Syukur



2 minggu telah berlalu. Masa berlalu dengan amat pantas bagaikan busur panah yang menerpa sasarannya tanpa belah ihsan. Terasa seperti baru semalam bersalaman dengan orang yang tersayang meminta restu untuk berhijrah mencari sebuah pengalaman baru yang akan mematangkan diri, menjadikan kami manusia yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Syukur kepada Allah, segala urusan dipermudahkan, bermula dari lena Khadijah yang panjang di atas awan, pemeriksaan bagasi di imigresen yang tidak menyusahkan hingga, sahabat-sahabat baik yang banyak membantu (Dr. Zaki yang pick up di airport, Shibi dan Surah yang sudi menumpangkan kami hingga urusan rumah kami selesai, Najwa dan Kak Shida yang sudi menghantarkan makanan walau sebelum ini kita tidak pernah kenal, Umar Faruq yang membantu dalam urusan pembelian kereta, dan lain-lain yang banyak membantu urusan kami sekeluarga disini. Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik kalian.)

Hijrah memang akan memaksa kita untuk berubah, banyak rutin-rutin kehidupan baru yang memaksa kami sekeluarga untuk bermujahadah membuang tabiat lama yang bersarang. Sekali melangkah, harus diteruskan dengan gagah, namun terkadang, angin rindu menyapa membawa kami mengingati kenangan-kenangan yang kami tinggalkan buat sementara di Malaysia hingga terkadang tanpa sedar ada air yang bergenang di kelopak mata.


Banyak pengalaman-pengalaman baru yang kami pelajari, dunia baru yang kami kenali dan orang baru yang kami jalinkan ukhuwwah bersamanya. Semua ini terasa amat manis dan membuatkan kami sedar bahawa bumi Allah itu luas dan rezqinya melimpah-limpah buat hambanya yang bersyukur. Rahmatnya terasa melangit tinggi buat hamba-hambanya yang saling berkasih sayang kerananya.

Moga kembara kami ini akan menjadikan kami manusia yang berbeza, lebih baik dari sebelumnya.

No comments:

Post a Comment