Apa yang baik untuk kita belum tentu baik untuk orang lain, dan apa yang baik untuk orang lain belum tentu baik untuk kita. Justeru itu, selagi mana sesuatu perkara itu tidak melanggar batas-batas hukum Allah, maka berlapang dadalah sesama kita, kerana perbezaan pendapat itu adalah suatu rahmat jika ia berlaku dalam suasana penuh adab dan kasih sayang tanpa campuran hasad, ujub dan dendam.
Itulah kesimpulan yang dapat saya buat setelah beberapa hari berbalas hujah bersama teman-teman yang mengikuti kursus ESQ 165 yang diwajibkan kepada hampir separuh dari staf UUM Jumaat dan Sabtu lepas. Saya adalah antara yang terpilih dari 1647 orang peserta dalam kursus ESQ Perdana ini.
Sebelum ke kursus ini, banyak respon yang saya dengar, ada yang memuji dan tidak kurang juga yang mengeji. Apatah lagi perlaksanaannya di Malaysia di selubungi kontroversi pengharaman oleh 2 buah negeri (Wilayah Persekutuan dan Perlis). Namun ulasan UZAR dan sokongan sahibus samahah bekas mufti Kedah iaitu Sheikh Hasbullah, Mufti Pulau Pinang dan Mufti Perak sedikit sebanyak meredakan gundah dihati saya.
Memasuki dewan pada pagi Jumaat, saya memasukinya dengan perasaan yang bercampur baur, namun tetap juga saya gagahkan diri untuk mendengar. Namun sejurus dewan digelapkan, saya mula merasa kurang senang, apatah lagi seawal sesi pertama lagi moderator dari Indonesia itu telah bermain dengan emosi peserta dengan iringan muzik yang mengegarkan jantung dan suara tempikan keras diikuti oleh tangisan yang saya sendiri tidak pasti apakah asli atau sekadar lakonan.
Saya cuba bersangka baik, mungkin ini hanya untuk sesi yang pertama dan cuba juga saya menghayati kebesaran Allah yang dibawakan melalui penceritaan Teori Big Bang yang dikaitkan dengan ayat Al Quran yang menyatakan bahawa langit dan bumi dahulunya adalah sesuatu yang padu. Namun iringan muzik kuat dan jeritan keras terus membuatkan saya berasa amat tidak selesa.
Masuk ke sesi kedua seusai solat Jumaat, perkara yang sama diulang lagi, dilontarkan satu ayat al-quran diikuti oleh iringan muzik dan jeritan keras oleh moderator yang cuba mengalunkan emosi peserta dengan tangisan. Apatah lagi apabila moderator membuat tarian burung yang saya cukup musykil apakah motifnya. Salah seorang saudara baru yang berada mengatakan bahawa tarian burung itu cukup sinonim dengan apa yang berlaku dalam gereja ketika dia masih kristian. Allahua’lam, saya tidak berani mengomentari.
Lebih sedih apabila salah seorang orang bukan Islam yang turut ‘dipaksa’ untuk berada dalam kursus tersebut berkata.
“What the hell is this!”
Khuatir juga jika dia mendapat gambaran yang salah tentang Islam melalui program ini. Mungkin terlintas di benaknya,
"Apakah begini kaedah untuk bertaubat dalam Islam?"
Sampai satu tahap, saya tidak tertahan lagi dan terus saya keluar dewan kerana fitrah diri saya tidak dapat menerima manhaj kesedaran dan perubahan diri dengan cara yang sebegitu. Boleh dikatakan manhaj yang sama digunakan oleh moderator dalam setiap sesi dan pada setiap sesi itu jugalah saya terpaksa keluar dewan awal dek kerana keserabutan perasaan dan perasaan ini dirasai oleh ramai lagi yang menggeleng-geleng kepala ketika keluar dari dewan.
Sesi yang terakhir, saya dan rakan cuba untuk menghayati, kami duduk di barisan paling hadapan dan cuba untuk melakukan setiap aktiviti dengan penuh fokus, namun saat muzik keras dan jeritan-jeritan oleh moderator bermula diikuti oleh tangisan-tangisan peserta yang di dendangkan kepada semua peserta, saya mengangkat bendera putih. Ketika ini saya membuat kesimpulan bahawa ESQ bukan untuk saya.
Seperkara lagi, sujud syukur pada akhir sesi dalam keadaan ramai yang mengejek-ejek dan berbelah bagi, amat tidak sesuai untuk dilakukan. Dikhuatiri ia akan menjejaskan nilai ibadah bahkan lebih buruk membawa peserta secara tidak sedar untuk mempermain-mainkannya.
Saya tidak ingin memberi komen tentang kesahihan isinya kerana biarlah mereka yang lebih ahli memberi pendapat mereka. Tulisan ini hanyalah pendapat peribadi saya tentang ESQ.
Tidak dapat dinafikan bahawa program ESQ ini banyak juga memberi kesedaran kepada ramai orang seperti yang dapat dibaca dalam rantaian e-mail UUM (tidak kurang juga yang tidak menyukainya) juga perbincangan hangat dalam dua status saya berkenaan dengan program tersebut di facebook.
Buat mereka yang memperoleh hidayah melalui ESQ ini, ucapkanlah pujian-pujian dan rundukkanlah hatimu kepada tuhan melalui jalan menuntut ilmu dari ulama’ pewaris nabi susulilah ilmu itu dengan amal-amal soleh yang ikhlas dan istiqamah. Tidak cukup hanya dengan kesedaran kerana kesedaran tanpa disusuli oleh tindakan hanya akan menjadi sia-sia.
Namun bagi mereka yang tidak menyukainya, usahlah keterlaluan dalam mengutuk dan mengeji, apatah lagi jika ia dilakukan dalam keadaan penuh emosi. Mungkin ada jalan-jalan lain yang lebih sesuai untuk kita beroleh kesedaran, jangan angkuh dan jangan sesekali berasa ujub dengan ilmu yang kita ada.
Walaupun berbeza pendapat, janganlah hingga menjejaskan kasih sayang antara kita sesama muslim. Apa yang lebih penting, sama-samalah kita berpimpinan tangan dalam menuju jalan keredhaan tuhan.
Dalam ESQ, ada hitam, putih dan kelabu. Namun apa yang pasti jalan yang saya lalui akan berbeza jalannya dengan ESQ. Bagi saya, hidayah itu tidak dapat saya terima dengan manhaj taghyir 'The ESQ way'.
hah, saya keluar pada lima minit pertama. Saya tak layak komen status kursus ini untuk orang lain, tetapi saya mempertahankan hak saya sebagi muslim untuk tidak mahu kadir ke majlis ini kerana ia mengganggu hubungan saya dengan Allah. Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya untuk mempertahankan hak saya ini
ReplyDelete