Politik Bulu Ketiak


Membaca perkembangan politik Malaysia sekarang ini membuatkan saya rasa mual dan loya. Hukum agama diletak entah ke mana, rasa malu apatah lagi. Lantas manhaj politik sesat ‘Machiavelli’ juga yang menjadi anutan dan amalan ahli-ahli politik dan media massa arus perdana.

Teringat saya pada suatu kisah seorang alim yang pernah saya baca satu ketika dahulu. Ketika mana dia berada dalam istana menghadiri majlis anjuran pemerintah negara. Ketika majlis makan malam berlangsung, maka orang alim ini pun duduk bersama dengan ahli-ahli politik dan menteri-menteri. Sementara menunggu makanan dihidangkan, mereka yang duduk semeja dengannya pun mula berbual sesama sendiri tentang keaiban orang itu dan orang ini.

Orang alim itu amat kurang senang mendengarnya, lantas dia memikirkan bagaimana caranya untuk menegur atau sekurang-kurangnya berlepas diri dari kisah aib yang dijaja rancak dan umpatan-umpatan yang sedang mereka bicarakan.

Setelah makanan sampai dan tika mereka semua baru mula hendak menjamu selera, orang alim itu membuka bajunya dan menanggalkan bulu ketiaknya dihadapan semua ahli politik dan menteri-menteri yang sedang leka menceduk lauk dan kuah, membuatkan orang-orang penting negara yang ada di meja tersebut terkesima. Lantas salah seorang dari mereka membentaknya.

“Hoi, bukankah kami semua hendak makan, mengapa engkau melakukan perbuatan yang jijik sebegini? Bukankah engkau orang yang paling alim di negara ini? Bentak seorang menteri yang berada di meja tersebut.

“Bodoh! Nama sahaja alim, kononnya mempunyai ribuan murid dan puluhan kitab, ke mana engkau letakkan akalmu wahai keldai!” Seorang lagi menteri menyampuk, wajahnya kelihatan merah menahan marah, bibirnya diketap rapat.

Orang alim itu meneruskan perbuatannya dan pura-pura tidak ambil tahu dengan teguran dan bentakan yang disasarkan kepadanya. Kemudian, setelah dia menyelesaikan urusan mencabut bulu ketiaknya, orang alim itu berkata.

“Sabar, sabar, aku sedang melakukan perbuatan sunnah, sedang kamu semua sedang mendedahkan keaiban orang lain sambil mengunyah daging saudaramu yang masih mentah dengan begitu berselera sekali. Siapa yang lebih bodoh, aku atau kamu semua? Bertaqwalah kamu semua kepada Allah.” Dengan selamba orang alim itu menjawab dan kemudian dia bangun meninggalkan meja dan bergerak keluar dari istana meninggalkan semua yang hadir dalam keadaan marah dan terpinga-pinga.

No comments:

Post a Comment