Kalau dah bukan rezeki



Petang tadi, pulang dari kerja, kami ke pasar malam di Bandar Darulaman, berhampiran Petronas untuk membeli makan malam nasi karisma udang yang klasik beserta air soya Pak Cik Lib yang istimewa (Ummuhumaira kata terbaik di Malaysia). Biasanya makan malam ummuhumaira akan masak walaupun yang ringkas-ringkas je, tapi petang ni badannya lenguh-lenguh lepas dikerjakan oleh Kak Saadiah di Taman Teja(mengurut le tu).

Sebelum keluar dari kereta, Humaira berpesan, “Ayah belikan maira air soya dalam cawan ye, maira dahaga sangat ni”

“Ok Maira” saya menjawab sambil menutup pintu kereta lantas terus bergegas untuk menyelesaikan misi.

Dalam masa hanya 20 minit, tangan telah penuh dengan plastik-plastik makanan dan buah-buahan, lalu saya kembali ke kereta menjinjit plastik-plastik sambil memegang air soya dalam cawan yang dipesan oleh anak kesayangan.

Sampai di kereta, saya meletakkan barang-barang di bahagian belakang kereta sambil menghulurkan air soya dalam cawan kepada Maira. Sebelum saya sempat masuk ke bahagian depan tempat pemandu, entah bagaimana air soya di tangan Humaira terlucut jatuh lalu membanjiri tempat duduk pemandu.

“Masyaallah” itu sahaja perkataan yang keluar dari mulut kami serentak
saya hanya melihat dengan hati yang hampa, nak dimarah pun bukan salahnya dan sememangnya bukan dia sengaja, lagipun teringat ketika kecil dulu selalu juga saya menumpahkan air, memecahkan gelas pinggan dan sebagainya di rumah.

Apa yang terlintas dikepala saya ketika itu adalah ternyata air soya dalam cawan itu bukan rezeki yang ditentukan untuk kami, walaupun telah berada ditangan, namun ketentuan Allah telah meyakinkan saya bahawa ia bukan untuk kami petang itu.

Urusan rezeki bukanlah hak milik mutlak manusia, walaupun manusia itu berusaha sekuatnya, namun ketentuan rezeki terletak ditangan yang maha esa. Ramai yang gagal memahami hakikat ini dalam kehidupan seharian:

“kenapa aku tak dapat anjakan gaji tapi orang lain dapat, kenapa dia dapat, padahal markah prestasi aku lagi tinggi dari dia ?”

“kenapa aku tak naik pangkat ke DS52, dah cukup syarat pun kenapa tak diluluskan juga, rasanya borang aku lebih complete dari borang dia, tapi dia pulak yang dapat?”

“kenapalah aku masih gagal subjek ni?, aku dah usaha sungguh-sungguh dah, memang aku ni bebal agaknya”

“Dia tu entah apa sumbangan pada fakulti, tiba-tiba dapat anugerah cemerlang, aku yang bermatian bekerja ni habuk pun tarak”

Walaupun dalam kehidupan, sentiasa ada sebab-sebab yang membolehkan kita menudingkan jari, mencari kesalahan orang atas kegagalan kita mendapatkan sesuatu atau menyalahkan keadaan dan persekitaran, namun hakikat yang sebenar adalah urusan rezeki itu ketentuan milik tuan kepada sekalian alam.

Jika dimurahkan rezeki, bersyukurlah, jika masih belum diluaskan, bersabar dan berdoalah. Satu perkara lagi yang perlu diingat bahawa rezeki itu bukanlah hanya semata-mata wang ringgit dan makanan sahaja. Kesihatan juga rezeki, anak-anak juga rezeki, kelapangan waktu juga rezeki, ilmu yang bermanfaat juga rezeki, teman-teman dan pasangan yang baik juga adalah rezeki.

Petang tadi, melalui segelas air soya yang tumpah begenang di kereta, Allah memberikan keinsafan tentang hakikat rezeki yang sebenar-benarnya.

No comments:

Post a Comment