘hang’ sahaja
dengan Husni, tidak ber’ana’-‘anta’ seperti dengan rakan-rakan lain dalam usrah.
“Apa masalahnya kalau rapat, baguslah
begitu.” Balas saya kembali.
“Masalahnya terlalu rapat, asyik
nak mengendeng dengan aku, ber ‘sms’ benda-benda remeh, nak berteman, asyik ajak
aku makan, asyik ajak aku belajar sekali, macam makwe pulak.” Tambah Husni.
Saya hampir tergelak
mendengarnya, pecah perut juga menahan, tapi sedaya upaya cuba menahan kerana
melihat wajah Husni yang serius.
“Baru ni masa Qiam, masa tidur
pun nak datang tidur sebelah aku, argghhhh….tertekan ko tahu tak…..geli pun
ada.” Terang Husni hingga akhirnya saya tidak dapat menahan tawa yang pecah
berderai di tangga masjid. Mengekek-ngekek saya tertawa terbahak-bahak.
Husni merapatkan tangan di dada
dengan wajah masam, akhirnya setelah berhenti tertawa, saya mengajak dia duduk
sebentar di tangga.
“Beginilah Husni, aku yakin hang
pasti lebih tahu dari aku tentang ke arah mana kita menyeru manusia, dakwah
kita ni nak bawa manusia ke mana. Cuma, hari ini, mari kita sama-sama imbas
balik.”
“Dakwah kita ni Husni, bukan nak
ajak manusia rapat dengan kita, bukan juga nak ajak orang masuk dalam ‘geng’
kita untuk seronok-seronok, bukan juga sebab kita nak bersosial dengan orang
baik-baik semata-mata, tapi dakwah kita ni adalah untuk menyedarkan manusia
yang tidur akan tanggungjawabnya di dunia seterusnya mendidik manusia dengan
tarbiah dari manhaj Rasul, dan kemudian kita nak ajak mereka sama-sama bekerja
untuk membangunkan kembali umat ni dalam satu pasukan yang tersusun
pergerakannya.”
“Kita bukan juga sekadar nak isi
ilmu di dada mereka hingga membiarkan tarbiah jasad mereka beku, tidak juga
hanya sekadar membina ruh dengan Qiam dan zikir hingga ilmu yang sahih tentang
Aqidah dan Ibadah tidak bertambah, apatah lagi sekadar membina semangat dengan
membentangkan kepada mereka masalah-masalah ummah yang mencabar, tapi kita nak
lahirkan kader-kader dakwah yang seimbang yang boleh menjadi khadam kepada umat,
bekerja untuk meletakkan Islam di tempat yang tertinggi.”
“Dalam bekerja untuk Islam secara
berjemaah ni, antara perkara yang penting adalah untuk membina ukhuwwah, tapi,
bila kita bina ukhuwwah, ukhuwwah kita adalah ukhuwwah perjuangan, bukan
ukhuwwah geli-geli, gedik-gedik, berseronok-seronok dan nak mencari teman yang mesra
sahaja.”
Saya mengingatkan banyak perkara
asas kepada Husni yang mungkin telah diketahuinya sebelum cuba memberi
pandangan spesifik tentang permasalahan yang sedang dihadapinya.
“Aku rasa, dalam kes hang ni,
mungkin apa yang berlaku adalah anak buah hang tu terlalu ‘attach’ dengan
peribadi hang sebab mungkin hang sangat meraikan dia dalam proses dakwah
fardhiah, tambah hang pulak ‘handsome’ sikit, dan mungkin dia pun aku nampak ada
kecenderungan lelaki lembut sikit, jadi itu yang berlaku macam tu…”
“Masalah ni kalau tak dikawal,
aku bimbang juga, sebab akhirnya nanti akan menjadi fitnah kepada hang dan
kepada Jamaah.”
“Jadi aku cadang, mulai sekarang elok
hang jarakkan diri sedikit dan jangan terlalu raikan dia sangat. Lebih elok
kalau dia betul-betul dah ‘commit’ dalam proses tarbiah, minta naqib lain yang
bawa usrah dan santuni urusan-urusan tarbiah dia.”
Husni mengangguk-angguk
mendengarnya.
“Jomlah kita balik, aku nak buat
assignment kejap malam ni, lepas tu ada mesyuarat pula dekat Pusat Kegiatan
Pelajar.” Saya menghabiskan sarana dan kemudian mengajaknya pulang ke bilik
untuk menyambung pelbagai urusan.
Kami berdua berjalan untuk menuju
ke tempat parkir motosikal bersama-sama sambil kepala menerawang jauh berfikir
tentang pelbagai perkara.
Sesekali mengimbas memori,
mencari solusi dari kisah-kisah dakwah dan tarbiah yang pernah dilalui bersama
teman-teman seperjuangan satu ketika dulu untuk renungan dan panduan generasi
hari ini.
Bila kembali kepada asas, kita
akan dapati bahawa di sana, tarbiah mempunyai empat paksi yang utama, iaitu
murabbi, mutarabbi, biah dan manhaj. Bila empat paksi ini tidak diseimbangkan
atau salah satunya pincang, tarbiah tidak akan berjaya untuk mengesani dan
membangun jiwa, bahkan mungkin akan menimbulkan kebosanan kepada mereka yang
berada dalam sistem tarbiah.
Namun, hakikatnya, murabbi adalah perkara yang paling penting dalam paksi tarbiah.
Bila murabbi
tidak jelas ke arah mana dia mendakwahkan manusia dan bagaimana cara untuk dia
mengesani manusia, akhirnya jadilah dia sebagai pengajak yang hanya mengajak
manusia untuk hadir program dan menyertai program-program semata-mata.
Mutarabbi akhirnya akan merasa bosan, tidak terbina dan pastinya tidak akan
mampu untuk beriltizam dengan tuntutan-tuntutan dakwah yang amat berat.
Lebih berbahaya jika murabbi hanya
mengajak manusia untuk berkumpul disekeliling dirinya sahaja, hingga akhirnya
perubahan tidak berlaku secara tabi’i. Bila murabbi futur atau pergi, maka
mutarabbi hilang semangat dan meninggalkan perjuangan kerana asas kepada
perubahan bukanlah berdasarkan kefahaman yang benar.
Murabbi adalah lelaki tarbawi
yang menghidupkan hati, mampu memimpin mengikut marhalah, memahami realiti dan
hakikat kehidupan, memahami agenda pertembungan dan perjuangan, dan akhirnya mampu
untuk berinteraksi dengan gerakan kehidupan.
Murabbi memberikan kefahaman,
mendidik dan memimpin manusia ke jalan Allah, bukan memimpin manusia kepada
dirinya sahaja atau kepada Jama’ahnya semata-mata.
Jazakallah ustaz. Perkongsian yang berguna.
ReplyDeleteDi sini ana nak tanya tentang ikhtilat pula. Bagaimana nak menjaga ikhtilat antara jemaah terutama apabila berbincang di FB group?
Bincang benda yang perlu sahaja, elakkan emoticon nakal2, dan akhawat jangan letak gambar daring2 as profile picture or in any of your public album, nanti kena stalk.
Delete