Mencari Sebuah Redha

Add caption

“Sakitnya perut ayang ni, Ya Allah.” Keluh isteri saya pada jam 230 pagi. Saya terkebil-kebil melihat dalam samar-samar cahaya, hanya mampu untuk mengurut-urut dan memicit-micit dengan minyak cap kapak sebelum saya tertidur semula tanpa menyedari apa yang terjadi selepas itu.

Ketika saya bangun semula untuk solat Subuh, ternyata isteri saya masih dalam keadaan kesakitan.

“Tak tidur ke semalam?” Saya bertanya sambil menggeliat, memang liat untuk keluar dari selimut ketika suhu mencecah bawah 10 darjah celcius.

“Tak boleh nak tidur, pedih sangat ulu hati. Lepas tu muntah pula lagi sekali.” Jawab isteri saya yang masih terbaring lemah. Wajahnya kelihatan amat pucat kerana setiap kali makan dan minum, dia akan memuntahkannya semula sejak 3 hari yang lalu.

Walaupun telah masuk minggu ke 13, kesan hyperemesis masih kuat. Tidak ada tanda-tanda ianya semakin berkurangan.

“Tak mengapalah, insyaallah, pagi ni kita ke hospital, dah tak boleh ditangguh lagi ni, nanti dehidrasi dan mudarat pula pada bayi.” Saya membalas bicara dan terus keluar ke bilik air.
Di hadapan sinki saya termenung panjang sementara menunggu air paip menjadi suam. 

Teringat senarai panjang tugasan yang saya buat hari ini. Terpaksa semuanya saya tangguhkan untuk membawa isteri saya ke hospital yang pastinya akan memakan masa yang amat lama.

“Ahh, biarlah...tugasan itu bukannya tak boleh ditangguh...(walaupun banyak yang telah lama tertangguh)” saya bermonolog sendiri dan terus mengagahkan diri mengambil wudhuk dan kemudiannya ke masjid Wandana seawal jam 4.30 pagi untuk solat subuh berjemaah.

8 tahun yang lalu, ketika saya mencari calon isteri (cewah!) dikalangan akhawat UUM, antara ciri yang saya lihat adalah kecergasan dan kelincahan dalam bertindak.

Ternyata ciri tersebut, termasuk beberapa ciri yang lain ada pada seorang Ukhti (siapa lagi, isteri saya sekarang la), yang menyebabkan saya cenderung untuk melamar dirinya bagi menjadi teman hidup.

Kelincahannya berbasikal dalam menyebarkan dakwah ketika di UUM, kelantangannya dalam mesyuarat dan keberaniannya untuk bertanya dan juga kemahirannya dalam sukan ping pong amat menarik hati saya.

Saya mengharapkan agar sifat-sifat tersebut akan terus kekal hingga selepas perkahwinan agar urusan dakwah dapat dilakukan dengan lebih laju dan rumahtangga juga akan lebih dinamik dengan sentuhannya.

Itu harapan saya sebelum berkahwin. Tidak pernah sekalipun saya membayangkan akan kesakitan-kesakitan yang bakal dialaminya selepas perkahwinan.

Ketika mengandungkan anak pertama (Humaira’), saya jadi keliru. Akhawat yang dahulunya kelihatan lincah dan hebat tiba-tiba merudum kesakitan. Keluar masuk wad untuk masuk air menjadi rutin. Itu belum dikira ‘mood swing’ yang membingungkan saya yang mengalaminya buat kali pertama.

Selepas bersalin anak pertama, timbul pula sakit-sakit lain yang memerlukan kepada beberapa pembedahan. Saya yang asalnya langsung tidak tahu memasak dan mengurus teknikaliti dalam rumahtangga termasuk menjaga anak (Humaira’ yang masih kecil), terpaksa juga ambil tahu dalam keadaan terpaksa yang amat sangat.

Walaupun ketika mengandungkan Khadijah, muntah-muntahnya berkurangan, namun kini dengan anak ke 3, ia datang kembali dengan lebih kuat dan lama. Menyebabkan sekali lagi saya terpaksa ‘beraksi’.

Apa yang ingin saya katakan di sini adalah, kehidupan berumahtangga itu adalah sesuatu yang tidak akan dapat boleh kita jangka.

Suami boleh mengharapkan isteri yang cantik wajah, bertubuh ‘solid’, matang, manja, sentiasa sihat dan lengkap serba serbi. Namun bila taqdir mendahului dan andaikata dia ditimpa kesakitan seperti kanser yang menyebabkan segala kecantikan dan kelincahannya hilang, apakah kita akan terus menyayanginya, ataupun kita akan kecewa dan meninggalkannya untuk memuaskan hawa?

Kita juga boleh meletakkan pelbagai harapan sebelum perkahwinan. Untuk mempunyai kerja tetap yang menjanjikan pendapatan lumayan, punya rumah yang luas untuk berehat dengan tenang, punya kereta yang baik untuk pulang ke kampung sebulan sekali menjengah ibu bapa dengan wajah ceria, punya anak-anak yang comel dan ceria buat penghias rumahtangga, bercuti ke destinasi indah setahun sekali dan pelbagai lagi fantasi.

Namun, jangan terlalu bermimpi, kerana ada masanya, rumahtangga akan menjadi medan ujian buat kita. Mungkin dalam bentuk krisis dengan ibu bapa atau keluarga mertua yang tidak sebulu. Mungkin juga dengan anak-anak yang sentiasa sakit dan mungkin juga dengan masalah kewangan yang tiba-tiba meruncing. Apa bentuknya untuk kita, hanya Allah yang maha mengetahui.

Namun apa jua bentuknya, kita harus bersedia.

Oleh itu, dalam mencari calon dan menyediakan minda untuk sebuah perkahwinan, sekali lagi saya ulang dan akan saya terus berpesan, usahlah mencari dan mengharapkan kesempurnaan kerana ia tidak akan dapat dicapai melainkan jika kita telah menjejakkan kaki ke syurga.

Rumahtangga adalah medan untuk kita mencari sebuah redha buat bekal untuk kita menahan diri dan ahli kita dari menjadi bahan bakar api neraka. Bersediakah wahai anak muda?

Women’s and Children Hospital, Adelaide, Australia.
5 Oktober 2011.

Coretan Malam Minggu 12

Terasa ingin mencoret sesuatu malam ini.

Minggu ini, masuk minggu ke 12 kehamilan. Menurut kata Doktor Eva yang merawat isteri saya di Tudor Medical Centre tempohari, dalam tempoh ini biasanya hormon akan kembali stabil dan ketika ini isteri saya akan sembuh dari muntah-muntah teruk yang sedang dialaminya.

Namun, jangkaannya tidak berlaku kerana telah 2 bulan setengah dan hingga saat ini, isteri saya masih mengalami muntah-muntah yang amat teruk setiap kali menjamah apa jua makanan dan terhidu bau yang kurang menyenangkan dari dapur ketika saya memasak.

Berat badannya telah susut sebanyak 9 kilogram dan sememangnya dia kelihatan amat kurus berbanding sebelumnya. Kasihan saya melihatnya hanya mampu terbaring di katil tidak bermaya dalam tempoh 2 bulan ini akibat sering muntah. Walaupun ada beberapa hari rasa segar datang menjengah, namun tidak lama.

Dapur rumah kami juga telah tidak menerima sentuhannya selama hampir 3 bulan. Segala tugas-tugasnya telah saya ambil alih. Dari memasak, menguruskan anak-anak, mengemas rumah dan menyelesaikan urusan timbunan kain, segalanya saya lakukan.

Adakalanya, daging yang digoreng, hitam di kuali kerana khayalan saya dengan formula statistik yang masih belum saya fahami. Pampers Khadijah juga sering bocor kerana ketidakprihatinan dan malasnya saya untuk memeriksa, padanan stokin Khadijah juga adakalanya tidak sama kerana sukar untuk saya mencari padanannya dalam timbunan kain yang bagaikan banjaran titiwangsa dan kadang-kadang Humaira’ juga terlepas van ke sekolah kerana saya tidak sempat untuk menyediakan bekal makanannya ke sekolah. Maafkan ayah ye...

Sesekali terasa juga sempit dada tatkala pelbagai urusan berkaitan pengajian dan dakwah yang datang menghimpit pada masa yang sama, namun bantuan dari akhawat Adelaide dari rumah Barakah (Sarah, Miza, Anna, Raudhah ...), Nawar ( Eisya, Atiqah dll), Wafa (Nasruna, Syafiqah, Syidah dll) yang sesekali datang untuk mengemas dapur, menjaga anak-anak dan juga memasak pelbagai lauk dan kuih yang istimewa, banyak meringankan beban dan amat-amat kami hargai. Tidak terbalas rasanya budi baik kalian semua.

Namun, banyak juga hikmah dari sedikit keserabutan ini. Saya belajar untuk mengurus masa dengan lebih baik. Kemahiran memasak saya juga telah meningkat dengan banyak. Hubungan saya dan anak-anak juga bertambah mesra kerana banyak sentuhan ayahnya dalam menguruskan segalanya walaupun tidak sempurna.

Tanpa disangka-sangka juga, kertas cadangan PhD saya juga diterima hanya dengan sedikit cadangan dari penilai walaupun saya sedar, amat banyak kelemahan dalam penulisannya. Bajet juga diluluskan tanpa banyak soal. Segala puji bagi Allah yang mempermudahkan segala urusan.

Semoga isteri saya akan dikurniakan kesihatan yang baik dan dilepaskan dari rasa mualnya dengan segera. Semoga setiap kesakitannya akan menghapuskan dosa-dosa dan akan menjadi pemberat timbangan di akhirat sana.

Bukan Sekadar Mawar dan Cinta Semata

“Entahlah Abang Hisham, Azam rasa macam dah tawar hati nak meneruskan urusan Baitul Muslim. Semuanya tidak menjadi. Entah dimana silapnya.” Keluh Azam dengan wajah yang sugul. Saya mendengar dengan penuh simpati. Cuba menjadi pendengar setia.

“Tak mengapa Azam, kalau tak boleh cara A, cubalah cara B. Janganlah putus asa lagi. Insyaallah, akan ada jalannya.” Saya memujuk. Cuba mencari jalan keluar kepada kekusutan yang timbul dalam urusan Baitul Muslimnya kerana tentangan dari orang tuanya sendiri.

Ibu dan ayahnya tidak membenarkan Azam berkahwin dalam tempoh terdekat ini dan hanya memberi kebenaran untuknya mengucapkan “Aku Terima Nikahnya” pada usia 30 tahun. Apa sebabnya, saya sendiri tidak pasti.

“Dah macam-macam cara saya gunakan untuk pujuk ayah dan ibu, namun masih tak berjaya. Mungkin mereka tak mahu melihat saya bahagia agaknya.” Keluh Azam lagi, kali ini dia pergi lebih ‘jauh’.

“Astaghfirullah....Azam, tak baik cakap begitu. Tak ada ibu bapa yang inginkan kesengsaraan anaknya. Banyakkan bersangka baik dengan ibu bapa.” Saya menegur sambil menggelengkan kepala. Sejurusnya saya memulakan ‘khutbah’.

“Beginilah Azam, banyakkan berdoa agar Allah melembutkan hati kedua orang tua. Insyaallah, kalau kena caranya, keizinan pasti akan diberi. Mungkin orang tua Azam masih tak dapat lihat kematangan Azam untuk memimpin sebuah keluarga, mungkin sebab itu, mereka tidak membenarkan Azam berkahwin.”

“Balik nanti, tunjukkan kematangan pada orang tua. Ambil berat pada adik-adik dan saudara mara. Cuba untuk lebih ringan tulang dan banyakkan solat berjemaah di masjid.”

“Mungkin juga Azam boleh suarakan hasrat pada mana-mana Ayah Saudara yang Azam rasakan ibu bapa Azam cukup hormat. Minta mereka menjadi suara untuk menyuarakan kehendak Azam dengan cara yang paling baik. Tidak ada perkara yang tidak boleh dirunding dan diselesaikan. Banyakkan bersabar.”

 “Lepas kahwin nanti, lebih banyak ujian berat yang akan mendatangi. Jadi kalau sekarang pun Azam tidak dapat bersabar, Abang Hisham bimbang, nanti kalau ada ujian yang lebih berat yang memerlukan kita memuncakkan kesabaran hingga ke tahap yang tertinggi, Azzam akan gagal dalam ujian itu.”

“Orang yang dah berkahwin ni macam-macam ujiannya Azam. Rumahtangga bukan tempat untuk kita bersuka ria dan berehat-rehat sahaja, tetapi ia adalah medan untuk kita berbakti, medan untuk kita mengumpul pahala buat menambah bekal untuk dibawa ke akhirat sana.”

“Ada yang diuji dengan kesempitan wang, hingga ke tahap tidak mampu untuk menyara makan minum anak dan isteri dengan sempurna. Ada yang akan diuji dengan kegagalan untuk mendapatkan zuriat dan bagi yang mendapat zuriat pula, cabaran dalam mendidik dan membesarkan anak itu bukan satu cabaran kecil yang boleh kita pandang ringan.”

“Ada pula yang diuji dengan pelbagai karenah mertua, ibu bapa dan sanak saudara, ada pula yang diuji dengan mendapat pasangan yang sakit. Bukan sakit yang dipinta, tapi sakit mungkin akibat kemalangan dan ketentuan yang tidak dapat dielakkan.

“Kalau abang Hisham nak cerita, masalah dan cabaran orang yang berumahtangga ni, mungkin 2 malam pun tak akan habis, sebab terlalu banyak.”

“Cuma abang Hisham nampak, orang muda yang berani menyahut cabaran berumahtangga awal ini, Insyaallah akan lebih matang jika dia banyak bersabar dan mendepani cabaran itu dengan cara yang selayaknya.”

“Jadi Azam, masalah yang Azam sedang hadapi ini Abang Hisham akui memanglah ia menyakitkan, tapi ia hanya cabaran kecil dalam langkah Azam untuk membina rumahtangga. Anggaplah ia sebagai ujian dan latihan untuk Azam membina kesabaran bagi menghadapi cabaran yang lebih getir pada masa akan datang. Ok Azam ye.”

“Insyaallah, kita sama-sama doa, banyakkan solat, istighfar dan sedekah, mudah-mudahan ada jalan keluarnya nanti.” Saya menyudahkan nasihat kepada anak muda ini. Moga-moga dia akan lebih tenang dan lebih sabar dalam menghadapi sekelumit ujian dari lautan dugaan yang bakal dihadapinya nanti.

Rumahtangga bukan hanya mawar dan cinta sahaja, tapi ia juga adalah pada menukar lampin busuk di malam yang sejuk, menidurkan anak yang menangis tidak henti tika kelopak mata sendiri tidak mampu diangkat lagi, memasak lauk walau kepala penuh dengan keserabutan kerja, mengurus kain yang bertimbun dan menahan rasa pada rajuk dan amuk isteri dan anak yang sering melanda. Itulah rumahtangga wahai anak muda!

Tika Sahabatmu Sedang Menzalimi...

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud.

“Bantulah saudaramu yang dizalimi dan yang sedang menzalimi”


Maka para sahabat bertanya.

“ Kami akan membantu mereka yang sedang dizalimi, tapi bagaimana hendak membantu mereka yang sedang berbuat zalim?”

Maka Rasulullah menjawab.

“Cegahlah dia dari melakukan kezaliman. Itulah bantuan kamu kepadanya.”

Ketika bertemu atau kita tahu ada sahabat atau saudara kita yang sedang berhadapan dengan kesusahan samada dalam akademik, kewangan, kesihatan, urusan agama yang diabaikan mahupun dalam urusan rumahtangganya, maka kita ada beberapa pilihan untuk berhadapan dengannya.



1.     Lupakan sahaja kerana ia bukan masalah kita
2.     Menyalahkan sahabat itu atas kelemahan dirinya dan mengumpatnya habis-habisan.
3.     Bersimpati dan kemudian membiarkan sahaja sahabat kita itu menyelesaikan masalah dirinya selepas memberi satu nasihat.
4.     Menghulurkan tangan dan menunjukkan jalan untuk sahabat kita itu keluar dari masalah yang sedang dihadapinya.


Pilihan 1 adalah pilihan yang paling mudah, namun Islam mengajar kita untuk sentiasa prihatin terhadap masalah yang sedang berlaku terhadap umat. Apatah lagi yang berlaku di sekeliling kita. Jelas ia bukan satu pilihan.

Pilihan ke 2 adalah pilihan yang menyeronokkan syaitan kerana memberi ruang untuk kita menambah koleksi dosa. Mungkin kerana itulah ramai yang cenderung untuk memilih pilihan ini ketika melihat orang lain sedang berada dalam situasi sukar.

Kita mungkin pernah mendengar dialog-dialog seperti;

“Aku tak faham lah dengan dia, kenapa nak kena marah-marah, tahulah dia ada masalah dalam ‘study’, tapi orang lain pun ada masalah juga. Nampak sangat lembik dan kebudak-budakan. Patutnya dia kena matanglah.”

“Ikut sangat lembik isteri dia tu, sepatutnya dia kena tegaslah, bukan jadi penakut dan layan sangat kehendak isterinya.”

“Dia itu dulu kaki perempuan masa belajar di luar negara, tak sangka sampai sekarang masih lagi menimbulkan masalah di mana-mana. Patut dah tua ni, faham-fahamlah nak berubah.”

“Dia itu malas beriadhah, dan tak pernah kawal makanannya, sebab itu badannya jadi gemuk dan kena kencing manis pada usia muda. Entah siapa yang nak berkahwin dengannya. Sudahlah gemuk, sakit pula tu.”

Jelas dalam agama, ketika melihat saudara kita yang sedang berbuat zalim, samada menzalimi orang lain atau sedang menzalimi dirinya sendiri samada kerana kejahilan atau kealpaan dirinya, maka tanggungjawab kita sebagai muslim adalah untuk mencegahnya dari berbuat kezaliman, samada dengan memberi nasihat, teguran yang berhikmah ataupun bantuan lain secara fizikal yang mampu mencegahnya dari berlaku zalim. Jelas, pilihan ke 2 bukanlah kehendak dari agama.

Pilihan ke 3 pula menampakkan bahawa kita tidak bersungguh-sungguh untuk membantu. Cukup dengan memberi nasihat agar bersabar, kemudian kita membiarkan dirinya terumbang ambing hingga kadang-kadang membuatkan sahabat itu rasa tersisih.

Pilihan ke 4 adalah pilihan yang sukar kerana kadang-kadang akan turut menyebabkan kita terheret ke dalam masalah sahabat kita itu. Namun, mungkin dengan kita menjadi pendengar yang setia dengan sentiasa bertanya khabar dengan prihatin ataupun sentiasa kita senyum dan memberikannya respon yang positif tika dirinya sedang mengadu ataupun tika wajahnya masam dirundung duka, dengan izin Allah perlahan-lahan sahabat itu akan keluar dari kedukaan dan permasalahan yang sedang dihadapinya.

Kita di pilihan yang mana? Sama-sama kita muhasabah.

Memilih Calon : Antara Gedik dan Realistik

“Faiz nak cari calon yang macamana?” Saya bertanya sambil menghirup kopi yang masih panas. Tika suasana sejuk begini, setiap hirupan dirasakan cukup nikmat. Tambahan pula berbicara isu-isu tentang Baitul Muslim yang memerlukan fokus yang tinggi.

“Faiz sebenarnya taklah memilih sangat, tapi abang Hisham tengoklah senarai ini, mudah-mudahan ada yang punya ciri sepertinya. Kalau tidak semua pun, saya amat berharap 2/3 darinya dapat dipenuhi, kerana saya ingin melahirkan generasi yang bakal menyambung perjuangan Solahuddin.” Ujar Faiz dengan bersemangat sambil menghulurkan sekeping kertas berlipat kepada saya.

“Wah! Serius sungguh nampaknya!” Ujar saya, tapi hanya di dalam hati.

Saya menyambut kertas yang dihulurkan dan kemudian membukanya perlahan-lahan. Berkerut-kerut dahi saya membacanya.

1.     Berkulit putih.
2.     Punya lesung pipit.
3.     Bertudung labuh
4.     Berkaca mata
5.   Berasal dari Kelantan, kalau boleh dari jajahan Kota Bharu atau Pasir Mas sahaja (mak saya minta supaya menantunya boleh makan budu).
6.     Berketurunan melayu.
7.     Muda 2 tahun dari saya.
8.     Pandai memasak.
9.     Lemah lembut.
10 Punya sifat keibuan yang tinggi.
11  Pandai mengambil hati orang tua.
1   Menghafaz sekurang-kurangnya 15 juzu’ Al Quran.
1    Komited dalam dakwah.
1    Rajin bertahajjud.
1    Tidak lebih tinggi dari saya. Tinggi saya 1.63 cm sahaja.
1    Bertubuh sederhana, tidak terlalu kurus dan tidak terlalu gemuk.
1    Aktif bersukan.
1    Ramah tamah.
      Pandai memandu kereta.
2    Jangan anak sulung atau bongsu.
2    Sanggup untuk berhari raya pertama di kampung saya di Pengkalan Chepa.
2    Tidak ada sakit yang kronik, terutamanya sakit kulit.
2    Boleh juga bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.
2    Subur, kerana saya mahukan sekurang-kurangnya 6 orang anak dalam keluarga seperti Dr. Z.

Saya membaca senarai itu dengan mata yang berpinar-pinar, terasa seperti mahu tersembur air kopi yang sedang dihirup. Subhanallah, di mana harus saya cari bidadari seperti ini untuk menjadi pasangan hidupnya.

Sedaya upaya saya cuba mengawal diri, menahan tawa dan mengelakkan dari raut wajah saya berubah untuk tidak mengecilkan hatinya. Perasaan terasa bercampur baur antara lucu dan kasihan. Sungguh ‘hebat’ fantasi anak muda ‘dakwah’ ini dalam menentukan kriteria pemilihan pasangannya.

Saya menghabiskan kopi yang panas sebelum memulakan bicara. Ada sesuatu yang harus saya katakan padanya. Namun perlu berhalus agar tidak mengusik hatinya. Dalam berdepan isu begini, kadang-kadang ikhwah mudah terasa hati.

“Akhi, anta sekarang dah hafaz berapa juzu’?” Saya menukar sedikit topik perbualan.

“Errr...baru hafaz juz 30 dan 29, itupun masih ada yang tak berapa lancar.” Jelasnya jujur sambil tersengih menampakkan susunan giginya yang tidak sama.

“Macamana dengan kriteria yang saya bagi tu Abang Hisham, agak-agak ada tak akhawat yang seperti itu?” Tanya Faiz. Namun sekali lagi saya tidak menjawab soalannya dan bertanya lagi.

“Akhi, malam tadi anta solat tahajjud dan khatam 1 juzu’ bacaan Al Quran tak?

“Tak pula, letih sangat, malam tadi habis mesyuarat lambat sangat. Insyaallah malam ni kami ada program Qiam bersama mad’u junior. Insyaallah malam ni kami akan Qiam.”

Saya mendengar jawapannya dengan bersahaja, kemudian bertanya lagi.

“Akhi, semalam berapa kali anta solat berjemaah di masjid?

“Kenapa abang Hisham tanya soalan-soalan ni? Bukankah kita sedang berbincang tentang Baitul Muslim? Apa kena mengenanya? Balas Faiz dengan wajah yang sedikit berubah dan suara yang agak sedikit keras walaupun masih cuba dikawalnya. Jika kulitnya putih mungkin telah berubah menjadi kemerah-merahan tanda tidak puas hati. Tapi kulit sawo matang melayu Kelantan yang diwarisi menyebabkan hanya kerutan yang kelihatan sedikit di dahi.

Saya hanya tersenyum.

“Beginilah Faiz, apa yang Faiz tulis dalam kertas tu bagus, Cuma ia terlalu bagus. Abang Hisham yakin, dalam zaman sekarang ini, 10 bahkan 100 tahun mencari pun belum tentu Faiz akan berjumpa dengan calon seperti yang diinginkan jika semua kriteria tersebut harus dipenuhi.”

“Tidak ada eh?” balas Faiz penuh persoalan. Keningnya diangkat sedikit.

“Kalaupun ada, mungkin dia dah kahwin dengan juara Imam Muda musim kedua agaknya. Hahaa” Saya menjawab sambil ketawa kecil. Cuba menceriakan suasana. Dia juga kelihatan tersenyum.

“Abang Hisham tanya soalan-soalan tadi supaya Faiz tahu yang Faiz pun tak sempurna mana, jadi dalam mencari calon isteri ni, tak perlulah terlalu memilih itu dan ini, sebab kita pun bukan setaraf Imam Ghazali, dengan peserta Imam Muda yang terkeluar pada pusingan pertama pun belum tentu.” Jelas saya dengan bersahaja sambil merenung tepat ke wajahnya dan memberikan senyuman yang manis.

“Habis tu, bagaimana Abang Hisham?” Tanya Faiz, wajahnya kelihatan penuh ingin tahu.

“Beginilah, ....”

“Abang Hisham akan cuba tanyakan pada isteri, kalau-kalau ada calon yang sesuai. Insyaallah, kami akan cari calon yang terbaik untuk Faiz, tapi bukan yang sempurna. Kami akan cuba tengok kalau-kalau kriteria tersebut boleh dipenuhi, tapi untuk memenuhi 1/3 darinya pun hampir mustahil.”

“Anta kena ingat akhi, walaupun berada dalam sistem tarbiah dan usrah, tetapi akhawat itu tetap manusia dan tetap seorang wanita.” Saya menjelaskan.

“Ada yang rupanya cantik, tapi pengamalan agamanya mungkin agak kurang.”

“Ada pula yang rupanya agak sederhana dan hafazannya cuma 1 juz sahaja tapi komitmen dakwahnya baik.

“Lemah lembutnya mungkinlah tidak selembut Asyiela Putri pelakon Upin Ipin tu, tapi tidaklah pula sekeras dan se ‘brutal’ Kak Ros. Haha” saya menjelaskan lagi sambil tertawa. Kemudian saya menyambung bicara.

“Tentang memasak, usah dirisaukan, asalkan dia punya keinginan untuk belajar, Insyaallah beres semuanya. Kalau nak cari yang makan budu, orang Kelantan pun tak ramai yang makan budu. Isteri ana orang Pahang, tapi hantu budu juga. Dulu ana tak makan tempoyak, tapi lepas kahwin dengan orang Pahang, ana jadi hantu tempoyak.”

“Kemudian, tentang kesihatan, orang perempuan ni, ada masa dia sihat dan ada juga masa dia akan sakit, terutamanya bila mengandung.”

“Tentang menghormati orang tua dan sifat-sifat mahmudah yang lain, perkara itu boleh ditarbiah dan sebahagian dari tanggungjawab suami setelah berkahwin adalah untuk membimbing isterinya dengan sifat-sifat mulia, bukan mengharapkan cinta dari bidadari syurga yang serba sempurna.” Panjang saya ‘mengomel’.

“Tak mengapa Faiz, nanti abang Hisham akan carikan calon yang terbaik untuk Faiz dan semestinya kriteria yang akan abang Hisham cari adalah yang paling baik agamanya.

“Banyakkanlah berdoa agar kita dipertemukan dengan jodoh yang terbaik, bukan yang tercantik dan bukan yang sempurna segalanya dan lupa juga meminta agar Allah memudahkan segala urusan untuk membina masjid ini. Ok, Faiz?” Saya menepuk bahunya dengan mesra. Anak muda sepertinya banyak perlukan bimbingan. Bukan leteran yang akan menghancurkan perasaan.

Perbualan di atas mungkin hanya rekaan, tetapi ia adalah hasil dari pengalaman saya dan rakan-rakan dalam mengendalikan urusan Baitul Muslim para pemuda-pemudi dalam dan luar negara selama beberapa tahun. Ia kisah benar yang saya rangkumkan dalam satu perbualan. Mungkin agak ideal, tapi itu sebahagian dari reality ikhwah ketika mencari calon pasangan.

Dalam urusan memilih calon, harus diingat bahawa kita memilih calon di kalangan manusia, bukan malaikat atau bidadari syurga.

Bila pasangan itu namanya manusia, maka akan wujudlah kekurangan di sana dan di sini. Cuma satu pesanan yang ingin saya titipkan buat anak muda, pilihlah calon yang baik pengamalan dan penghayatan agamanya, Insyaallah, rumahtangga akan dipenuhi dengan kasih sayang dan keberkatan dari Allah.

Boleh sahaja kita memilih calon yang senegeri, yang sedap dipandang mata, punya sifat keibuan yang tinggi, pandai memasak dan sebagainya, tapi harus diingat, bahawa kriteria pertama yang harus dilihat adalah bagaimana penghayatan agamanya, dan sejauh mana dia mengiltizamkan diri untuk membaiki diri menjadi manusia yang lebih baik.

Jika penghayatan agamanya baik, maka berlapang dadalah sedikit jika calonnya dari negeri seberang atau selang dua buah negeri atau mungkin rupanya tidak secantik dan secomel Mia Sara. Tidak ada perkara yang tidak boleh dirunding dengan ibu bapa. Mereka hanya mahu yang terbaik untuk kita, rundinglah dengan baik dan penuh hikmah, Insyaallah, jalan keluarnya pasti ada jika kita ikhlas ingin membina rumahtangga. Tidak ada ibu bapa yang inginkan kesengsaraan anak-anaknya.

Tentang kecantikan pula, jika calon yang dipilih adalah kerana kecantikan wajahnya, maka ketahuilah bahawa selepas berkahwin, wajah yang cantik akan menjadi biasa selepas hari-hari dipandang mata dan syaitan akan menghias wanita-wanita lain yang bukan mahram agar kelihatan lebih cantik di pandangan mata kita.

Akhirnya, yang kekal hanyalah akhlaq dan pekerti yang mulia, juga keazaman untuk melahir dan membangunkan anak-anak singa pewaris Imaduddin, Nuruddin Zinki dan Solahuddin Al Ayyubi.

Usah terlalu gedik dalam memilih calon, tapi biarlah realistik.

Akhir sekali, apa yang paling penting adalah bermesyuaratlah dengan ibu bapa dan orang-orang baik yang dipercayai dan berpengalaman. Jangan lupa untuk beristikharah selepasnya agar segala keputusan mendapat panduan dari langit yang tertinggi. Insyaallah.