“Anta kenal Brother Muhammad?” Tanya Dr. Zaki sambil meletakkan begnya di atas meja.
“Siapa ye?” spontan saya bertanya.
“Perasan tak seorang lelaki Arab dalam linkungan usia pertengahan 40, selalu tersenyum dan selalu beri coklat kepada budak-budak yang datang ke masjid.” Terang Dr. Zaki.
“Haa, kalau yang tu memang lah kenal. Tapi kenapa dengan dia?” Saya bertanya kembali, nada Dr. Zaki seakan tergantung, membuatkan saya bertanya lagi sebelum sempat dia menjelaskan dengan lebih lanjut.
“Oh! Innalillah...” respon saya, terkejut.
“Sekarang dia berada di hospital, ana baru balik dari ziarah dia. Sebab tu ana lambat sikit ni.” Jelas Dr. Zaki lagi, memberi penjelasan kenapa dia lewat tiba untuk kuliah tafsir yang akan dikendalikannya di Enfield Community Centre petang itu.
“Anta tahu, semua orang masjid terasa kehilangan dia walau baru sekejap dia di hospital.” Sambung Dr. Zaki.
“Iye, kenapa ye?” Tanya saya sambil mengangkat kening.
“Dia seorang yang amat baik. Dalam poketnya, sentiasa ada coklat. Budak-budak suka solat berhampiran dengan dia untuk dapat coklat selepas habis solat. Antara sebab Aiman dan ramai lagi kanak-kanak mudah ke masjid adalah kerana Brother Muhammad ni lah. Semua menanti hadiah coklat selepas bersalam dengannya.”
“Masa ana ziarah dia di hospital tadi pun, dia masih sempat mengirimkan coklat untuk diberi kepada Aiman.”
Saya terdiam dalam kekaguman.
Amalnya tidaklah besar pada pandangan manusia. Sekadar memberi coklat kepada budak-budak selepas solat.
Namun saya yakin, berkat keikhlasan dan istiqamahnya dalam melakukan amalan tersebut menjadikan manusia amat kasih kepadanya dan pastinya amalnya itu amat dicintai oleh penduduk langit.
Teringat saya kepada hadis ini
“Janganlah kamu meremehkan perbuatan yang baik (makruf) walaupun hanya tersenyum ketika berjumpa dengan saudaramu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Perkara yang kecil di sisi manusia, mungkin amat besar nilaiannya di sisi Allah. Siapa tahu, mungkin coklat-coklat itu akan menjadi hujah kepada dirinya untuk mendapat keampunan dan dibebaskan dari api neraka.
Saya belajar satu perkara yang amat penting dari Brother Muhammad hari ini iaitu kebaikan jangan diremehkan walau hanya dengan sebiji coklat yang diberikan kepada kanak-kanak.
Semoga Allah memberikan kepadanya kesihatan dan keampunan.
"Seorang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling indah akhlaqnya." (Hadis riwayat Tirmizi)
No comments:
Post a Comment