“En. Hisham, bagi saya markah lebih!” dengan tidak semena-mena seorang pelajar masuk ke bilik saya tanpa mengetuk pintu dan terus menyampaikan hasrat dengan cara yang sungguh tidak sopan. Sudahlah bau stokinnya begitu menggamit bagai satu semester tidak dibasuh, rambutnya pula dibiarkan melepasi paras bahu dan baju kemejanya dilepaskan ke luar. Sejenak itu juga, dia terus menghempas pintu dan berlalu. Wajah saya bertukar merah, ingin rasanya saya keluar dan memberinya hadiah penampar.
Namun saya tahankan hasrat kerana saya cukup kenal dengan pelajar itu, datang ke kelas biasanya lewat, tugasan yang dihantar cincai sahaja, bertulis tangan, tiada muka depan dan hanya diselitkan dibawah pintu. Itupun lebih banyak yang tidak dihantar berbanding yang dihantar.
“Biarlah, tunggulah keputusan akhir nanti” saya mendengus di dalam hati.
Tidak lama selepas itu, pintu bilik saya diketuk.
“Assalamualaikum En. Hisham” salam diberi.
“Waalaikumussalam, ye masuklah pintu tak berkunci.”
Perlahan-lahan pintu dibuka, dan dua orang pelajar lelaki masuk dengan senyuman. Wajah mereka kelihatan kemas, walaupun tidaklah tampan, tapi etika pakaian dan kerapian wajah dijaga dengan cukup teliti. Melihat penampilan mereka sahaja, hati saya yang dipenuhi amarah tadi kembali tenang.
“Ye, ada apa yang boleh saya bantu” mereka datang dengan hormat dan saya membalasnya juga dengan penuh rasa hormat.
“Begini En. Hisham, ada penerangan tentang konsep hubungan dalam pengkalan data yang kami kurang faham semasa dalam kelas tadi iaitu ketika En. Hisham menerangkan dengan menggunakan contoh Sistem Penggajian, boleh En. Hisham jelaskan semula jika tidak keberatan?”
Mereka menyatakan hasrat dan saya dengan senang hati menerangkannya kepada mereka dengan panjang lebar.
“Oh, seperkara lagi sebelum saya terlupa”
“Apadia En. Hisham?”
“Konsep hubungan pengkalan data ini adalah konsep penting yang kamu perlu kuasai untuk menjawab soalan peperiksaan akhir nanti, pastikan kamu benar-benar mahir dengannya dan jika masih tidak faham, jangan teragak-agak untuk berjumpa dengan saya.”
“Baik En. Hisham, insyaallah kami cuba sebaiknya” serentak itu juga mereka memohon izin untuk meminta diri kerana ada kelas yang perlu dihadiri.
Dua situasi di atas sebenarnya adalah rekaan semata-mata, namun sebenarnya ia adalah refleksi kepada hubungan kita dengan Allah. Bagaimana Allah akan mengabulkan doa kita saat kita menunaikan perintahnya dalam keadaan serba culas, solat tidak pernah diawal waktu, subuh dikerjakan ketika matahari telah mula meninggi, jauh sekali dari menunaikannya di awal waktu secara berjemaah. Berdoa pula sambil menggaru-garu dan mengigit kuku, lebih malang lagi kalau kalimah doa yang dibaca langsung tidak difahami. Minta dalam keadaan cincai, bukan beroleh pahala, namun hanya akan mengundang murka.
Jika kita sebagai manusia pun akan meluat dengan karenah yang buruk, sudahlah perangainya buruk, diminta pula macam-macam, apatah lagi Allah yang maha teliti atas segala urusan.
Berdoalah dengan sebenar-benar doa, hadirkanlah hati dan solatlah dengan penuh tertib dan teliti. Insyaallah tuhan yang maha pemurah akan mengurniakan jalan-jalan petunjuk dan hidayah serta “tips” untuk kita menggapai kecemerlangan dalam “peperiksaan akhir” kita di Mahsyar sana.
No comments:
Post a Comment