Menegur dan Ditegur

Hikayat Menegur dan Ditegur


Bercerita tentang menegur dan ditegur ini, banyak memori yang tidak dapat saya lupakan. Ada antaranya yang mengubah corak kehidupan saya sehingga hari ini, dan ada juga yang marahnya masih belum hilang. Segala memori ini timbul semula dan ingin saya kongsikan disini selepas semalam saya ditegur oleh seorang jiran kerana membawa anak saya menaiki motosikal ke kedai runcit dengan meletakkannya dalam raga motorsikal yang mana perbuatan itu yang telah saya warisi dari ayah saya dahulu (yang telah membawa kami ke mana-mana dengan motorsikal tanpa helmet di tempat duduk belakang atau di dalam raga) dan tidak pernah selama ini seorang pun menegur bahawa perbuatan itu berbahaya.

Setelah ditegur semalam, saya hanya tersenyum dan cuba menjustifikasi dengan pelbagai alasan (sudah tentu hanya di dalam hati) antaranya,

“Alah, orang naik kereta kebal pun boleh mati bro!”

“Bahaya ada di mana-mana bro! Tunggu nak bayar tol boleh mati kena langgar lori bro”

“Habis, ko naik kereta bawak anak tak pakai talipinggang keledar tu selamat ke bro!”

Tapi setelah memikirkannya semula, teguran itu memang teguran yang benar, dan saya perlu berterima kasih dan berlapang dada atas tegurannya itu. Moga ada kebaikan yang dapat kita pelajari bersama dari tegurannya dan secebis kisah kehidupan yang pernah saya alami ini.

Kisah 1: Penampar Sulung

Selama saya bersekolah dari darjah 1 – 6, tidak pernah saya ditampar atau dirotan oleh mana-mana guru, paling hebat pun hukuman adalah tarik sideburn hingga senget kepala. Namun peristiwa hitam kena lempang dalam kelas Matematik 6 Cempaka tidak akan saya lupakan.

Matematik adalah antara subjek yang paling saya tidak minati, kerana saya memang agak lemah dalam pengiraan, sebab itu ketika kelas Matematik saya dan beberapa rakan yang “sekepala” lebih berminat berbual tentang Piala Dunia, bermain empayar pada buku latihan matematik, mengulas siri Thundercats, Meoro Attack, Dash Yonkuro atau apa sahaja topik selain dari Matematik dan setelah berhari-hari Cikgu R membiarkan kami, pagi itu kesabarannya sampai puncak.

“Diam! Kalau kamu tak hendak belajar jangan ganggu orang lain” Cikgu R bertempik setelah melihat kami berbisik-bisik dan tidak menumpukan perhatian. Kami diam seketika. Namun 10 minit selepas itu kami kembali terkekek ketawa kecil, mungkin masih kurang matang agaknya, pelajar perempuan yang duduk di hadapan hanya menggeleng-geleng kepala.

“Hisham, Rizman dan Fazrul (bukan nama sebenarlah, hehe), berdiri di luar kelas!” kali ini Cikgu R mengarahkan kami keluar kelas selepas tegurannya sebelum itu hanya bertahan 10 minit untuk meredakan keadaan. Perlahan-lahan kami keluar ke kelas dan berdiri di koridor kelas.

Entah apa yang menggelikan hati kami bertiga, saya sendiri telah lupa, namun semasa berdiri di luar pun kami masih tertawa dengan kuat. Semasa sedang asyik kami ketawa, tiba-tiba

“Pang!” satu penampar kuat hinggap di muka saya. Kemudian tangan Cikgu R mencari pula Fazrul dan Rizman, namun mereka sempat mengelak. Penampar itu memang menyakitkan, tapi apa yang lebih pedih, seluruh kelas menyaksikan kejadian itu, perasaan saya bercampur baur antara marah, pedih dan sedih. Waktu rehat pagi itu, saya menangis perlahan di bawah Pohon Teja di tepi padang sekolah.

Kawan-kawan lain hanya memerhati, permainan bola chap (guna bola tenis untuk dilempar pada badan kawan) yang biasa kami mainkan sewaktu rehat hari itu tergendala. Semuanya terkesima.

Sejak hari itu, saya membenci segalanya tentang Matematik, tapi sejak hari itu juga saya menukar tempat duduk dan duduk barisan dua dari hadapan. Hingga hari ini, kesan penampar itu masih berbekas di muka. Ada pengajaran berguna namun lukanya tetap merah menyala hingga hari ini.

Kisah 2: Keluar!

Kisah kedua yang ingin saya kongsikan adalah ketika saya berada di Universiti, tahun ke dua dan ianya berlaku dalam kelas Bahasa Inggeris.

Pagi itu, entah bagaimana saya terlewat bangun. Selepas solat subuh saya tidur seketika (tabiat yang telah saya buang sekarang) sementara menanti waktu kelas. Ada ujian pagi itu jam 8 am. Malang, sedar-sedar jam telah menunjukkan 830 ketika saya bangun, teman sebilik masih belum pulang sejak semalam, biasanya dia ibarat jam loceng yang mengejutkan saya. Dalam keadaan terkocoh-kacah, saya bersiap, tetapi ketika saya tiba jam 9 am, ujian telah berakhir.

Saya menunggu kelas seterusnya pada jam 930 yang juga diajar oleh pensyarah yang sama, silap saya juga tidak meminta izinnya terlebih dahulu. Tepat jam 930, saya masuk bersama pelajar-pelajar lain sementara pensyarah itu mengedarkan kertas soalan. Tiba pada meja tempat saya duduk, dia berhenti dan kemudian menengking.

“Who ask you to come in, GET OUT!” suaranya bagai halilintar.

Saya tidak takutkan suaranya yang garau itu, namun daging diwajah saya terasa ingin luruh kerana perasaan malu. Saya keluar dengan hati yang panas dan menunggu sahaja di tepi pintu hingga waktu kelas tamat untuk meminta izin mengambil ujian itu semula.

Saya akui memang salah saya kerana tertidur dan tidak meminta izinnya sebelum masuk, namun menengking dengan cara yang memalukan saya di hadapan ramai teman-teman lelaki dan perempuan, saya malu bercampur marah. Perasaan itu masih ada hingga hari ini.

Banyak lagi situasi dimana saya ditegur dikhalayak ramai, dan setiap teguran itu saya merasakan bagai air yang dititiskan ke batu. Ia hanya membibitkan perasaan amarah kerana saya tidak suka untuk dimalukan di khalayak ramai.

Tegur menegur memang baik bahkan Allah menyebut bahawa Bani Israel dilaknat kerana tidak ada yang menegur dan mencegah perbuatan maksiat yang mereka lakukan. Namun menegur harus disertai dengan adab dan akhlak dan bukan dengan tujuan untuk membangga diri sendiri dan bukan juga dikhalayak ramai dengan tujuan untuk memalukan sahabat kita.

Buat yang menegur, beradablah ketika menegur dan buat yang ditegur, berlapang dadalah dan terimalah jika ada kebaikan dari teguran.

No comments:

Post a Comment