Semoga Allah Merahmatimu, Ammar



Gambar diambil dari blog Ammar Korea

Tatkala mendengar berita tentang pelajar – pelajar Malaysia yang kemalangan di Mesir, hati terasa berdebar-debar, naluri memberitahu bahawa yang terlibat itu adalah pemuda-pemuda dakwah, saudara-saudaraku dalam jemaah. Ternyata kegusaran hati ini ada asasnya, 5 ikhwah yang aktif dalam dakwah terlibat dalam kemalangan tersebut. Seorang meninggal dunia, seorang koma, yang lain mengalami cedera yang tidak kurang lukanya.
Almarhum Akh Ammar Bin Zulkifli, walaupun saya tidak mengenalinya, tatkala membaca blog beliau, terasa kehangatan ukhuwwahnya, walaupun dipanggil ke rahmat Allah dalam usia yang masih terlalu muda, koleksi amal solehnya berjela-jela. Moga Allah meletakkan rohnya sebaris dengan para mujahid dan orang-orang yang telah diberi keampunan oleh Allah. Moga berbahagia disana wahai Ammar.

Buat teman-teman yang ditimpa musibah yang berat ini, moga dilimpahkan kesabaran, dan diberikan ganjaran yang besar dari Allah, marilah kita sama-sama memanjatkan doa buat mereka dan menghulurkan bantuan seadanya, buktikanlah ukhuwwah kita bukan hanya diwaktu senang, bahkan lebih tebal ketika sahabat didalam kesusahan.

Sesungguhnya sebaik-baik peringatan bagi orang mu’min itu adalah tazkirah kematian. Musibah dan kematian boleh datang pada bila-bila masa, tanpa mengira samada usia kita masih tua atau muda, tidak kira tika punya anak yang masih kecil atau tatkala masih baru memulakan pengajian atau baru memulakan kehidupan. Bersegeralah dalam melakukan amal kebaikan dan bersama-samalah dalam kelompok mereka yang sentiasa berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Tingkatkanlah iman, tingkatkan amal, sebelum tiba pada kita suatu hari yang tidak akan ditangguhkan atau dicepatkan walau sesaat.

No comments:

Post a Comment