“Alhamdulillah,
setakat ini tak pernah tinggal lagi,” jawab Ainul dengan wajah yang
berseri-seri. Bangga dengan pencapaian anaknya yang tidak pernah meninggalkan
puasa sejak usianya 5 tahun.
Fatin
terdiam, tidak menjawab. Teringat anaknya yang telah berusia 7 tahun, namun
masih amat liat untuk berpuasa. Paling membuat dia sedih, pernah anaknya
curi-curi makan kerana tidak tahan dengan dugaan berpuasa. Akhirnya, selepas
hari itu, Fatin tidak lagi memaksa anaknya berpuasa kerana tidak ingin anaknya
berbohong.
Gambar Khadijah ketika kecil di Jitra, hiasan semata-mata, hehe |
Namun,
perbualannya dengan Ainul petang itu, membuat dia kembali geram dan kesal. Di
mana silapnya? Mengapa anaknya tidak boleh berpuasa seperti anak-anak rakannya
yang lain?
Keesokan
harinya, Fatin memaksa juga anaknya berpuasa, namun kali ini, anaknya menangis
tanpa henti sejak jam 2 petang membuatkan perasaannya semakin tertekan.
Akhirnya keluarlah perkataan-perkataan yang tidak baik kepada anak
kesayangannya itu.
Kisah
di atas hanyalah rekaan semata-mata. Namun saya yakin bahawa ramai ibu bapa yang
mengalami situasi sama, iaitu tertekan bila anak-anak tidak ‘menjadi’ seperti
anak-anak orang lain.
Rasa
cemburu bila melihat anak-anak orang lain telah mula berjalan
Rasa
cemburu bila melihat anak-anak orang lain boleh makan dengan senang
Rasa
cemburu bila melihat anak-anak orang lain lebih ramah dan berdisplin
Rasa
cemburu bila melihat anak-anak orang lain lebih baik solat dan puasanya
Rasa
cemburu bila melihat anak-anak orang lain lebih lancar membaca Al Quran
Rasa
cemburu bila melihat anak-anak orang lain lebih cemerlang dalam peperiksaan
Dan
banyak lagi kecemburuan yang timbul bila kita mula membandingkan anak-anak kita
dengan anak-anak orang lain.
Saya
dan isteri juga sering termasuk ke dalam perangkap ini, hingga kadang-kadang
anak-anak menjadi mangsa. Namun bila saya berfikir-fikir dengan memasang
peranti empati dan rasional, baru tersedar bahawa sikap sebegini adalah satu
bentuk kezaliman kepada anak-anak.
Harus
diingat, anak-anak adalah cerminan ibu bapa itu sendiri. Jika anak-anak tidak
berdisplin, malas dan punya pelbagai lagi sikap negatif, ia adalah cerminan
kepada tarbiah ibu bapa itu sendiri di rumah. Pihak pertama yang patut
dimuhasabah bila anak-anak bermasalah, adalah ibu bapa itu sendiri.
Jika
kita ingin anak-anak solat awal waktu, maka ibu bapa harus solat awal waktu
terlebih dahulu. Jika tidak ingin anak-anak terlalu ralit dengan televisyen,
iPhone dan iPad, ibu bapa juga perlu mengurangkan waktu di hadapan laptop dan
facebook ketika bersama mereka. Jika ingin anak-anak bergerak pantas dan
menghormati masa, maka ibu bapa juga harus menunjukkan teladan itu terlebih
dahulu.
Kita
juga perlu tahu bahawa setiap anak punya potensinya dan kebolehan yang
berbeza-beza, hatta dalam ibadah sekalipun. Ada anak-anak yang tidak cemerlang
dalam Matematik, tapi punya bakat luarbiasa dalam seni. Ada anak-anak yang
mudah berpuasa tapi liat untuk membaca Al Quran, ada anak-anak yang mudah
bangun pagi, tapi cukup liat untuk mandi. Ada anak-anak cukup malas membaca
buku akademik, tapi cukup hebat bila bertukang dan membaiki.
Ibu
bapa perlu mengenal dan menggilap potensi anak-anak sesuai dengan kemampuan dan
kebolehan mereka. Tidak adil jika kita letakkan ‘benchmark’ kecemerlangan
anak-anak kita, pada anak-anak orang lain. Hatta anak pertama dan kedua pun
berbeza-beza, ini pula anak-anak kita dengan anak-anak orang lain. Kita sendiri
pun tidak suka jika dalam kerjaya orang membanding-bandingkan pencapaian kita.
Jika
orang bertanya saya begini,
“Hang
tengok dia, 2 tahun setengah dah boleh habis PhD, hang dah 4 tahun, kenapa tak
habis-habis?”
Saya
akan menjawab,
“Usain
Bolt boleh lari 100 meter dalam 9.4 saat, hang boleh?”
Tidak salah untuk kita bertanya tentang pencapaian anak-anak orang lain untuk belajar kaedah-kaedah pendidikan efektif yang diamalkan oleh ibu bapa lain yang cemerlang. Namun, kita perlu ingat bahawa dalam pendidikan anak-anak, tidak ada apa yang dikatakan sebagai kaedah 'one size fits all'. Kaedah tersebut mungkin berkesan untuk anak-anaknya, tapi belum tentu berkesan untuk anak-anak kita.
Ibu bapa perlu bijak dalam mengaplikasikan kaedah yang terbaik bagi setiap anak. Mungkin ada yang sesuai dengan kaedah sedikit keras, mungkin ada yang perlu berlembut. Dinamik setiap anak-anak adalah cukup berbeza. Saya harus akui, ia adalah tugas yang amat mencabar.
Pendidikan
anak-anak adalah satu proses, nilai kejayaan adalah bila anak kita berjaya
menjadi manusia yang soleh dan musleh dalam apa jua bidang yang diceburinya, mungkin dalam peperiksaan, mungkin dalam sukan, mungkin juga dalam masakan.
Tidak adil bila kita mengukur kecemerlangan anak-anak hanya apabila anak-anak kita mengatasi anak-anak orang lain, dalam peperiksaan sebagai contoh.
Saya
teringat kisah satu keluarga yang punya anak yang ramai. Semua anak-anaknya
berjaya dalam akademik dan kerjaya, punya pangkat besar dan gaji yang tinggi
malah ada yang bertugas hingga ke luar negara, kecuali seorang yang tidak ‘menjadi’
dan hanya melakukan kerja-kerja di kampung sahaja.
Akhirnya
bila ibu bapa mereka telah sampai ke usia yang lanjut, anak-anak yang cemerlang
dan berjaya tadi semuanya tinggal berjauhan dan sentiasa sibuk ke sana dan ke
sini hingga hampir tidak ada masa yang dapat diluangkan untuk menziarahi dan menjaga ibu bapa yang telah tua. Hanya
kiriman wang dan panggilan telefon sahaja yang sesekali mengubat rindu.
Tinggallah
anak yang tidak ‘menjadi’ tadi berkhidmat dengan setia kepada kedua ibu bapanya
hingga mereka meninggal dunia.
Kesimpulannya,
usahlah membandingkan anak-anak dan menjadikan anak-anak sebagai modal untuk
kita berbangga-bangga. Anak-anak adalah amanah dan dalam setiap fasa
kehidupannya, ada amanah yang wajib kita sebagai ibu bapa lunaskan. Sedikit
sebanyak kekurangan anak-anak, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk
memperbaikinya. Apa yang penting, asas tauhid, ibadah dan akhlaq, mesti dipupuk sejak kecil.
Semoga
kita tidak menjadi ibu bapa yang derhaka kepada anak-anak agar nanti anak-anak tidak akan derhaka kepada kita pula.
“Dan ketahuilah,
bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di
sisi Allah-lah pahala yang besar. (8:28)”
Komen dari K Nadiyah Elias sebagai tambahan kepada isi artikel
ReplyDelete"anak-anak kita dianugerahkan kebolehan dan kapasiti yang berbeza dengan kita. Ibubapa yang superachievers dan supertalented- mesti ingat perkara ini - Jika anak-anak tidak mencapai seperti kita dahulu- ini bukan kerana Allah tidak anugerahkan banyak kepada mereka, tetapi mungkin kerana Allah telah menganugerahkan yang terlalu banyak kepada kita sendiri dahulu. Bersyukur dan jangan sekali kali bandingkan pencapaian diri dengan anak-anak. Ia sombong dan melukakan hati anak-anak."
Moga bermanfaat
Sangat setuju dengan kandungan entry tuan...cuba untuk berubah menjadi yang terbaik untuk anak-anak...
ReplyDelete