Mi Goreng, Semangkuk Durian, Sebungkus Koko Crunch



Satu sms masuk petang itu “En, lagumano pete ni, jadi ko?”

Alamak, saya hampir terlupa temujanji dengan pelajar praktikum dari Kelantan hari ini, mereka sepatutnya menghantar laporan petang ini di bilik saya, tapi entah bagaimana, saya pulang agak awal dari biasa ketika mereka baru tiba di UUM.

“Xpolah, mari hata di rumoh sayo jelah, buleh? Saya jamu durian”

Tanpa berfikir panjang, saya terus mengajak mereka ke rumah, teringat durian D24* yang masih ada 4 biji dirumah,” hmm, rezeki budak-budak nil ah agaknya.”

“Eh takkan nak jamu durian je bang, depa mai dari jauh, gilah beli apa-apa kat pasar
malam, nanti syifa masak untuk depa”

Isteri di rumah memberi cadangan

“Oh betul juga ye, abang beli mi boleh, kita goreng mi untuk budak-budak ni”

Dari surau di Jitra, saya terus menuju ke pasar malam, mencari bahan-bahan untuk mi goreng. Tiba di rumah, saya dan isteri terus membelah durian, sambil membelah durian, teringat pula untuk menghulurkan sepinggan durian ke jiran sebelah.

“tak sedap pula kita sedap-sedap makan durian, jiran sebelah terhidu sedap baunya sahaja, mehlah isikan beberapa ulas untuk diberi pada jiran sebelah”



Seperti biasa, Humaira menjadi utusan menghantar sepinggan durian ke rumah sebelah.

Masuk waktu maghrib, pelajar-pelajar dari Kelantan tiba, saya mengajak mereka masuk untuk berehat-rehat dulu sambil saya berbuka puasa dan solat Maghrib.

Selepas selesai makan dan berbincang tentang laporan, terus saya bergegas ke Jitra Sport Arena untuk program riadhah Futsal bersama sahabat-sahabat dalam ISMA.

Malangnya, waktu saya tiba mereka telah selesai permainan, setelah bertegur sapa bersama sahabat-sahabat, terus saya ke Yawata untuk membeli susu humaira yang telah kehabisan.

Semasa berjalan di rak susu, saya terlihat bungkusan Koko Krunch, tiba-tiba teringat permintaan si kecil untuk membelikannya Koko Krunch kerana dia sangat teringin untuk merasainya.

Lantas saya mencapai sebungkus kecil Koko Krunch untuk memenuhi permintaan si kecil.
Tiba di rumah jam 1030 pm, Humaira yang telah tidur, tiba-tiba muncul dari tangga, melihat saya pulang bersama plastik Yawata, si kecil bertanya “Ayah beli apa tu?”



“Ayah beli Koko Krunch untuk Maira, best tak?”

“Waaah, seronoknya ayah, esok maira nak makan Koko Krunch dengan susu boleh tak, Maira suka sangat Koko Krunch”

Wajahnya berseri-seri dengan senyum yang hingga ke telinga.

Ketika menemani si kecil tidur, saya teringatkan pemberian-pemberian kecil saya dan isteri sepanjang hari ini, benarlah, tangan yang diatas lebih bermakna dari tangan yang di bawah, orang yang memberi akan lebih gembira dari orang yang menerima. Malam itu saya tidur dengan perasaan hati yang sungguh damai dan bahagia, walaupun dengan pemberian yang kecil-kecil sahaja, tapi bagi hati ini, pemberian kecil ini terasa cukup indah dan bermakna, alangkah indahnya hidup pada memberi.

Walaupun pada memberi ada jalan untuk mencapai ketenangan hati, namun ramai yang mengabaikan jalan ini. Mereka menyangka damai dan kegembiraan itu boleh dibeli dengan banyaknya wang, pangkat dan jawatan. Namun hakikatnya, kedamaian perasaan itu adalah sesuatu yang tidak akan dapat dibeli walau dengan 1 juta ringgit sekalipun.

Berapa ramai jutawan yang mempunyai wang berjuta-juta bahkan harta berbillion, namun hati masih sentiasa resah gelisah, jiwa kacau bilau, gelora perasaan bagai ombak ganas dilautan yang dilanda ribut yang kencang.

Namun, tidak juga sedikit bilangannya yang mencapai bahagia walau hanya tinggal di pondok usang, makan nasi berlaukkan garam dan kais pagi makan petang. Walaupun begitu, hati mereka masih tenang, damai bagaikan air tasik yang tenang dipagi hari yang cerah.

Kadang-kadang kedamaian itu ada pada hanya sebiji tamar, atau sepinggan mi goreng, atau sebiji durian atau sebungkus Koko Crunch.

Mohd Hisham Mohd Sharif
25 Jun 2007
9:58 pm
_________________________________________________________________________________
*D24 adalah durian klon terbaik yang dihasilkan oleh MARDI. Makan durian ini anda pasti teruja dengan keunikan rasanya.

3 comments:

  1. Aduhai...sedapnyer duriannnn...Waaa...nak balik kampung makan duriannnn...

    ReplyDelete
  2. Sekarang ni musim durian, rambutan ngan manggis kat sini, memang pesta le, semua murah-murah n sedap. Tambahan kat sini kami pi beli kat MARDI, mmg gred A punya buah...

    ReplyDelete
  3. yup. perkara yg tidak perlu kos yg tinggi. keihklasan jd tunjang. menunaikan hajat org lain.

    ReplyDelete