Cars: Kisah Kembara Lightning Mcqueen Mencari Makna Bahagia


Antara aktiviti yang saya lakukan bersama anak-anak musim cuti sekolah ini adalah menonton filem animasi. Sudah tentunya saya akan pastikan filem animasi yang ditonton adalah bersesuaian dan tidak mengandungi elemen-elemen buruk yang boleh merosakkan minda mereka.

Hari ini saya memilih untuk menapis filem Cars (2006). 2 jam saya menonton animasi ini petang tadi setelah selesai urusan di Universiti, dan ternyata ia tidak mengecewakan. Saya amat kagum dengan imaginasi dan kreativiti mereka yang terlibat dalam filem ini. Bagaimana setiap kereta punya watak dan karakter yang tersendiri dan ia amat hidup!


Cars mengisahkan tentang pelumba muda yang amat angkuh bernama Lightning Mcqueen. Punya nama, kemasyhuran dan segalanya, Lightning Mcqueen mengidamkan trofi kejuaraan yang akan membolehkannya merangkul kontrak penajaan bersama Dinocorp, sebuah syarikat mewah yang akan menjadikan dia sangat kaya dan lebih masyhur dari kedudukannya sekarang.

Tanpa disedari, keangkuhannya telah menimbulkan kebencian banyak pihak termasuklah krew lumbanya sendiri.

Dalam perjalanan ke California untuk perlumbaan penentuan akhir musim, satu kemalangan membawa Mcqueen terdampar di sebuah pekan kecil yang hampir dilupakan iaitu Radiator Spring.

Pengalamannya yang unik di Radiator Spring bersama teman-teman yang baru dikenalinya telah mengubah makna kehidupan Mcqueen. Dari seorang yang angkuh dan mementingkan diri sendiri, kepada seorang yang punya nilai-nilai persahabatan sejati. Dari seorang yang hanya melihat kejayaan pada trofi dan kemasyhuran, kepada seorang yang melihat bahagia ada pada membantu orang lain.

Walaupun pada awalnya Mcqueen seakan-akan tidak 'redha' dengan ketentuan yang menimpa dirinya di Radiator Spring, namun perlahan-lahan hikmah disebalik kesukaran dan kesusahan yang dialaminya terjelma dan akhirnya dia memilih untuk berdamai dengan takdir.

Walaupun hanya kisah animasi, Cars sarat dengan pengajaran yang amat berguna bukan hanya untuk kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa iaitu ujian dan kesusahan yang datang menimpa akan menjadikan kita manusia yang lebih baik jika kita memilih untuk bersabar dan redha atas ujian tersebut.

Cars juga mengajar bahawa kebahagiaan sejati bukanlah pada kemenangan, kekayaan dan kemasyhuran, tetapi ia ada pada hidup berbakti dan punya teman sejati.

Filem ini amat menghiburkan dan sesuai ditonton oleh semua peringkat usia.

5 bintang untuk Cars, Ka Chao!

No comments:

Post a Comment