HATI INI MENANGIS LAGI


Hati ini menangis lagi. Entah buat kali yang ke berapa.

Melihat gambar bayi berteman kerengga di atas tembok, meruntun segala perasaan. Bagi yang punya anak kecil, pasti akan memahami perasaan ini. Saya tidak sampai hati untuk 'like' atau 'share' gambar tersebut.

Begitu juga bila mengenang nasib ummah di banyak tempat yang masih belum terbela. Rohingya terutamanya. Terasa berdosa kerana mereka amat dekat dengan kita, namun tetap, kita masih belum mampu untuk berbuat apa-apa. Jauh lagi untuk tampil membela.

Namun, bersedih bukan jalan penyelesaian. Ratapan demi ratapan tidak akan menyelesaikan masalah.

Khuatir, di akhirat nanti Allah akan bertanya.

“Apa yang telah kamu lakukan untuk membantu saudaramu yang dizalimi?”

Tidak mampu rasanya untuk menjawab,


“Aku telah ‘like’ dan ‘share’ gambar-gambar mereka di facebook!”

Jadi di mana kita harus bermula? Apa yang boleh kita lakukan?

Dulu, setiap hari saya bertanya kepada diri soalan ini, dan nyata jawapannya telah ada di hadapan mata.

“Bermula dengan diri sendiri!”

Benar, jalan untuk mengembalikan kemuliaan ummah bukan jalan yang singkat. Ia mesti bermula dengan mendidik diri sendiri untuk menjadi muslim sejati.

Ada sesuatu yang tidak kena bila kita bercakap berdegar-degar tentang masalah ummah, tapi hakikatnya hati masih jauh dari Allah. Ilmu dan Ibadah masih di takuk lama. Kecintaan masih menebal kepada dunia. Langsung tidak mahu berkorban untuk agama. Bila datang seruan Allah untuk solat berjemaah dan qiamullail di masjid pun masih sayang dengan keselesaan katil yang empuk.

Kita mesti perbaiki diri. Carilah teman-teman yang soleh untuk sama-sama duduk dan perbaiki iman. Paksa diri untuk duduk dalam kumpulan-kumpulan usrah dan hadir ke majlis ilmu, lazimkan diri berjemaah di masjid sekerap yang mungkin, basahi lidah dengan istighfar dan zikir yang ma’thur, paksa juga diri untuk BERIADHAH bagi membina stamina dan kekuatan.

Hakikatnya, ISLAM tidak akan tertegak selagi umat tidak punya kualiti.

Kemudian, ajak bersama ahli keluarga, sahabat handai dan ahli masyarakat untuk sama-sama beramal dan memahami, bahawa ISLAM tidak akan tertegak hanya dengan ratapan dan kata-kata, tapi ISLAM akan tertegak dengan usaha dan pengorbanan. ISLAM hanya akan tertegak di bumi bila ia telah tertegak di dalam hati para mu’minin.

Usaha mengembalikan muslim kepada memahami dan melaksanakan ISLAM yang sebenar dan menyeluruh tidak kurang pentingnya berbanding usaha untuk mengajak manusia kembali memeluk ISLAM.

Binalah kefahaman ISLAM di dalam diri dan keluarga, bangunkan aqidah dan sifat-sifat ISLAM dalam diri anak-anak, sedaya upaya, kita cuba sampaikan ISLAM kepada masyarakat dengan segala kaedah yang ada. Bekerjalah secara berpasukan, kerana sinergi akan menjadikan amal islami jauh lebih efektif.

Seterusnya, carilah jalan untuk mencari kesepakatan ummah, kerana ummah yang berpecah tidak akan ada kebaikan padanya. Dalam bahasa yang mudah, umat Melayu Muslim di Malaysia bersama dengan kaum muslimin dari bangsa-bangsa lain, mesti cuba untuk mencari jalan kesepakatan dalam perbezaan-perbezaan yang ada kerana umat yang kuat dan sepakat adalah kunci kepada kebangkitan semula agama ini.

Walaupun berbeza mazhab, walau berbeza parti, kita mesti sepakat dan satu hati untuk sama-sama memastikan ISLAM dapat tertegak di muka bumi Malaysia ini. Tidak dapat dinafikan, bahawa perbezaan tetap akan ada, akan tetapi jalan menang-menang harus dicari agar selamanya kita tidak berbalah. 

Jika selamanya politik kita adalah politik hentam menghentam, malu dan memalukan, luka melukai dan saudara seislam dianggap musuh ketat yang wajib diperangi dengan apa cara sekalipun, maka selamanyalah umat ISLAM di Malaysia tidak akan ke mana.

Lihatlah saudara seaqidah tidak kira dari mana-mana parti atau kumpulan dengan pandangan kasih sayang, bukan dengan pandangan kebencian yang memusnahkan.

Akhlaq adalah teras dalam mana-mana perjuangan berlabelkan ISLAM.

Sesungguhnya, seorang mu’min mesti meletakkan cinta dan rasa percayanya kepada seorang mu’min, jauh lebih besar dari kepercayaannya kepada mereka yang musyrik.

Jalan ini, walaupun sukar dan jauh, mesti kita tempuh, walaupun ramai yang tidak menyukainya. 

Moga Allah kurniakan kepada kita semua keampunan dan kekuatan.

Coretan Rambang
Pagi 24 Ramadhan. 

No comments:

Post a Comment