Lebih Dari Sekadar Menukar Lampin

Tanggungjawab ibu bapa, lebih dari sekadar menukar lampin si kecil.

“Hisham, boleh bagi tazkirah tak dalam majlis akikah sebentar lagi?” Umar Faruq, sahabat saya merangkap penganjur majlis akikah bertanya ketika saya sedang membalik-balikkan daging kambing yang akan dijamu kepada pada hadirin di Enfield Community Center tengahari nanti.

Lama saya berfikir sebelum memberi jawapan, permintaan spontan begini agak menggusarkan, jika menolak, rugi rasanya menolak peluang untuk memberi perkongsian tentang pendidikan anak-anak, satu bidang ilmu yang amat saya minati walaupun saya tiada pendidikan formal mengenainya. Hendak diterima, saya harus berperang dengan kupu-kupu yang bakal berterbangan di dalam perut ketika hendak berucap nanti dan juga harus merangka isi dalam tempoh yang amat singkat..

Setelah berfikir beberapa ketika sambil merangka isi tazkirah di dalam minda, saya mengambil keputusan untuk menerimanya.

“Bolehlah, ringkas sahaja kan, dalam 10 minit,”  saya memberikan persetujuan.

“Ok, dah nak mula nanti saya panggil, ni ada sedikit maklumat tentang hukum akikah, kalau nak buat rujukan, ” Faruq menghulurkan sekeping kertas kepada saya dan kemudian segera berlalu pergi untuk menyelesaikan beberapa lagi urusan kenduri akikah tengahari nanti.

Saya melihat kandungan kertas tersebut, ternyata ia amat ringkas. Hanya menyatakan perihal hukum dan faedah dilaksanakan akikah.

Kenduri kendara sebegini sememangnya menjadi rutin masyarakat melayu Islam di Adelaide yang kebanyakannya terdiri dari pelajar pelbagai lapisan dari pelbagai Universiti di sini. Juga disertai oleh beberapa orang melayu yang telah menjadi penduduk tetap di Adelaide.

Kesempatan begini biasanya digunakan untuk saling kenal mengenal, bertukar-tukar pendapat dan berbual-bual tentang apa jua perkara. Bagi saya dan keluarga yang baru sahaja tiba di sini, kenduri akikah ini banyak menemukan kami dengan ramai lagi komuniti melayu muslim yang belum kami kenali.

Dalam keadaan minoriti sebegini, hubungan antara kami lebih rapat dan mesra. Budaya tolong menolong dan ziarah menziarahi yang agak kuat di sini menyebabkan kami rasa lebih tenang dan selesa walaupun hidup jauh beribu batu dari tanahair yang kami tinggalkan buat sementara waktu.

“Assalamualaikum warahmatullah, segala pujian milik Allah, pemilik sekalian alam, penguasa hari pembalasan. Selawat dan salam atas junjungan baginda yang mulia, para keluarga dan sahabatnya yang diredhai, para salafussoleh serta para hamba-hamba Allah yang soleh yang telah bekerja keras untuk meletakkan agama ini ditempat yang tertinggi” Saya memulakan tazkirah setelah Umar Faruq menghulurkan mikrofon dan memberi isyarat tanda hadirin telah bersedia.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah selamat melaksanakan tuntutan akikah terhadap anak-anak mereka hari ini. Sesungguhnya melaksanakan akikah, adalah satu syiar dalam agama kita dan perkara ini telah dinyatakan oleh baginda nabi dalam banyak hadis hingga para ulama’ meletakkan hukumnya sebagai sunat muakkad. Seperti mana yang kita semua tahu, tuntutan aqiqah adalah seekor kambing bagi bayi perempuan dan dua ekor bagi bayi lelaki.

“Walaupun sunnah yang terbaik adalah melakukannya pada hari ke tujuh, namun tidaklah menjadi halangan untuk kita melakukannya pada bila-bila masa sekalipun” saya menjelaskan serba ringkas hukum akikah, kerana ia bukanlah isi utama yang ingin saya sampaikan.

“Akikah adalah satu tanda bahawa kita mensyukuri anak yang dianugerahkan dan agar anak itu membesar bebas dari gangguan syaitan disepanjang kehidupannya” saya mengambil makna dari satu hadis tentang akikah untuk menjelaskan tentang kepentingannya.

“Hadirin hadirat sekalian, banyak lagi keistimewaan dan faedah dari akikah, namun ia bukanlah mesej utama yang ingin saya sampaikan hari ini. Saya ingin katakan bahawa melaksanakan akikah adalah sunnah, namun ia hanyalah sebahagian kecil dari proses pendidikan anak-anak di dalam Islam. Islam mengajar kita tentang pendidikan anak-anak dengan cukup lengkap dan ia bermula berpuluh-puluh tahun sebelum seorang manusia itu dilahirkan.”

“Proses ini bermula sejak dari pemilihan calon pasangan, kemudian keberkatan dalam awal perkahwinan, sunnah ketika melakukan jima’, tarbiah anak ketika dalam kandungan hinggalah kepada kepada saat anak itu dilahirkan.” Saya berhenti seketika menarik nafas, menyusun bait-bait perkongsian.

“Sebaik sahaja bayi itu lahir, kita memperkenalkannya dengan kalimah kebesaran, mencukur rambut di kepalanya, memberinya nama yang baik dan kemudian melaksanakan akikah baginya. Namun ia tidak terhenti di situ.”

“Setelah anak itu punya akal yang sempurna, ibu bapa harus mencantingkannya dengan warna-warna fitrah, agar dia membesar sebagai muslim. Muslim yang sebenar, bukan hanya muslim pada nama sahaja, tapi muslim pada akidah, ibadah, perasaan dan pemikirannya.”

“Proses ini berterusan hinggalah anak itu menginjak usia dewasa, pada setiap peringkat usia, ada tuntutan Islam yang harus kita ajarkan kepada mereka dan tuntutan ini bukanlah sekadar mengajar mereka menghafal doa-doa dan mengenal huruf jawi sahaja. Juga tanggungjawab ini bukan tanggungjawab penuh Ustaz atau Ustazah di sekolah, tapi ia adalah tanggungjawab mutlak ibu bapa. Itulah yang diberitahu oleh baginda nabi yang mulia.”

“Menjadi ibu bapa, bukanlah satu perkara yang mudah, ada ilmu yang harus kita pelajari dan ada hisab yang akan ditanyakan nanti.” saya menghela nafas, melihat hadirin dengan pelbagai gelagat dan gaya. Ada yang khusyuk mendengar, ada yang sedang leka mengambil gambar dan berbual-bual dan tidak kurang yang sedang khusyuk menghadap kambing!

“Menjadi ibu bapa kepada manusia, kita harus berbeza dari menjadi ibu bapa buaya," saya menyambung.

Buaya menjaga anaknya dengan begitu prihatin hingga sanggup berkorban nyawa demi keselamatan anaknya. Buaya juga mengajarkan anaknya ilmu mencari makanan dan mempertahankan diri. Lengkap dan sempurna tarbiah buaya kepada anaknya, sesuai dengan fitrahnya sebagai seekor buaya.”

“Manusia, punya fitrah yang berbeza berbanding buaya, kita punya amanah yang tidak mampu dipikul oleh gunung batu yang paling perkasa.”

“Menjadi ibu bapa kepada manusia muslim, tidak cukup sekadar kita menukar lampinnya ketika kecil, memberinya makanan yang sihat dan pakaian yang cantik, rumah yang selesa dengan mainan yang pelbagai jenis, menghantarnya ke sekolah untuk belajar tulis baca, menghantarnya ke kelas matematik dan taekwando untuk mempertajamkan kemahiran kehidupannya.”

“Juga tidak cukup sekadar kita menjaga keselamatannya, mendudukkan anak yang masih kecil di atas kerusi bayi tika hendak berkereta agar sentiasa selamat di jalan raya, menunggu dan menghantarnya hingga ke pintu sekolah agar terjaga keselamatannya dari manusia-manusia durjana.”

“Jika kita berhenti setakat memenuhi keperluan asas badaniahnya sahaja, maka apa bezanya kita dengan buaya atau lembu?”

“Itu semua adalah perlu, bahkan amat dituntut dalam Islam, namun manusia ini terbahagi kepada ‘hardware’ dan ‘software’. Apa yang saya nyatakan tadi adalah tuntutan ke atas ‘hardware’nya. Tuntutan terhadap ‘software’nya jauh lebih penting dan amat perlu kepada perancangan dan keseriusan dalam mengisinya. Ia jauh lebih berat dari sekadar menukar lampin."

"Tidak guna jika anak kita punya fizikal dan kecerdasan yang hebat, namun kecundang dalam ibadah dan akhlak serta hanya menjadi manusia yang pentingkan diri sendiri dan tidak pernah kisah akan tuntutan agama. Kita mahukan agar 20 tahun ke hadapan, anak-anak kita bukan sahaja hebat dari segi fizikal dan kecerdasan, namun hebat juga dalam ibadah dan taqwanya kepada tuhan yang maha tinggi.”

“Nilai sebenar menjadi ibu bapa muslim adalah apabila kita mengajarkannya agar kenal Allah, celik akan ibadah-ibadah yang diwajibkan di dalam agama ini dan celik juga akan erti hidup sebagai muslim yang sebenar. Bukan hanya muslim dari sudut ritual, tapi muslim di mana-mana pada setiap masa dan ketika.”

“Kegembiraan kita sebagai ibu bapa tidak seharusnya hanya apabila anak kita mampu untuk berbahasa Inggeris dengan petah atau beroleh tempat pertama dalam peperiksaan penggal di sekolah. Kita boleh bergembira untuk itu, tapi kita harus lebih gembira tatkala anak kita membesar menjadi anak soleh yang mampu untuk mendoakan ayah dan ibunya, kekal menjadi jariah tika kita telah kekal di alam baqa’.”

“Cerdik pandai pernah berkata, jika kita ingin melihat masa depan, maka lihatlah akan kualiti generasi yang ada pada hari ini. Jika kita ingin agar bumi ini diwarisi oleh generasi yang baik dan soleh, maka kitalah yang harus memulakannya dengan keluarga kita. Laburkanlah anak kita sendiri untuk menjadi asset tetap dalam pembinaan sebuah generasi yang beriman dan bertaqwa.”

“Akhir kata, proses tarbiah anak-anak adalah satu proses yang cukup panjang dan mencabar. Ada duri dan ada liku yang harus kita tempuhi. Walaupun kita telah berusaha keras namun mungkin juga ada anak-anak yang akan menjadi seperti anak Nabi Nuh.”

“Cuma, apa yang penting, adalah kita kekal di atas jalan orang yang berusaha dan bertawakkal. Mudah-mudahan Allah akan memberi kita petunjuk untuk kekal di atas jalan yang lurus.”

“Insyaallah, hadirin hadirat sekalian, saya rasa cukup sekadar ini, tazkirah ringkas dari saya. Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada yang mendapat anak dan mengakikahkannya hari ini. Saya berharap agar tradisi yang baik ini kita teruskan, moga ada keberkatan yang akan menjalar dalam tubuh anak-anak yang bertuah hari ini hasil dari sunnah yang kita laksanakan.”

“Wasollallahualaihiwassalam, walhamdulillahirabbilalamin. Assalamualaikum warahmatullah.” Saya mengakhiri ucapan dan menyerahkan mikrofon kembali kepada Umar Faruq.

Moga perkongsian saya dalam majlis hari ini akan menjadi pemberat timbangan amal dan dapat memberikan secebis kefahaman tentang pentingnya pendidikan anak-anak kepada golongan ibu bapa yang hadir juga bakal-bakal ibu ayah yang bakal mendepani tuntutan sebagai ibu bapa tidak lama lagi.

  




4 comments:

  1. Assalam

    Post yang baik dan berinformasi, cuma tiap kali kita letak gambar yang bukan milik kita pada blog atau mana-mana penerbitan, nyatakan sumbernya dari mana ia diambil (ini etika asas penulisan).

    Glad to know you've settled down nicely in Adelaide & my salam to your family & friends.

    p/s - kuih loyang sedap. TQ!

    ReplyDelete
  2. Oh Kak Suraiya!
    Lama tak bertukar khabar. Terima kasih atas teguran, Insyaallah akan lebih peka selepas ini.

    p/s: kat Australia kuih muihnya tak menarik, kalau tak boleh dikirimkan lagi.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,
    Sham, minta izin utk copy ke blog ismakedah. tp gambar tukar lain.

    ReplyDelete