Ketakutan Yang Menerbitkan Keberanian



“Ayah, buang la lipas tu, Humaira takut…”

“Humaira, lipas tu kan dah mati, bukan dia boleh buat apa dah, lagipun cuba Humaira tengok, sape lagi besar, Humaira ke lipas?”

“Humaira la lagi besar ayah, ayah, Humaira takut, cepatla buang lipas tu….”

Entah kali yang ke berapa telah saya terangkan kepadanya bahawa lipas itu tidak perlu ditakuti, terutamanya apabila telah menjadi mangsa selipar jenis bowling saya, atau mungkin menjadi mangsa semburan Ridsect.

Pernah saya bertanya kepadanya, kenapa dia takutkan lipas, katanya

“Lipas tu kaki dia ada duri ayah, sebab tu la Humaira takut”

Susah juga rasanya nak mendidik anak perempuan yang seorang ini agar lebih berani berhadapan dengan serangga-serangga perosak.

Ketakutan Humaira kepada lipas adalah kerana dia mengenal lipas itu sebagai binatang yang kakinya berduri, lantas ketakutan itu diterjemahkan kepada tindakan yang menjauhkan dirinya dari lipas setiap kali berhadapan dengannya.

Begitu lumrah sifat semulajadi manusia, manusia akan takut kepada apa sahaja yang akan memberi ancaman kepadanya. Ketakutan kepada kamera polis trafik akan menyebabkan pemandu yang memecut laju memperlahankan kenderaan kerana takut disaman.

Ketakutan kepada harimau, menyebabkan manusia menjauhkan diri darinya kerana tidak mahu menjadi lauk harimau tersebut.

Manusia yang takut kepada manusia yang lain, akan menjadi hamba kepada manusia tersebut, kerana takut akan ancaman yang mampu diberikannya.

Islam datang untuk membebaskan manusia dari belenggu ketakutan sesama manusia. Sifat taqwa yang wajib khatib berpesan pada setiap khutbah Jumaat adalah sifat yang akan menjadikan setiap muslim individu yang paling berani berdepan dengan cabaran-cabaran kehidupan.

Muslim yang bertaqwa tidak akan takut kehilangan rezqinya dalam perjuangan, kerana dia faham dan sedar bahawa hanya Allah yang member rezqi, bukannya manusia.

Muslim yang bertaqwa tidak akan takut terhadap ancaman musuh terhadap nyawanya, kerana dia yakin bahawa hanya Allah yang berkuasa menghidup dan mematikan manusia.
Muslim yang penuh dengan sifat takut kepada tuan sekalian alam ini, akan menjadi manusia yang paling berani, bebas dari ketakutan terhadap manusia, jin dan syaitan.

Namun, sifat takut ini tidak datang bergolek, ia perlu ditanam, disemai dan dibajai sepanjang masa. Rasulullah mengambil masa 13 tahun untuk mendidik sahabat dengan sifat taqwa. Hasilnya, lahirlah pemuda-pemuda yang mengkagumkan, tidak takut walau kepada kuasa terbesar dunia seperti Rom dan Parsi ketika itu.

Pra syarat kepada sifat taqwa adalah kenal kepada punca ketakutan itu, iaitu Allah yang maha agung. Kenal Allah, adalah kunci kepada sifat taqwa. Beroleh kunci ini, maka pintu taqwa akan mudah untuk dibuka.

Pintu taqwa ini bukanlah seperti pintu biasa, perlu ada cara yang khusus untuk memasukkan kunci dan memutar tombolnya, dan cara ini ditunjukkan oleh utusan kepada pemilik kunci tadi, siapa lagi jika bukan Rasulullah s.a.w.

Kenal Allah, Ikuti Rasulullah itulah hakikat taqwa yang sebenar. Ketakutan yang akan menerbitkan keberanian.

No comments:

Post a Comment