“Dedi baru sahaja lepas pembedahan kecil buang selaput mata, lepas ini akan buat pembedahan hernia (usus) pula, dalam keadaan Ma yang tak berapa sihat, Ariff yang terikat dengan komitmen kerja dan Farid yang sedang menghadapi peperiksaan akhir tahun, keadaan agak sukar di rumah, terutamanya bagi Ma yang banyak waktu tak sihat berbanding sihat.”
“Dengarnya, agak meletihkan juga Ma jaga Dedi di hospital masa pembedahan mata tu. Pembedahan hernia ni walaupun kecil juga, tapi tetap akan terpaksa tinggal di hospital untuk jangka waktu yang signifikan.”
“Dengan keadaan keduanya yang ada darah tinggi dan kencing manis, tidak boleh makan sebarangan, keadaan tidak mudah.”
Cerita saya kepada isteri selepas membuat panggilan telefon ke rumah saya. Gundah bersarang di jiwa. Tidak mudah menahan rasa di luar negara mendengar keluhan ibu yang keletihan. Walaupun tidak meminta saya balik, seolah saya mendengar jeritan batinnya yang ingin melihat wajah anak-anaknya di saat-saat begini.
Dengan keadaan pengajian saya yang semakin mencabar bila fasa pengumpulan data bermula, keadaan isteri yang tidak berapa stabil dalam trimester ketiga apabila kerap sakit-sakit badan kerana kandungan yang agak besar dan duit belanja yang agak terhad untuk membeli tiket pulang yang agak mahal, jiwa lelaki saya yang biasanya keras dan rasional, jadi rapuh dan keliru mencari imbangan tanggungjawab sebagai seorang suami, anak, ayah dan pelajar PhD.
“Apa pendapat Syifa?” Saya bertanya kepadanya di meja makan. Tepat saya pandang ke matanya, mahu dia membaca gundah yang ada di dalam kepala.
Segelas teh tarik panas dihidangkan, saya tenang sedikit melihat buih di hujung gelas. Pada setiap hirupan, ada ritma ketenangan yang bakal hinggap. Isteri saya memang amat memahami!
“Baliklah bang, tak mengapa Insyaallah Syifa boleh jaga diri di sini. Memanglah rasa ralat juga, tapi akhawat kan ramai, apa-apa hal Syifa akan minta tolong depa lah.” Luah isteri saya dengan senyuman. Memahami gelodak jiwa dan bahasa wajah yang saya tunjukkan.
“Lagipun abang anak lelaki, tanggungjawab yang paling utama adalah pada mak dan ayah abang. Kalau Syifa berada di tempat abang pun, mungkin Syifa akan buat perkara yang sama juga.”
“Kalau duit yang abang risaukan, duit kita memang ‘ngam-ngam’, tapi jangan bimbang. Syifa yakin yang Allah akan beri keluasan bila kita buat baik pada kedua ibu bapa. Duit datang dan pergi, bila-bila masa kita boleh cari, tapi ayah dan ibu ni hadir dalam hidup kita hanya sekali sahaja. Bila mereka dah tiada, ada duit berjuta pun tak ada gunanya bang.”
“Jangan risau, Insyaallah, Allah akan permudahkan urusan abang dan urusan Syifa, beli sahaja tiket tu.”
Mata saya hampir berkaca, namun airmata tetap tidak keluar. Hanya membalas dengan hirupan demi hirupan dengan wajah yang gembira. Dalam hati saya bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang begitu memahami dan mendorong saya untuk sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa saya.
Alhamdulillah.
Memperolehi isteri yang solehah adalah satu nikmat, memperoleh isteri yang akan mendorong untuk melakukan amal soleh adalah nikmat berganda-ganda.
Sedih juga bila mendengar ada suami yang mengabaikan ayah dan ibu kerana terlalu menjaga hati isteri. Perlu diingat, segaris luka di hati ibu bapa, mungkin akan menyebabkan kesukaran buatnya di hari akhirat kelak, dan di dunia, masih ada balasan yang menanti.
Bagi isteri, keredhaan suami adalah yang paling utama selagi mana ianya tidak mengajak untuk bermaksiat kepada Allah, tapi bagi seorang lelaki, keredhaan ibunya adalah yang paling utama.
Justeru itu, para isteri, bantulah suami untuk menjadi suami yang taat. Moga-moga Allah akan membalas dengan mengurniakan anak-anak yang baik. Berbuat baiklah kepada keluarga suami seperti mana kita ingin suami menghormati dan menyayangi keluarga kita juga.
“Abang doakanlah, dalam permusafiran abang nanti, urusan kelahiran anak ke 3 kita ini akan dipermudahkan oleh Allah, mana tahu boleh bersalin normal ke.” Ujar isteri saya lagi sambil tersengih.
Dalam keadaan dirinya yang sedang sarat, untuk menguruskan rumah, menjaga anak-anak berseorangan, dalam keadaan saya berjauhan beribu batu, bukan mudah dan perlukan kekuatan luarbiasa.
“Hari ini abang bermusafir jauh untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa abang, esok-esok bila kita dah tua, harap-harap Allah akan balas dengan anak-anak yang tak pernah lupa untuk jenguk kita walau jauh mana kita berada.”
Saya kehilangan kata-kata.
Pada wajah ibu, pada wajah isteri yang solehah, ada taman-taman yang mendamaikan. Sepertinya ada syurga di wajah mereka.
Teh tarik yang ada di hadapan saya hirup dengan tenang. Ahh! nikmat dunia itu ada pada secangkir teh tarik panas di petang yang dingin bertemankan isteri yang membantu suaminya untuk berbakti kepada kedua ibu bapanya. Subhanallah!
No comments:
Post a Comment