Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Buat Pelayar-Pelayar Bahtera
“Ayang tau tak esok hari apa?”
Saya bertanya kepada isteri pada 5 Jun lepas, sambil memicit kakinya yang kerap lenguh dek kerana lebihnya muatan yang dibawa.
“Eh, entahlah bang” Jawab ummuhumaira, entah dia tahu atau pura-pura tak tahu.
“Esok kan ulangtahun perkahwinan kita, dah 5 tahun dah kita bersama dalam alam rumahtangga” Jawab saya cuba untuk berbahasa.
“La yeke bang, lupa lah pulak” jawabnya separuh terkejut, namun saya tidak terkejut kerana isteriku memang kerap terlupa tarikh-tarikh yang penting, hari jadi suaminya pun selalu suaminya yang mengingatkan.
2 Minggu lepas dia mengucapkan selamat hari bapa, padahal hari bapa adalah pada 13 Jun, mengingati tarikh bukanlah kelebihan isteriku, namun kelebihannya cukup banyak.
Sedar tak sedar, sudah 5 tahun kami melayari bahtera perkahwinan, pelbagai pahit manis telah diharungi bersama, Alhamdulillah masih bertahan hingga hari ini, dan saya berdoa agar cinta kami kekal hingga ke syurga.
Perkahwinan adalah sebuah perkongsian, yang memerlukan banyak pengorbanan, usahlah harapkan kesempurnaan dari pasangan, kerana kesempurnaan itu hanyalah milik tuhan. Perkahwinan juga suatu ujian, kerana gelora ombak yang kadang-kadang melanda, menduga kesabaran hingga ke puncaknya.
5 tahun melayari lautan ini, saya semakin faham akan kewajaran saranan Rasulullah bahawa pilihan pasangan yang beragama itulah yang terbaik, bukannya rupa, harta, keturunan dan sebagainya.
Buat yang belum melayari bahtera ini, agama bukan hanya dilihat pada labuhnya tudung yang dipakai, atau hitamnya dahi kerana banyak bersujud, tapi pilihlah yang menjaga kehormatan dirinya, prihatin pada teman-teman disekilingnya, baik tuturkatanya walaupun tudungnya hanyalah 3 segi biasa sahaja, atau nipis janggut dan tebal misainya.
Buat yang baru melayari bahtera ini, pilihan beragama bukanlah jaminan bahawa rumahtangga itu kekal bahagia tanpa taqwa yang menjadi pengawasnya. Bangunkanlah rumahtangga dengan iman dan taqwa, bukan dengan besarnya rumah dan canggihnya kelengkapan, binalah istana di syurga sebelum membina mahligai di dunia. Jadikanlah rumahtangga sebagai taman-taman syurga yang sentiasa dilimpahi sakinah, mawaddah dan rahmah.
Buat yang telah lama melayari bahtera ini, sabar itu adalah kunci kepada kelangsungan sebuah perhubungan. Pelbagai masalah dan dugaan yang pasti akan datang, kerenah isteri, hubungan dengan ibu bapa dan mertua, masalah kewangan, masalah zuriat dan pendidikan anak-anak, masalah orang ketiga serta 1001 macam lagi masalah. Setiap pasangan pasti ada masalahnya yang tersendiri, namun penyelesaiannya hanya ada satu, itulah sabar.
Selamat pengantin baru dan selamat menyambut ulangtahun perkahwinan buat semua teman-teman yang baru memulakan langkah dan yang telah berada didalam bahtera, moga cinta kekal bahagia hingga ke syurga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment