Lebih Dari Sekadar Kemenangan dan Kekalahan


Lee Chong Wei tewas tipis.

Azizulhasni juga begitu.

Namun, keduanya disanjung oleh banyak pihak walaupun tewas. Memberi satu definisi baru kepada kemenangan dan kekalahan.

Selama ini kita dimomokkan bahawa yang menang itu adalah yang mendapat tempat pertama, manakala yang kalah adalah sebaliknya.

Definisi yang amat sempit jika ia hanya difahami secara literal.

Namun, jika tempat pertama itu adalah natijah kepada usaha yang berterusan hasil dari keazaman yang membara, maka itu adalah kemenangan yang pastinya adalah kemenangan yang hakiki.

dan, jika tempat pertama itu adalah keputusan selepas siri-siri kebangkitan dari kekalahan, maka itu adalah kemenangan yang amat bermakna.

Itulah juara sebenarnya. Tidak hanya dalam sukan, tapi dalam mendepani apa juara cabaran kehidupan.

Inilah rahsia mengapa mereka dipuji walaupun tewas. Kerana mereka tidak tewas tanpa usaha dan kesungguhan, tapi tewas dengan cara yang sungguh bergaya.

Hakikatnya, mereka yang gagal bukanlah mereka yang tidak berusaha, tapi mereka yang langsung tidak punya usaha dan keberanian untuk keluar dari zon selesa. Takut dengan cabaran kerana takutkan kekalahan.

Berpatah arang dengan keberanian kerana tidak ingin berkorban. Inilah sifat asasi mereka yang jiwanya telah tewas sebelum bermula.

Kalah dengan berusaha tidak mengapa kerana ia jauh lebih baik dari tidak punya keazaman untuk mencuba. Lebih malang jika hanya pandai mengata.

Ia bukan tentang pingat emas sebenarnya.

Jauh lagi tentang Olimpik atau mana-mana sukan yang dipertandingkan.

Hakikatnya, ia adalah kisah tentang keazaman dan seni mengurus kekalahan untuk mencipta kemenangan.

Semuanya bermula dengan keazaman!

Kerana hidup ini jauh lebih bermakna dari sekadar mendapat tempat pertama.

Selamat Berusaha Mencari Lailatul Qadr.

No comments:

Post a Comment