Siri Tadabbur Kalimah Allah: Al Mujadalah Ayat 1-3

Segala pujian bagi Allah, pemilik sekalian alam dan penguasa hari pembalasan. Selawat dan salam atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W serta para keluarga dan sahabat baginda yang mulia.



Siri tadabbur ayat ini adalah hasil pemahaman saya terhadap kuliah tafsir yang saya hadiri di Surau Taman Tunku Sarina dan disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Faisol Bin Mat Isa. Tujuan saya menulis siri tadabbur ini pertamanya untuk menyampaikan mutiara-mutiara berharga yang saya kutip dalam kuliah tersebut pada anda semua dan pada masa yang sama cuba untuk meningkatkan lagi kefahaman saya tentang ayat-ayat yang telah saya pelajari. Bukankah dengan berkongsi itu akan menjadikan kita lebih memahami?

Saya tidak akan membincangkan apatah lagi mentafsirkan sisi teknikal seperti Asbab Nuzul, permasalahan hukum atau tatabahasa Al Quran yang memerlukan kepada penguasaan displin ilmu yang pelbagai, yang mana saya bukanlah ahlinya, tetapi penulisan ini lebih kepada penghayatan (tadabbur) hati terhadap kalimah-kalimah Al Quran yang mulia.  

Saya juga tidak akan membincangkan kesemua ayat-ayat dalam surah yang saya diskusikan, tetapi hanya beberapa ayat terpilih yang saya rasakan cukup mendalam maksud dan pengajarannya untuk kita renungi bersama.

Jika ada salah dan silap mohon ditegur dan dibetulkan oleh mereka yang lebih berilmu.

Siri ini akan dimulakan dengan perbincangan Ayat 1 dari surah Al Mujadalah, iaitu surah pertama dari Juzu’ 28.
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قَدۡ سَمِعَ ٱللَّهُ قَوۡلَ ٱلَّتِى تُجَـٰدِلُكَ فِى زَوۡجِهَا وَتَشۡتَكِىٓ إِلَى ٱللَّهِ وَٱللَّهُ يَسۡمَعُ تَحَاوُرَكُمَآ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعُۢ بَصِيرٌ (١)


“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang memajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [1]

Surah Al Mujadalah ini dimulakan dengan satu jidal (berbalas pendapat, tapi tidaklah tahapnya hingga membawa pertengkaran) yang berlaku antara Rasulullah dan seorang sahabiah iaitu Khaulah Binti Tha’labah yang mengadukan perihal dirinya yang telah berdepan dengan masalah Zhihar dengan suaminya iaitu Aus Bin Shamit.
Kisah panjang ini boleh dirujuk dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad yang saya baca (juga diceritakan oleh Ustaz Fisol dalam pengenalan) dari Tafsir Al Azhar karangan Pak Hamka (Jilid 9, muka 7205).

Dalam hadis ini, diceritakan secara terperinci dialog antara Khaulah dan Rasulullah setelah dirinya di zhihar oleh suaminya yang telah lanjut usia iaitu Aus Bin Shamit. Pada mulanya Rasulullah menyatakan kepada Khaulah bahawa dia tidak boleh lagi bersama dengan suaminya akibat kalimah Zhihar itu. Khaulah yang tidak berpuas hati kemudiannya terus bertanya kepada Rasulullah, namun jawapannya tetap sama. Setelah beberapa kali Rasulullah memberikan jawapan yang sama, Khaulah akhirnya menadahkan tangannya ke langit dan berdoa dengan penuh harap agar Allah memberikan keputusan terhadap permasalahan yang sedang dihadapinya itu.

Tidak berapa lama setelah itu, Allah memperkenankan doa Khaulah dan turunlah ayat surah Al Mujadalah (1-4) yang membicarakan persoalan zhihar dan penyelesaiannya.

Walaupun ayat ini diturunkan untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi dalam rumahtangga Khaulah dan Aus, namun pengajarannya adalah pengajaran umum kepada seluruh kaum muslimin.

Apa yang boleh kita hayati dari ayat pertama ini adalah betapa besarnya pemerhatian Allah terhadap urusan rumahtangga kaum muslimin. Dalam ayat 1 ini sahaja, 3 kali Allah menyatakan bahawa dia mendengar akan apa yang sedang dibicarakan oleh Rasulullah dan Khaulah.

Bayangkan perbualan yang berlaku hanya antara Rasulullah dan Khaulah yang hanya di dengari sebahagiannya oleh Saidatina Aisyah yang ketika itu berada di dapur (juga diriwayatkan dalam sebuah hadis lain, Ustaz Fisol tidak pula menyatakan riwayatnya) di dengari dengan amat teliti oleh Allah dan Allah telah menurunkan penyelesaiannya pada ketika itu juga (semasa Khaulah masih berada di rumah Rasulullah).

Masyaallah, jika Allah dapat mendengar perbualan antara Rasulullah dan Khaulah dalam satu sesi kaunseling rumahtangga yang amat eksklusif, apakah Allah tidak mengetahui setiap apa yang terjadi dalam rumahtangga kita, setiap perbualan yang kita bualkan bersama dengan isteri kita di dapur mahupun di atas katil ketika hendak tidur. Setiap tindak tanduk kita kecil atau besar semuanya dalam pengetahuan Allah, malahan Allah maha mendengar setiap lintasan yang berada dalam hati kita.

Ayat ini juga memberi petunjuk bahawa setiap masalah yang berlaku dalam rumahtangga kaum muslimin, Allah amat prihatin dan telah menyediakan penyelesaiannya melalui petunjuk agama samada melalui Al Quran atau lidah rasulnya yang mulia.

Teladan yang ditunjukkan oleh Khaulah juga amat penting untuk dicontohi oleh para muslimah, iaitu bagaimana dia bersikap berani dan proaktif untuk berhadapan dengan Rasulullah dan walaupun menerima respon yang pada mulanya agak mengecewakan dirinya, langsung Khaulah mengadukan permasalahannya secara terus kepada Allah, pemilik sekalian alam dengan penuh ikhlas dan penuh pengharapan.

Dan tiada doa dari hambanya yang tidak didengar oleh Allah, seketika itu juga Allah menurunkan jawapan kepada permasalahan rumahtangga Khaulah dan namanya kekal harum sepanjang zaman sebagai antara muslimah yang beruntung menjadi penyebab kepada turunnya wahyu kepada Rasulullah.

Oleh itu, amat penting sekali bagi kita jika berdepan dengan ombak badai dalam rumahtangga, petunjuk agama harus menjadi panduan utama. Jika jalan lain yang dicari, maka ketika itu akan berantakanlah segalanya.

Sungguh Allah itu maha teliti terhadap segala urusan hamba-hambanya.






No comments:

Post a Comment