Bukan Sekadar Mawar dan Cinta Semata

“Entahlah Abang Hisham, Azam rasa macam dah tawar hati nak meneruskan urusan Baitul Muslim. Semuanya tidak menjadi. Entah dimana silapnya.” Keluh Azam dengan wajah yang sugul. Saya mendengar dengan penuh simpati. Cuba menjadi pendengar setia.

“Tak mengapa Azam, kalau tak boleh cara A, cubalah cara B. Janganlah putus asa lagi. Insyaallah, akan ada jalannya.” Saya memujuk. Cuba mencari jalan keluar kepada kekusutan yang timbul dalam urusan Baitul Muslimnya kerana tentangan dari orang tuanya sendiri.

Ibu dan ayahnya tidak membenarkan Azam berkahwin dalam tempoh terdekat ini dan hanya memberi kebenaran untuknya mengucapkan “Aku Terima Nikahnya” pada usia 30 tahun. Apa sebabnya, saya sendiri tidak pasti.

“Dah macam-macam cara saya gunakan untuk pujuk ayah dan ibu, namun masih tak berjaya. Mungkin mereka tak mahu melihat saya bahagia agaknya.” Keluh Azam lagi, kali ini dia pergi lebih ‘jauh’.

“Astaghfirullah....Azam, tak baik cakap begitu. Tak ada ibu bapa yang inginkan kesengsaraan anaknya. Banyakkan bersangka baik dengan ibu bapa.” Saya menegur sambil menggelengkan kepala. Sejurusnya saya memulakan ‘khutbah’.

“Beginilah Azam, banyakkan berdoa agar Allah melembutkan hati kedua orang tua. Insyaallah, kalau kena caranya, keizinan pasti akan diberi. Mungkin orang tua Azam masih tak dapat lihat kematangan Azam untuk memimpin sebuah keluarga, mungkin sebab itu, mereka tidak membenarkan Azam berkahwin.”

“Balik nanti, tunjukkan kematangan pada orang tua. Ambil berat pada adik-adik dan saudara mara. Cuba untuk lebih ringan tulang dan banyakkan solat berjemaah di masjid.”

“Mungkin juga Azam boleh suarakan hasrat pada mana-mana Ayah Saudara yang Azam rasakan ibu bapa Azam cukup hormat. Minta mereka menjadi suara untuk menyuarakan kehendak Azam dengan cara yang paling baik. Tidak ada perkara yang tidak boleh dirunding dan diselesaikan. Banyakkan bersabar.”

 “Lepas kahwin nanti, lebih banyak ujian berat yang akan mendatangi. Jadi kalau sekarang pun Azam tidak dapat bersabar, Abang Hisham bimbang, nanti kalau ada ujian yang lebih berat yang memerlukan kita memuncakkan kesabaran hingga ke tahap yang tertinggi, Azzam akan gagal dalam ujian itu.”

“Orang yang dah berkahwin ni macam-macam ujiannya Azam. Rumahtangga bukan tempat untuk kita bersuka ria dan berehat-rehat sahaja, tetapi ia adalah medan untuk kita berbakti, medan untuk kita mengumpul pahala buat menambah bekal untuk dibawa ke akhirat sana.”

“Ada yang diuji dengan kesempitan wang, hingga ke tahap tidak mampu untuk menyara makan minum anak dan isteri dengan sempurna. Ada yang akan diuji dengan kegagalan untuk mendapatkan zuriat dan bagi yang mendapat zuriat pula, cabaran dalam mendidik dan membesarkan anak itu bukan satu cabaran kecil yang boleh kita pandang ringan.”

“Ada pula yang diuji dengan pelbagai karenah mertua, ibu bapa dan sanak saudara, ada pula yang diuji dengan mendapat pasangan yang sakit. Bukan sakit yang dipinta, tapi sakit mungkin akibat kemalangan dan ketentuan yang tidak dapat dielakkan.

“Kalau abang Hisham nak cerita, masalah dan cabaran orang yang berumahtangga ni, mungkin 2 malam pun tak akan habis, sebab terlalu banyak.”

“Cuma abang Hisham nampak, orang muda yang berani menyahut cabaran berumahtangga awal ini, Insyaallah akan lebih matang jika dia banyak bersabar dan mendepani cabaran itu dengan cara yang selayaknya.”

“Jadi Azam, masalah yang Azam sedang hadapi ini Abang Hisham akui memanglah ia menyakitkan, tapi ia hanya cabaran kecil dalam langkah Azam untuk membina rumahtangga. Anggaplah ia sebagai ujian dan latihan untuk Azam membina kesabaran bagi menghadapi cabaran yang lebih getir pada masa akan datang. Ok Azam ye.”

“Insyaallah, kita sama-sama doa, banyakkan solat, istighfar dan sedekah, mudah-mudahan ada jalan keluarnya nanti.” Saya menyudahkan nasihat kepada anak muda ini. Moga-moga dia akan lebih tenang dan lebih sabar dalam menghadapi sekelumit ujian dari lautan dugaan yang bakal dihadapinya nanti.

Rumahtangga bukan hanya mawar dan cinta sahaja, tapi ia juga adalah pada menukar lampin busuk di malam yang sejuk, menidurkan anak yang menangis tidak henti tika kelopak mata sendiri tidak mampu diangkat lagi, memasak lauk walau kepala penuh dengan keserabutan kerja, mengurus kain yang bertimbun dan menahan rasa pada rajuk dan amuk isteri dan anak yang sering melanda. Itulah rumahtangga wahai anak muda!

3 comments:

  1. i got married when i was 22 and i say it was late bcz i was old. setuju? heheh

    ReplyDelete
  2. mencedok idea untuk dikongsi bersama..salam ukhwah...

    ReplyDelete