Orang Kristian itu apa?

 Bangunan Hadapan Uni Adelaide. Klasik
Gerabak keretapi yang tadinya penuh, kini telah mula kosong. Saya duduk di satu sudut sambil meriba Humaira’ yang leka melihat pemandangan bandar-bandar kecil sepanjang perjalanan kami dari Bandar Adelade ke Munno Para untuk urusan pengambilan kereta yang kami beli dari laman web e-bay. Khadijah pula sedang leka menikmati susu dengan penuh nikmat di sebalik tudung ibunya.

Saya juga khusyuk melihat pemandangan latar yang jauh berbeza dari Malaysia, pohon-pohon dan rimbunan lalang yang lain berbanding di kebanyakan tempat beriklim khatulistiwa, batu dan bukit yang berwarna kemerah-merahan, manusia yang berbeza warna kulit dan bahasanya serta mentari yang kelihatan lebih dekat menginsafkan saya akan besarnya kekuasaan Allah yang menciptakan segala sesuatu di alam ini dengan penuh keunikan yang tersendiri.

“Ayah, itu tempat apa ayah?” Humaira’ bertanya saat keretapi melalui kawasan perkuburan orang-orang Kristian yang kelihatan kemas dan dijaga rapi.

“Oh, itu kawasan perkuburan orang-orang Kristian” saya menjawab sambil hati saya cukup merasa kagum dengan kekemasan dan kebersihan kawasan perkuburannya. Tidak seperti di banyak tempat di Malaysia, kawasan perkuburannya semak samun dan tidak dijaga, menimbulkan kegerunan dan kadang-kadang menjadi sarang pula untuk penagih dadah dan pemuja nombor.

“Assalamualaika ya ahlil qubur....” spontan Humaira’ membaca doa setelah mendengar jawapan yang saya berikan.

“Eh! Eh!, nanti dulu, doa itu kita tak baca dekat perkuburan orang Kristian, hanya di perkuburan orang Islam sahaja,” Cepat-cepat saya menghentikan bacaan doanya. Niatnya tulus, perbuatannya juga mulia, cuma tidak kena tempat.

“Mengapa pula ayah? Bukankah ayah kata setiap kali lalu di kubur kena baca doa?” Humaira’ menjawab tanda tidak berpuas hati kerana saya menghentikan bacaan doanya.

“Errr...itu perkuburan orang Kristian, tak perlu baca,” teragak-agak saya menjawab.

“Orang Kristian tu apa ayah?” Soalan seterusnya membuat saya bungkam seketika. Entah bagaimana saya harus menjelaskan persoalan yang cukup kompleks begini.

“Hmmmm..., nanti ayah baca buku dulu ye, sekarang ni ayah tak tahu tapi bila dah baca buku dan ayah dah tahu, ayah akan beri jawapan yang terbaik untuk Humaira’.” Seperti biasa, jika saya tidak pasti akan jawapan kepada sesuatu persoalan, saya akan menyatakan bahawa saya tidak mengetahuinya, kemudian akan mencarinya melalui pembacaan.

Selesai urusan pengambilan kereta di Munno Para, waktu hampir mencecah Maghrib, namun kereta jenis Hyundai Elantra yang saya beli dengan harga AUD 1800, tidak dapat saya pecut laju, bukan kerana kereta itu tidak mampu, tapi kerana penguatkuasaan undang-undang kelajuan disini amat ketat, kalau terkena, melayanglah AUD 300, tiada kompromi dan tiada diskaun yang akan diberi. Mungkin itu antara sebab jalan raya disini pemandunya lebih cermat dan berhemat.

Tiba di suatu simpang berhampiran rumah, kami melalui sebuah Gereja Besar, rupa bentuknya agak unik dan kelihatan lama. Tidak hairanlah sebelum saya ke sini, ramai yang berkata bahawa Adelaide adalah Bandar Gereja Lama. Banyaknya gereja di Adelaide, mungkin sama banyaknya dengan bilangan masjid yang akan dijumpai sepanjang jalan di Terengganu atau Kedah.

“Ayah, itu bangunan apa ayah?” Humaira’ yang duduk di atas kerusi khas kanak-kanak di belakang bertanya, mungkin tertarik dengan senibina dan keunikan gereja tersebut.

“Itu bangunan Gereja St Aidans, bangunan gereja ni tempat orang Kristian sembahyang,”  jelas saya sambil melirikkan mata melihat kepada nama gereja tersebut yang terpampang besar di tepi simpang.

“Oh! Kalau macam tu, kita berhenti sembahyang Maghrib kat sini sahajalah ayah, kan dah gelap ni.” Humaira’ memberikan cadangan. Sebelumnya, saya menyatakan kepadanya bahawa kita perlu segera untuk mengejar waktu Maghrib kerana telah kesuntukan masa, namun cadangannya kali ini membuatkan saya bungkam seketika buat kali kedua petang ini. Isteri saya hanya mampu tersenyum di sebelah mendengar cadangan ikhlas tersebut.

“Hmmm, ini gereja lah sayang, kita orang Islam solat di masjid, gereja untuk orang Kristian sahaja.” Mungkin penggunaan istilah sembahyang membuatkan dia terkeliru. Persoalan ini harus saya rungkaikan segera untuk mengelak kekeliruan yang lebih besar timbul nanti.

“Humaira’, nanti ayah cerita tentang orang Kristian ye, selepas kita solat Maghrib di rumah nanti, ” saya menyambung  sambil memikirkan bagaimana cara terbaik untuk saya menjelaskan kepadanya tentang perbezaan aqidah yang amat besar ini.
*****

“Humaira’, mari sini, ayah nak cerita sedikit tentang orang Kristian.” Saya memanggilnya seusai kami solat berjemaah. Kesempatan selepas solat begini cukup baik untuk berbicara kepada anak-anak.

“Ingat tak dahulu, ayah pernah cerita tentang kisah seorang wanita istimewa bernama Maryam yang Malaikat Jibril datang kepadanya dan dia melahirkan seorang bayi ajaib yang diberi nama Isa.” Kisah saya mulakan dengan cerita yang pernah saya ceritakan tidak berapa lama dahulu kepadanya berkenaan Maryam dan kelahiran Nabi Isa yang istimewa.

“Ingat, ingat, yang “baby” boleh bercakap tu kan?” sampuknya.

“Ye, betul sayang. ‘Baby’ ajaib yang namanya Isa itu, bila dia besar, Allah jadikan dia Nabi dan Rasul, sama macam Nabi Muhammad. Sebenarnya orang Kristian ini adalah orang-orang yang mengikut ajaran Nabi Isa. Nabi Isa ajak manusia sembah Allah dan buat banyak perkara baik, sama seperti Nabi Muhammad juga. Cumanya bila Nabi Isa dah tiada...”

saya memberhentikan penjelasan, terfikir pula tentang peristiwa Nabi Isa yang diangkat oleh Allah ke langit, rasanya buat masa ini tidak perlu saya jelaskan kepadanya tentang perkara ini kerana mungkin akan membuatnya tambah keliru dan akan menimbulkan persoalan lain pula nanti. Dalam sesi lain mungkin saya akan jelaskan kepadanya.

“Pengikut Nabi Isa berkata bahawa Nabi Isa itu adalah anak kepada Allah, yang mana perkara ini sangat salah dan membuatkan Allah sangat marah sebab Allah adalah satu-satunya tuhan yang menciptakan kita.” Saya menyambung, mengambil maksud dari firman Allah dari surah Al Ikhlas.

“Allah itu tidak dilahirkan dan tidak melahirkan, Allah itu hanya satu dan dialah yang menciptakan segalanya, memberikan kita makan, minum dan semuanya.” Saya menjelaskan konsep penting tentang tauhid yang membezakan orang-orang Islam dan orang-orang Kristian.”

“Nabi Isa bukan tuhan ataupun anak tuhan, seperti juga Nabi Muhammad, keduanya adalah ciptaan Allah.”

“Allah itu hanya satu, tidak ada isteri, tidak ada anak, dan Allah tidaklah dilahirkan dan diciptakan oleh sesiapapun, sebab Allahlah yang menciptakan segalanya.” Saya mengulang-ulang konsep ini agar kemas tertancap di dalam mindanya.

“Allah hanya terima agama Islam sahaja. Allah tidak terima agama Kristian kerana mereka mengatakan bahawa Nabi Isa itu anak Allah. Allah sangat marah dengan perkataan ini.” Saya menyudahkan pengajaran Maghrib itu dengan kesimpulan penting, iaitu satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah adalah agama Islam.

“Walaupun begitu, Allah tetap suruh kita berbuat baik kepada semua manusia, tidak kira Islam atau Kristian. Kita boleh berkawan dan berbuat baik kepada mereka, cuma jangan ikut agama mereka sahaja.”

“Jadi Humaira’ faham tak sekarang orang Kristian itu apa?” Saya bertanya kembali, cuba untuk mengesahkan kefahamannya.

“Faham sikit-sikit” dia menjawab, mungkin perkara ini masih agak baru bagi pemikirannya.

“Tak mengapa, yang penting Humaira’ faham bahawa Allah itu satu dan tidak mungkin bagi Allah untuk mempunyai anak sepertimana yang dikatakan oleh orang Kristian. Ada banyak lagi kisah tentang Nabi Isa dan orang Kristian, nanti ayah ceritakan lagi ye, sekarang mari kita baca Iqra’ dulu.” Saya menyudahkan bicara malam itu untuk mengelakkan perbincangan menjadi lebih panjang dan keliru. Cukuplah setakat ini dahulu.

Moga Allah menetapkan imannya dan kami sekeluarga dalam berdepan dengan cabaran pendidikan anak-anak dalam suasana di mana umat Islam sebagai minoriti di sini. Jika kami leka walaupun sedikit atau sebentar, bimbang nanti tidak boleh ditebus kembali.

“Wahai tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas jalan kebenaran dan ketaatan.”




No comments:

Post a Comment