“I think we’re finished here for
today, but before that, can I ask you to practice this surah with your Mom?”
Pinta saya kepada Akbar, (bukan nama sebenar tentunya) setelah sesi pengajaran
untuk hari itu tamat. Hari ini saya mengajarnya untuk membaca dan menghafaz
surah Al Asr. Kerana kesuntukan masa, saya tidak sempat untuk menghabiskan ayat
terakhir dalam sesi hari ini.
Akbar memandang saya dengan wajah
selamba, tidak ada reaksi. Saya cuba mengagak apa yang sedang bermain
difikirannya. Anak kecil dari Bangladesh yang baru berusia enam tahun ini
seolah cuba menyembunyikan sesuatu.
“That’s not a problem isnt’it?
It’s just a simple and easy surah, if you practice it frequently, you will
memorise this surah in no time.” Saya memujuk.
“I can’t do that, sorry.” Jawab
Akbar, ringkas, membuat saya tertanya-tanya.
“But why?” Tanya saya kembali.
“Errr…emm….actually, I have no
one to practice with at home. My Mom is always busy working and when she’s at
home, she will be busy in the kitchen or doing laundry while my Dad….” Jelas
Akbar dengan jujur, dia berhenti seketika dan kemudian menyambung.
“My Dad, when he got home after
work, he will just sit in front of the television watching news and all sort of
programme, then he will eat when dinner and sleep.”
“That’s why…”
Terkedu saya mendengarnya. Sesekali
mata saya menjengah ke ruang dapur, bimbang juga jika ibunya mendengar luahan
perasaan yang amat jujur ini. Walaupun luahan ini memang perlu didengar dan
difahami, namun bimbang jika ibu dan ayahnya mendengar dalam keadaan tidak
bersedia, anak ini pula yang menjadi mangsa.
Padanlah perkembangan Akbar
selama ini agak lambat berbanding dengan anak-anak lain yang juga saya ajar di
rumah. Kadang-kadang, surah yang telah sebelum ini dihafaz, terpaksa diulang
kembali, dan kualiti bacaan Iqra’ juga amat membimbangkan saya.
Dengan pertemuan hanya seminggu
sekali, tidak banyak sebenarnya yang boleh saya lakukan jika tidak ada
kerjasama dari kedua ibu bapanya untuk memantau perkembangan di rumah.
Kadang-kadang, buku notanya juga hilang, catatan-catatan yang saya buat juga
tidak disemak, tidak nampak keseriusan ibu bapanya dalam memantau perkembangan
anaknya yang seorang ini.
Saya merasakan yang saya perlu
berbincang dengan serius tentang perkara ini kepada kedua ibu bapanya.
Kata-kata dari Akbar petang itu,
membuatkan saya berfikir panjang sepanjang perjalanan pulang dari rumahnya. Bukan
tentang Akbar dan ayah dan ibunya, tapi tentang saya, isteri dan anak-anak yang
semakin membesar.
Gerun juga saya bila memikirkan
ketika mana saya dan isteri sibuk dengan pelbagai urusan kerjaya dan dakwah, akhirnya
tarbiah anak-anak tanpa sedar diserahkan kepada ABC (rancangan televisyen
anak-anak di Australia) dan YouTube.
Masa yang sepatutnya jiwa mereka
diisi dengan pelajaran tentang tauhid, iman, Al Quran, ibadah dan akhlaq, akhirnya terisi dengan
nilai-nilai dari Sesame Street, Transformers, Angellina Ballerina, Chuggington,
Pocoyo, Octonauts, Boboiboy dan banyak lagi.
Semangat juang mereka yang
sepatutnya berteraskan kepahlawanan generasi emas para sahabat seperti Hamzah,
Umar Al Khattab, Abu Ubaidah Al Jarrah dan Khalid Al Walid gagal dipupuk,
sebaliknya, hero-hero seperti Ben 10, Ultraman, Batman, Superman, Wolverine, Naruto
dan Goku pula mengambil alih sumber semangat dan asas jati diri mereka.
Ayah dan ibunya sibuk berusrah
dengan manhaj yang tersusun, kemas dan dipantau rapi, tapi anak-anak kosong
jiwanya di rumah bila berusrah dengan Mr Maker dan Giggle and Hoot yang sentiasa
kreatif dan menceriakan, apatah lagi bila selalu ditinggalkan ketika ayah dan
ibunya berusrah, berdaurah dan berijtima’.
Bila anak-anak ingin bertanya,
berbual dan bermain, kerap kali pelbagai alasan diberikan, jika dilayani
sekalipun, dengan mata dan jari yang tidak pernah lekang dari skrin iPhone atau
Samsung, membalas mesej email dan Whatsapp yang tidak pernah putus.
Jika begini keadaannya, bagaimana
kita hendak anak-anak memberi perhatian kepada kita bila mereka telah dewasa
dan kita telah tua,
lebih penting lagi, jika tarbiah
anak-anak diserahkan kepada televisyen dan Internet, bagaimana kita ingin
mengharapkan agar lahir anak-anak yang akan mewarisi perjuangan generasi Al
Quran yang unik?
Usia kecil anak-anak adalah emas.
Terutamanya 10 tahun pertama dalam kehidupan awal mereka. Waktu yang berlalu
dalam fasa ini tidak akan kembali lagi. Jika ibu bapa tidak mengisi dan
mencorakkannya dengan warna-warna fitrah, akhirnya jiwa mereka akan diwarnai
dengan warna-warna jahiliah.
Seorang murabbi yang amat saya
hormati pernah menyebut kepada saya beberapa tahun dahulu, katanya.
“Raising your children is like
jumping from a plane with a parachute, once you miss the timing, it will never
come back and the consequences is not going to reversible…”
Kata-kata Akbar petang itu
benar-benar menyentap sanubari saya, mengingatkan saya kembali akan apa yang
selalu saya ingatkan kepada orang lain beberapa tahun dahulu iaitu tarbiah
anak-anak bukan sekadar memberi mereka makan, minum, pakaian dan menghantar
mereka ke sekolah, tapi ia adalah satu amanah untuk memelihara mereka dari api
neraka yang panas membakar dengan mendidik mereka menjadi manusia yang hidup
berpaksikan tauhid, penuh prinsip keimanan dan akhlaq dan sentiasa menyeru
kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar.
Tanggungjawab ini benar-benar
memerlukan ibu bapa untuk fokus, kerana tarbiatul aulad adalah satu sains dan
seni yang mempunyai displin-displin yang tertentu. Jalan-jalannya telah
digariskan oleh generasi salaf yang terdahulu.
Terima kasih Akbar kerana
mengingatkan saya. Moga Allah akan membantu kita semua untuk mendidik anak-anak
dengan lebih fokus dan
serius.
No comments:
Post a Comment