Hitam Putih Kelabu ESQ


Apa yang baik untuk kita belum tentu baik untuk orang lain, dan apa yang baik untuk orang lain belum tentu baik untuk kita. Justeru itu, selagi mana sesuatu perkara itu tidak melanggar batas-batas hukum Allah, maka berlapang dadalah sesama kita, kerana perbezaan pendapat itu adalah suatu rahmat jika ia berlaku dalam suasana penuh adab dan kasih sayang tanpa campuran hasad, ujub dan dendam.

Itulah kesimpulan yang dapat saya buat setelah beberapa hari berbalas hujah bersama teman-teman yang mengikuti kursus ESQ 165 yang diwajibkan kepada hampir separuh dari staf UUM Jumaat dan Sabtu lepas. Saya adalah antara yang terpilih dari 1647 orang peserta dalam kursus ESQ Perdana ini.

Sebelum ke kursus ini, banyak respon yang saya dengar, ada yang memuji dan tidak kurang juga yang mengeji. Apatah lagi perlaksanaannya di Malaysia di selubungi kontroversi pengharaman oleh 2 buah negeri (Wilayah Persekutuan dan Perlis). Namun ulasan UZAR dan sokongan sahibus samahah bekas mufti Kedah iaitu Sheikh Hasbullah, Mufti Pulau Pinang dan Mufti Perak sedikit sebanyak meredakan gundah dihati saya.

Memasuki dewan pada pagi Jumaat, saya memasukinya dengan perasaan yang bercampur baur, namun tetap juga saya gagahkan diri untuk mendengar. Namun sejurus dewan digelapkan, saya mula merasa kurang senang, apatah lagi seawal sesi pertama lagi moderator dari Indonesia itu telah bermain dengan emosi peserta dengan iringan muzik yang mengegarkan jantung dan suara tempikan keras diikuti oleh tangisan yang saya sendiri tidak pasti apakah asli atau sekadar lakonan.

Saya cuba bersangka baik, mungkin ini hanya untuk sesi yang pertama dan cuba juga saya menghayati kebesaran Allah yang dibawakan melalui penceritaan Teori Big Bang yang dikaitkan dengan ayat Al Quran yang menyatakan bahawa langit dan bumi dahulunya adalah sesuatu yang padu. Namun iringan muzik kuat dan jeritan keras terus membuatkan saya berasa amat tidak selesa.

Masuk ke sesi kedua seusai solat Jumaat, perkara yang sama diulang lagi, dilontarkan satu ayat al-quran diikuti oleh iringan muzik dan jeritan keras oleh moderator yang cuba mengalunkan emosi peserta dengan tangisan. Apatah lagi apabila moderator membuat tarian burung yang saya cukup musykil apakah motifnya. Salah seorang  saudara baru yang berada mengatakan bahawa tarian burung itu cukup sinonim dengan apa yang berlaku dalam gereja ketika dia masih kristian. Allahua’lam, saya tidak berani mengomentari.

Lebih sedih apabila salah seorang orang bukan Islam yang turut ‘dipaksa’ untuk berada dalam kursus tersebut berkata.

“What the hell is this!”

Khuatir juga jika dia mendapat gambaran yang salah tentang Islam melalui program ini. Mungkin terlintas di benaknya, 

"Apakah  begini kaedah untuk bertaubat dalam Islam?"

Sampai satu tahap, saya tidak tertahan lagi dan terus saya keluar dewan kerana fitrah diri saya tidak dapat menerima manhaj kesedaran dan perubahan diri dengan cara yang sebegitu. Boleh dikatakan manhaj yang sama digunakan oleh moderator dalam setiap sesi dan pada setiap sesi itu jugalah saya terpaksa keluar dewan awal dek kerana keserabutan perasaan dan perasaan ini dirasai oleh ramai lagi yang menggeleng-geleng kepala ketika keluar dari dewan.

Sesi yang terakhir, saya dan rakan cuba untuk menghayati, kami duduk di barisan paling hadapan dan cuba untuk melakukan setiap aktiviti dengan penuh fokus, namun saat muzik keras dan jeritan-jeritan oleh moderator bermula diikuti oleh tangisan-tangisan peserta yang di dendangkan kepada semua peserta, saya mengangkat bendera putih. Ketika ini saya membuat kesimpulan bahawa ESQ bukan untuk saya.

Seperkara lagi, sujud syukur pada akhir sesi dalam keadaan ramai yang mengejek-ejek dan berbelah bagi, amat tidak sesuai untuk dilakukan. Dikhuatiri ia akan menjejaskan nilai ibadah bahkan lebih buruk membawa peserta secara tidak sedar untuk mempermain-mainkannya.

Saya tidak ingin memberi komen tentang kesahihan isinya kerana biarlah mereka yang lebih ahli memberi pendapat mereka. Tulisan ini hanyalah pendapat peribadi saya tentang ESQ.

Tidak dapat dinafikan bahawa program ESQ ini banyak juga memberi kesedaran kepada ramai orang seperti yang dapat dibaca dalam rantaian e-mail UUM (tidak kurang juga yang tidak menyukainya) juga perbincangan hangat dalam dua status saya berkenaan dengan program tersebut di facebook.

Buat mereka yang memperoleh hidayah melalui ESQ ini, ucapkanlah pujian-pujian dan rundukkanlah hatimu kepada tuhan melalui jalan menuntut ilmu dari ulama’ pewaris nabi susulilah ilmu itu dengan amal-amal soleh yang ikhlas dan istiqamah. Tidak cukup hanya dengan kesedaran kerana kesedaran tanpa disusuli oleh tindakan hanya akan menjadi sia-sia.

Namun bagi mereka yang tidak menyukainya, usahlah keterlaluan dalam mengutuk dan mengeji, apatah lagi jika ia dilakukan dalam keadaan penuh emosi. Mungkin ada jalan-jalan lain yang lebih sesuai untuk kita beroleh kesedaran, jangan angkuh dan jangan sesekali berasa ujub dengan ilmu yang kita ada.

Walaupun berbeza pendapat, janganlah hingga menjejaskan kasih sayang antara kita sesama muslim. Apa yang lebih penting, sama-samalah kita berpimpinan tangan dalam menuju jalan keredhaan tuhan.

Dalam ESQ, ada hitam, putih dan kelabu. Namun apa yang pasti jalan yang saya lalui akan berbeza jalannya dengan ESQ. Bagi saya, hidayah itu tidak dapat saya terima dengan manhaj taghyir 'The ESQ way'.

Siri Tadabbur Kalimah Allah: Al Mujadalah Ayat 1-3

Segala pujian bagi Allah, pemilik sekalian alam dan penguasa hari pembalasan. Selawat dan salam atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W serta para keluarga dan sahabat baginda yang mulia.



Siri tadabbur ayat ini adalah hasil pemahaman saya terhadap kuliah tafsir yang saya hadiri di Surau Taman Tunku Sarina dan disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Faisol Bin Mat Isa. Tujuan saya menulis siri tadabbur ini pertamanya untuk menyampaikan mutiara-mutiara berharga yang saya kutip dalam kuliah tersebut pada anda semua dan pada masa yang sama cuba untuk meningkatkan lagi kefahaman saya tentang ayat-ayat yang telah saya pelajari. Bukankah dengan berkongsi itu akan menjadikan kita lebih memahami?

Saya tidak akan membincangkan apatah lagi mentafsirkan sisi teknikal seperti Asbab Nuzul, permasalahan hukum atau tatabahasa Al Quran yang memerlukan kepada penguasaan displin ilmu yang pelbagai, yang mana saya bukanlah ahlinya, tetapi penulisan ini lebih kepada penghayatan (tadabbur) hati terhadap kalimah-kalimah Al Quran yang mulia.  

Saya juga tidak akan membincangkan kesemua ayat-ayat dalam surah yang saya diskusikan, tetapi hanya beberapa ayat terpilih yang saya rasakan cukup mendalam maksud dan pengajarannya untuk kita renungi bersama.

Jika ada salah dan silap mohon ditegur dan dibetulkan oleh mereka yang lebih berilmu.

Siri ini akan dimulakan dengan perbincangan Ayat 1 dari surah Al Mujadalah, iaitu surah pertama dari Juzu’ 28.
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قَدۡ سَمِعَ ٱللَّهُ قَوۡلَ ٱلَّتِى تُجَـٰدِلُكَ فِى زَوۡجِهَا وَتَشۡتَكِىٓ إِلَى ٱللَّهِ وَٱللَّهُ يَسۡمَعُ تَحَاوُرَكُمَآ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعُۢ بَصِيرٌ (١)


“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang memajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [1]

Surah Al Mujadalah ini dimulakan dengan satu jidal (berbalas pendapat, tapi tidaklah tahapnya hingga membawa pertengkaran) yang berlaku antara Rasulullah dan seorang sahabiah iaitu Khaulah Binti Tha’labah yang mengadukan perihal dirinya yang telah berdepan dengan masalah Zhihar dengan suaminya iaitu Aus Bin Shamit.
Kisah panjang ini boleh dirujuk dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad yang saya baca (juga diceritakan oleh Ustaz Fisol dalam pengenalan) dari Tafsir Al Azhar karangan Pak Hamka (Jilid 9, muka 7205).

Dalam hadis ini, diceritakan secara terperinci dialog antara Khaulah dan Rasulullah setelah dirinya di zhihar oleh suaminya yang telah lanjut usia iaitu Aus Bin Shamit. Pada mulanya Rasulullah menyatakan kepada Khaulah bahawa dia tidak boleh lagi bersama dengan suaminya akibat kalimah Zhihar itu. Khaulah yang tidak berpuas hati kemudiannya terus bertanya kepada Rasulullah, namun jawapannya tetap sama. Setelah beberapa kali Rasulullah memberikan jawapan yang sama, Khaulah akhirnya menadahkan tangannya ke langit dan berdoa dengan penuh harap agar Allah memberikan keputusan terhadap permasalahan yang sedang dihadapinya itu.

Tidak berapa lama setelah itu, Allah memperkenankan doa Khaulah dan turunlah ayat surah Al Mujadalah (1-4) yang membicarakan persoalan zhihar dan penyelesaiannya.

Walaupun ayat ini diturunkan untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi dalam rumahtangga Khaulah dan Aus, namun pengajarannya adalah pengajaran umum kepada seluruh kaum muslimin.

Apa yang boleh kita hayati dari ayat pertama ini adalah betapa besarnya pemerhatian Allah terhadap urusan rumahtangga kaum muslimin. Dalam ayat 1 ini sahaja, 3 kali Allah menyatakan bahawa dia mendengar akan apa yang sedang dibicarakan oleh Rasulullah dan Khaulah.

Bayangkan perbualan yang berlaku hanya antara Rasulullah dan Khaulah yang hanya di dengari sebahagiannya oleh Saidatina Aisyah yang ketika itu berada di dapur (juga diriwayatkan dalam sebuah hadis lain, Ustaz Fisol tidak pula menyatakan riwayatnya) di dengari dengan amat teliti oleh Allah dan Allah telah menurunkan penyelesaiannya pada ketika itu juga (semasa Khaulah masih berada di rumah Rasulullah).

Masyaallah, jika Allah dapat mendengar perbualan antara Rasulullah dan Khaulah dalam satu sesi kaunseling rumahtangga yang amat eksklusif, apakah Allah tidak mengetahui setiap apa yang terjadi dalam rumahtangga kita, setiap perbualan yang kita bualkan bersama dengan isteri kita di dapur mahupun di atas katil ketika hendak tidur. Setiap tindak tanduk kita kecil atau besar semuanya dalam pengetahuan Allah, malahan Allah maha mendengar setiap lintasan yang berada dalam hati kita.

Ayat ini juga memberi petunjuk bahawa setiap masalah yang berlaku dalam rumahtangga kaum muslimin, Allah amat prihatin dan telah menyediakan penyelesaiannya melalui petunjuk agama samada melalui Al Quran atau lidah rasulnya yang mulia.

Teladan yang ditunjukkan oleh Khaulah juga amat penting untuk dicontohi oleh para muslimah, iaitu bagaimana dia bersikap berani dan proaktif untuk berhadapan dengan Rasulullah dan walaupun menerima respon yang pada mulanya agak mengecewakan dirinya, langsung Khaulah mengadukan permasalahannya secara terus kepada Allah, pemilik sekalian alam dengan penuh ikhlas dan penuh pengharapan.

Dan tiada doa dari hambanya yang tidak didengar oleh Allah, seketika itu juga Allah menurunkan jawapan kepada permasalahan rumahtangga Khaulah dan namanya kekal harum sepanjang zaman sebagai antara muslimah yang beruntung menjadi penyebab kepada turunnya wahyu kepada Rasulullah.

Oleh itu, amat penting sekali bagi kita jika berdepan dengan ombak badai dalam rumahtangga, petunjuk agama harus menjadi panduan utama. Jika jalan lain yang dicari, maka ketika itu akan berantakanlah segalanya.

Sungguh Allah itu maha teliti terhadap segala urusan hamba-hambanya.






Nanti Tayar Kena Api!

Titian Sirat pasti lebih halus dari tali kabel ini....mampukah kita melepasinya dengan sejahtera?


“Kenapa kita kena lalu atas jambatan ayah?”


Terkeluar soalan dari bibir Humaira’ memecah kesunyian di dalam kereta saat kami sedang berada di atas jambatan Pulau Pinang. Hari yang indah itu, saya membawa isteri dan anak-anak menelusuri perjalanan sekitar Pulau Pinang bermula dengan perjalanan menaiki Feri di Terminal Butterworth kemudian ke Batu Maung dan pulang semula ke tanah seberang dengan menaiki Jambatan Pulau Pinang yang penuh kenangan itu.

“Humaira’ rasa kenapa?” Saya melontarkan kembali soalan itu kepadanya untuk menguji maksud sebenar soalannya tadi.


“Tak tahu lah, kenapa ayah?” jujur dia menjawab, dan biasanya jika dia menjawab dengan nada yang wajah sebegitu maka soalannya adalah ikhlas dan kebarangkalian tiada maksud yang tersembunyi untuk menarik perhatian kami adalah tinggi.


“Hmmm...begini, boleh tak Humaira’ berjalan atas air dekat kolam renang?” Saya tidak mahu terus menjawab soalan itu dengan kaedah suapan, tapi cuba menjawabnya dengan kaedah analitikal agar otaknya juga ligat berfikir.

“Tak boleh...” ringkas sahaja dia menjawab.

“Apa akan jadi kalau Humaira jalan juga?” Saya bertanya lagi.

“Tenggelamlah nanti!” kali ini dengan nada lebih tegas.

“Ok, kalau tiada jambatan, kereta semuanya akan lalu atas air, boleh ke?” saya menyambung soalan dan kali ini membawanya lebih hampir kepada jawapan.

“Emm....tak bolehlah” kepalanya digelengkan perlahan.

“Kenapa tak boleh pula?” saya cuba memprovokasi.

“Nanti tenggelam lah semuanya!” Hah! Nampaknya dia telah memahami mengapa jambatan harus ada jika dibawahnya ada lautan atau sungai.

“Haa, sebab itulah kena ada jambatan, kalau tidak macamana kereta nak lalu, nanti tenggelam”  

Walaupun saya boleh memberi jawapan dengan mudah, tapi saya tidak mahu membiasakannya dengan cara sebegitu, agar dia dapat belajar proses qias, pemerhatian dan pemikiran untuk mencari jawapan kepada persoalan.

Cuma saya merasakan kisah tentang jambatan pasti lebih bermakna jika ditambah perisa hari kebangkitan di dalamnya dan kisah Jambatan Sirat menjadi pilihan saya hari ini. Lagi pula saya tidak pernah menceritakan tentang Titian Sirat kepadanya sebelum ini.

“Humaira’ nak dengar cerita tentang satu jambatan yang ada di akhirat?” saya mempelawa cerita. Dalam suasana sebegini, saya juga akan hilang mengantuk. Isteri saya mendengar dan memerhati penuh minat sambil memegang erat Khadijah yang sedang menyusu.

“Nak-nak!”

“Dekat akhirat kan, ada satu jambatan, nama dia Titian Sirat” saya memulakan kisah.

“Jambatan ni kan, dia keciiiiikkk sangat!”

“Kecik macam ni ke ayah?” ketika ini, Humaira’ cuba membuat gaya jambatan kecil dengan kedua tangannya.

“Bukan, kecik lagi...”

“Macam ni ke?” gambarannya makin lama makin mengecil hingga akhirnya dia menggayakannya dengan jari kelingking.

“Bukan, lagiiii kecik...sebenarnya dia lebih kecik dari rambut kita”

“Aaaaaaa, macam mana nak jalan atas tu?” Humaira’ bertanya penuh hairan.

“Jambatan tu, dia akan hubungkan antara Padang Mahsyar dengan syurga” saya tidak menjawab persoalannya, sebaliknya terus menyambung kisah kerana soalannya akan terjawab seketika nanti.

“Kat bawah jambatan tu, bukan ada laut, tapi ada api neraka yang panaaaaasss sangat! Ada juga ular, lipan dan serangga yang akan suka gigit orang.”

“Tapi ayah, macamana nak jalan atas dia?” dia mengulangi soalan, mungkin bertentangan dengan logik akal jambatan yang ada dalam fikirannya.

“Oh, nak lalu atas dia, bukan macam jambatan atas dunia ni Humaira’”

“Orang yang paling baik, akan lalu jambatan tu dengan sangat laju, siap boleh terbang lagi”

“Kemudian orang yang sederhana baik, akan lalu jambatan tu berlari-lari”

“Kalau orang yang baik biasa pula, dia akan jalan je, dan kalau orang yang baik dia sikit-sikit, dia kena merangkak atas jambatan tu”

“Tapi, orang yang jahat, dia akan lalu dan kemudian dia akan jatuh ke dalam api neraka tu, kemudian ular akan gigit dia.”

“Haa, sekarang Humaira’ pilih samada nak terbang, nak lari, nak jalan atau nak merangkak atas jambatan tu?”

“Hmmm, kalau Humaira’ nak naik basikal boleh tak?” Alamak, ke situ pula jawapannya.

“Errr...boleh kot” saya teragak-agak menjawab.

“Eh! Jap-jap, tak jadilah naik basikal”

“Laa, kenapa pula?” saya dan isteri tertanya-tanya.

“Nanti tayar dia kena api, habis nanti Humaira’ jatuh” selamba sahaja dia memberi jawapan.

“Adeh!” tidak tertahan letusan ketawa kami berdua.

Ya Allah, jadikanlah anak-anak kami penyejuk mata dalam kehidupan kami.


Sementara Mereka Masih Ada


Setiap kali mendengar berita kawan-kawan yang kehilangan ibu bapa, hati saya terasa sayu dan pilu. Teringat pada ayah dan ibu yang tinggal berjauhan, namun apakan daya, bukan melupakan jasa apatah lagi untuk menderhaka namun tuntutan kerja dan kehidupan memaksa saya tinggal berjauhan dari mereka.

Apatah lagi setiap kali berbual dengan mereka di corong telefon, mereka mengadu tentang tubuh yang kian lemah dan penyakit-penyakit yang mula menjengah. Kadang-kadang saat itu juga terasa ingin terbang pulang dan memandang wajah mereka dengan penuh kasih sayang.

Ohh, alangkah baiknya kalau pintu suka hati Doraemon itu ada.

Saya yakin, perasaan gundah yang saya alami ini bukan hanya milik saya seorang, dalam suasana dunia hari ini, jutaan lagi manusia mungkin berkongsi dilemma yang sama. Namun sebagai seorang anak, apa yang mampu saya lakukan adalah mendoakan mereka agar diberi kesihatan yang baik dan agar mereka sentiasa dibawah jagaan Allah seperti mana mereka menjaga saya ketika saya masih kecil.

Seperkara lagi, peruntukkanlah sebahagian dari wang gaji yang kita dapat setiap bulan dan hulurkanlah kepada mereka. Usah berkira untuk membantu ibu bapa terutamanya dalam urusan harta. Tidak akan miskin harta dengan kita membantu ibu bapa, bahkan ia akan berkembang subur dari jalan yang tidak tersangka. Percayalah!

Berbaktilah dan berbuat baiklah, sementara mereka masih lagi ada.

Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa:"Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri". Al Ahqaaf : 15

Berwajah Baru!

Salam buat semua pembaca,

Semenjak dua menjak ini jarang benar saya mengungkapkan rasa dan berkongsi cerita di sini, sibuk? entahlah rasanya ramai yang jauuuuuuh lebih sibuk dari saya tapi masih mampu berkongsi dan mendidik dengan cara yang tersendiri.

Malas? Futur (Lemah perasaan)? Hmmm...mungkin juga,...

Jadi untuk membina semangat baru agar saya sendiri terus bersemangat dan agar pembaca semuanya (eceh, macam ramai je, perasan la hang ni) mendapat nafas baru dari perkongsian-perkongsian saya di sini, saya menukar template agar ianya lebih malar segar. Tema baru ini lebih kurang warna dan lebih simple, namun harapnya lebih mesra dan lebih mudah dan menarik untuk dibaca.

Sampaikan walau satu ayat, itu yang terus menjadi motivasi saya untuk terus berkongsi dan agar jika saya tidak berada di alam dunia ini lagi, harapan saya blog ini akan terus kekal menjadi sumber pahala yang akan memberi keamanan buat saya tika di alam barzakh, juga sebagai kenangan dan warisan untuk anak cucu nanti.

Bukan harta dunia yang saya ingin wariskan pada anak-anak generasi akan datang, tapi ilmu yang bermanfaat setakat mana yang Allah beri kepada saya dan izinkan untuk saya berkongsi dengan anda semua.

Semoga kita semua terus diberi kekuatan dan mendapat curahan rahmat dari Allah.

Hisham Sharif
Jitra, Kedah