Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud.
“Bantulah saudaramu yang dizalimi dan yang sedang menzalimi”
Maka para sahabat bertanya.
“ Kami akan membantu mereka yang sedang dizalimi, tapi bagaimana hendak membantu mereka yang sedang berbuat zalim?”
Maka Rasulullah menjawab.
“Cegahlah dia dari melakukan kezaliman. Itulah bantuan kamu kepadanya.”
Ketika bertemu atau kita tahu ada sahabat atau saudara kita yang sedang berhadapan dengan kesusahan samada dalam akademik, kewangan, kesihatan, urusan agama yang diabaikan mahupun dalam urusan rumahtangganya, maka kita ada beberapa pilihan untuk berhadapan dengannya.
1. Lupakan sahaja kerana ia bukan masalah kita
2. Menyalahkan sahabat itu atas kelemahan dirinya dan mengumpatnya habis-habisan.
3. Bersimpati dan kemudian membiarkan sahaja sahabat kita itu menyelesaikan masalah dirinya selepas memberi satu nasihat.
4. Menghulurkan tangan dan menunjukkan jalan untuk sahabat kita itu keluar dari masalah yang sedang dihadapinya.
Pilihan 1 adalah pilihan yang paling mudah, namun Islam mengajar kita untuk sentiasa prihatin terhadap masalah yang sedang berlaku terhadap umat. Apatah lagi yang berlaku di sekeliling kita. Jelas ia bukan satu pilihan.
Pilihan ke 2 adalah pilihan yang menyeronokkan syaitan kerana memberi ruang untuk kita menambah koleksi dosa. Mungkin kerana itulah ramai yang cenderung untuk memilih pilihan ini ketika melihat orang lain sedang berada dalam situasi sukar.
Kita mungkin pernah mendengar dialog-dialog seperti;
“Aku tak faham lah dengan dia, kenapa nak kena marah-marah, tahulah dia ada masalah dalam ‘study’, tapi orang lain pun ada masalah juga. Nampak sangat lembik dan kebudak-budakan. Patutnya dia kena matanglah.”
“Ikut sangat lembik isteri dia tu, sepatutnya dia kena tegaslah, bukan jadi penakut dan layan sangat kehendak isterinya.”
“Dia itu dulu kaki perempuan masa belajar di luar negara, tak sangka sampai sekarang masih lagi menimbulkan masalah di mana-mana. Patut dah tua ni, faham-fahamlah nak berubah.”
“Dia itu malas beriadhah, dan tak pernah kawal makanannya, sebab itu badannya jadi gemuk dan kena kencing manis pada usia muda. Entah siapa yang nak berkahwin dengannya. Sudahlah gemuk, sakit pula tu.”
Jelas dalam agama, ketika melihat saudara kita yang sedang berbuat zalim, samada menzalimi orang lain atau sedang menzalimi dirinya sendiri samada kerana kejahilan atau kealpaan dirinya, maka tanggungjawab kita sebagai muslim adalah untuk mencegahnya dari berbuat kezaliman, samada dengan memberi nasihat, teguran yang berhikmah ataupun bantuan lain secara fizikal yang mampu mencegahnya dari berlaku zalim. Jelas, pilihan ke 2 bukanlah kehendak dari agama.
Pilihan ke 3 pula menampakkan bahawa kita tidak bersungguh-sungguh untuk membantu. Cukup dengan memberi nasihat agar bersabar, kemudian kita membiarkan dirinya terumbang ambing hingga kadang-kadang membuatkan sahabat itu rasa tersisih.
Pilihan ke 4 adalah pilihan yang sukar kerana kadang-kadang akan turut menyebabkan kita terheret ke dalam masalah sahabat kita itu. Namun, mungkin dengan kita menjadi pendengar yang setia dengan sentiasa bertanya khabar dengan prihatin ataupun sentiasa kita senyum dan memberikannya respon yang positif tika dirinya sedang mengadu ataupun tika wajahnya masam dirundung duka, dengan izin Allah perlahan-lahan sahabat itu akan keluar dari kedukaan dan permasalahan yang sedang dihadapinya.
Kita di pilihan yang mana? Sama-sama kita muhasabah.
No comments:
Post a Comment