Rindu Padamu

“Malam ini Humaira’ nak dengar cerita apa?” saya bertanya saat menemaninya ketika dia hendak tidur. Saat-saat begini adalah waktu terbaik untuk menanamkan benih-benih keimanan dalam jiwa anak-anak, kerana kisah yang baik-baik yang diceritakan kepada mereka sebelum mereka tidur akan kekal dalam minda bawah sedar mereka.

“Emm, nak dengar cerita tentang Nabi Musa.” Dia menyatakan hasrat.
“Ala, asyik kisah Nabi Musa sahaja, cerita lainlah.” Saya menyatakan ketidak setujuan kerana sebelum ini kisah itu telah banyak kali saya ceritakan padanya.
“Emm, nak dengar cerita Nabi Sulaiman dengan burung Hud Hud lah.” Kali ini kisah Nabi Sulaiman dan burung Hud Hud yang berdakwah kepada Ratu Balqis pula menjadi pilihannya. Kisah menarik tentang burung Hud Hud yang menampilkan fikrah pendakwah dan kehebatan kerajaan Nabi Sulaiman yang menguasai bukan sahaja dari kalangan manusia, tetapi juga alam binatang, jin dan syaitan.
“Cerita tu pun dah banyak kali ayah cerita, cerita lain lah ye.” sekali lagi saya tidak bersetuju dengan pilihannya, bukan sahaja kerana kisah telah banyak kali saya ceritakan dan bukan juga bukan kerana kisah itu tidak menarik jalan ceritanya, tapi kerana kisah itu agak panjang dan memakan masa yang agak lama untuk diceritakan. Malam-malam begini, ketika kepala saya sendiri pun telah mula terasa berat, dikhuatiri akhirnya tukang cerita pun akan tidur sebelum habis ceritanya.
“Humaira’ nak dengar tak kisah tentang Rasulullah?” saya mencadangkan, memandangkan dalam sirah Rasulullah, banyak segmen-segmen kisah yang menarik dan sebelum ini amat jarang saya ceritakan kepadanya kisah-kisah dalam perjalanan hidup Rasulullah. Malam ini saya bercadang untuk menceritakan kepadanya kisah Rasulullah dan jirannya iaitu seorang wanita berbangsa Yahudi.
“Nak!” Dalam kegelapan malam dan suram-suram cahaya lampu tidur dia mengangguk kepalanya.
 “Dahulu, Rasulullah ada seorang jiran wanita yang jahat. Setiap hari wanita ini akan campakkan sampah di hadapan rumah Rasulullah.” Saya memulakan cerita.
“Walaupun begitu, Rasulullah tetap sabar dan senyum sahaja setiap hari, tapi wanita itu tetap tak mahu senyum pada Rasulullah, masam sahaja mukanya dan ada ketikanya dia marah-marah pada Rasulullah dengan kata-kata yang kurang baik.” Saya mencemikkan muka, menunjukkan wajah yang masam. Cuba mengajuk masamnya muka wanita Yahudi yang diceritakan dalam sebuah hadis dan menjadi salah sebuah teladan indah yang dilakonkan semula oleh Maher Zain dalam klip videonya “The Chosen One”.
“Setiap hari wanita tu campakkan sampah dan marah Rasulullah, tapi Rasulullah tak pernah jemu untuk senyum dan tegur wanita itu dengan baik.”
“Satu hari, Rasulullah keluar rumah dan Rasulullah lihat wanita itu tidak keluar dari rumahnya. Rasulullah rasa hairan sebab biasanya wanita itu samada dia akan mencampakkan sampah atau dia akan marah-marah pada Rasulullah, tapi hari ini tiada pula dia.”
“Kalau ayah, mungkin ayah akan rasa lega sebab perempuan jahat tu dah tiada, ataupun mungkin ayah akan buang sampah balik di depan rumah dia pula. Tapi Rasulullah bukan begitu.”
“Rasulullah rasa bimbang dan kemudian pergi ziarah pula wanita yang jahat tadi untuk tanya khabarnya.”
“Wanita tadi terkejut bila tengok Rasulullah datang dan tak marah-marah pun walau selama ini dia selalu buat jahat pada Rasulullah. Kemudian wanita tadi minta maaf pada Rasulullah dan akhirnya dia masuk Islam. Habis selalu cerita.”
“Haa, begitulah cerita Rasulullah, hebat dan baik tak Rasulullah?” saya mengakhiri kisah. Soalan yang saya tanyakan tidak terjawab. Hanya kepalanya diangguk-anggukkan. Bola matanya juga telah semakin kecil. Melihat keadaannya yang telah sangat mengantuk, saya menyambung dengan pengajaran dari cerita, moga akan kekal dalam mindanya.
“Sebab itulah kita kena sayang pada Rasulullah, sebab Rasulullah baik sangat dan Rasulullah sayang pada kita semua. Humaira’ tahu tak, Rasulullah selalu doakan kita.”
“Bila kita sayang Rasulullah, kita kena jadi orang Islam yang baik dan rajin selawat macam yang ayah ajarkan Humaira’. Jom kita selawat sebelum tidur.”
“Allahummasalli ‘ala Muhammad”
“Bismikallahummaahya wa amut....”
Mutiara Untuk Ibu Bapa
Anak-anak harus diajar untuk megenal dan mencintai Rasulullah sejak dari awal lagi. Sentiasalah ceritakan kepada mereka akan akhlak-akhlak Rasulullah yang mulia agar terbit dalam hati mereka rasa cinta dan rindu pada nabi. Biasakan lidah mereka dengan selawat kepada nabi. Untuk itu, kita sebagai ibu bapa harus berusaha untuk sering membaca dan memahami banyak untaian-untaian kisah yang indah dari keharuman sirah baginda yang mulia.


Assalamualaika Ya Ahlil Qubur…

“Humaira’ ikut ayah baca ye, kita baca sama-sama”

“Assalamualaika” saya memulakan,

“Assalamualaika” dan dia mengikuti

“Ya Ahlil Qubur”

“Ya Ahlil Qubur”

Kami membaca doa itu bersama-sama ketika melintasi tanah perkuburan berhampiran tempat parkir pasar Jitra. Pagi itu, saya mengajaknya bersama-sama ke pasar untuk mencari lauk basah dan sarapan pagi. Ketibaan kami yang agak lewat ke kawasan pasar menyebabkan kami terpaksa mencari tempat parkir kereta yang agak jauh dan kebetulan tempat saya meletakkan kereta berhampiran dengan sebidang tanah perkuburan kecil.

“Wa inna insya allah lahiqun” saya mengakhiri doa tersebut diikuti dengan bacaannya yang telah agak lancar. Setiap kali melintasi kawasan perkuburan pasti saya tidak akan lupa untuk mengajaknya sama-sama mengucapkan salam terhadap ahli kubur dan mendoakan kesejahteraan mereka. Masih saya teringat ketika kali pertama Humaira’ bertanya tentang kematian dan persoalan-persoalannya, berpeluh juga hendak menjawabnya. Ketika itu kami baru melepasi sebuah kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah motorsikal dan sebuah kereta, kelihatan mayat seorang penunggang motorsikal terlantar dijalanan dibalut dengan kain hitam, sementara menunggu ketibaan ambulans, pihak polis kelihatan mengambil gambar dan mengawal keadaan lalu lintas.

Humaira’ dapat melihat senario itu dengan jelas melalui tingkap kereta kerana semua kenderaan bergerak dengan amat perlahan.

“Kenapa dengan orang tu ayah, kenapa ditutup dengan plastik hitam?” dia bertanya, sedang kepalanya masih berada di tepi tingkap, menjenguk-jenguk suasana.

“Errr...Emmm...dia kemalangan, dan dia dah mati” saya teragak-agak menjawab.

“Kenapa dia mati ayah?” dia bertanya lagi.

“Sebab dia kemalangan, dan badan dia luka teruk sangat agaknya” saya menjelaskan logik mudah, walaupun pada hakikatnya ramai juga manusia yang mati walaupun tanpa seinci luka.

“Ayah, lepas ni orang tu kena masuk kubur ke ayah?” Jujur dia bertanya. Kereta kami ketika ini telah melepasi kawasan kemalangan.

Terkejut juga saya dengan pertanyaannya, sebelum ini tidak pernah pula saya menceritakan tentang kematian dan perkuburan kepadanya, mungkin hasil dari pemerhatiannya sendiri agaknya.

“Iye sayang.” Ringkas saya menjawab, fikiran saya sebenarnya masih terganggu melihat kemalangan tadi.

“Ayah, kenapa orang mati kena masuk dalam kubur?” terkesima seketika saya mendengar soalannya. Harus saya fikirkan jawapan terbaik untuk menjawab bagi mengelak dari memberi kefahaman yang salah ataupun menimbulkan ketakutan padanya tatkala berbicara tentang kematian. Kematian adalah satu destinasi pasti yang seharusnya menjadi motivasi, bukan ilusi yang akan hanya membuat wajah menjadi pucat lesi.

“Humaira, sampai satu hari nanti, semua manusia akan mati, tak kira siapa dan tak kira masa” saya memulakan penerangan.

“Ayah, Humaira’ tak nak mati, Humaira takut ayah.” Mungkin melihat kengerian kematian tadi membuatkan dia trauma tentang mati. Tidak mustahil kerana saya juga masih mempunyai trauma tersebut kerana ketika kecil tidak didedahkan dengan hakikat sebenar kematian.

“Begini Humaira’, suka atau tidak suka, takut atau berani kita akan mati juga. Selepas kita mati, kita akan masuk dalam kubur, dan dalam kubur malaikat akan datang dan tanya tentang apa yang kita buat semasa kita hidup.”

“Malaikat itu, namanya Munkar dan Nakir, kedua-dua malaikat ini akan senyum dan layan kita baik-baik jika semasa di dunia kita ini adalah orang yang baik, rajin solat, dengar cakap ayah dan ibu, rajin baca Quran, rajin belajar, kongsi barang dengan adik, suka tolong ayah dan ibu juga tolong cikgu dan kawan-kawan. Kubur kita juga kalau kita baik, Allah akan besarkan dan pasangkan lampu, kemudian Allah akan letakkan TV besar untuk kita tengok rancangan syurga. Best tak?” Saya memberikan khabar gembira buatnya dan motivasi agar balasan baik selepas kematian itu akan menjadi penghambat untuk dia menjadi insan yang lebih berbakti.

“Best-Best!” wajahnya kelihatan ceria.

“Tapi, kalau di dunia ini kita selalu buat jahat, bangun lambat dan tak solat subuh, degil dan tak dengar kata, kemudian malas baca buku dan selalu lawan cikgu, buang sampah merata-rata, buat jahat dengan adik dan kawan-kawan, Allah akan sempitkan kubur kita. Kemudian malaikat Munkar dan Nakir akan datang dan rotan kita dengan kayu besar. Kubur kita pun gelap dan Allah akan biarkan kita panas dalam kubur. Takut tak?” Balasan bagi mereka yang ingkar kemudiannya saya ceritakan, tapi dalam versi kanak-kanak yang lebih mudah dihadam fikiran.

“Takutnya!, Ayah, Humaira’ tak nak jadi jahat, esok ayah kejut Humaira’ solat subuh ye.” Wajahnya yang ceria tadi, bertukar mendung.

“Insyaallah. Emm, Humaira’, kita kena selalu berdoa pada Allah, agar Allah jadikan kita orang yang baik dan soleh, kemudian minta juga pada Allah agar Allah jauhkan kita dari rotan malaikat Munkar dan Nakir dalam kubur.”

“Baik, ayah, nanti ayah ajar ye doa tu.” Wajahnya kelihatan penuh pengharapan.

“Insyaallah, Ok, jom kita baca sama-sama, Humaira ikut ayah ye.”

“Allahummainni” saya membaca salah satu doa mohon perlindungan dari azab kubur yang mudah dan ma’thur, terdapat dalam himpunan al Ma’thurat dan kemudian diikuti oleh Humaira’.

“A’udzubika min azabil qabri” saya menyudahkan doa dalam bahasa arab dan kemudian saya membacakan maknanya pula.

“Ya Allah, jauhkanlah kami dari azab kubur”

“Amin” kami sama-sama mengaminkan doa. Dalam hati saya bersyukur kerana hari ini saya diberi peringatan tentang kematian. Moga tazkirah ini akan menjadikan saya lebih bermotivasi untuk menyemai taqwa dalam diri dan untuk memelihara ahli keluarga saya dari menjadi bahan bakar api neraka.

Mutiara Untuk Ibu Bapa

Hakikat kematian adalah antara perkara yang sering ditanya oleh anak-anak dan sebagai ibu bapa kita tidak harus mengelak atau merasa takut untuk menjelaskan tentang kematian kepada anak-anak yang masih kecil, kerana kematian akan hadir tidak kira masa dan usia. Menjelaskan tentang kematian, tidak harus menjadikan mereka manusia yang pengecut dan takut kepadanya. Jelaskanlah kepada mereka akan balasan baik selepas kematian kepada mereka yang rajin berbakti agar anak-anak akan termotivasi untuk menjadi manusia yang baik dan jangan lupakan juga penjelasan tentang balasan buruk buat mereka yang ingkar perintah tuhan. Penting juga untuk menjelaskan kepada anak-anak bahawa kematian seseorang bukanlah balasan kerana dia adalah seorang yang jahat, tetapi ceritakan kepada mereka bahawa tidak kira baik atau jahat, semua makhluk termasuk kucing, lembu, kura-kura, itik dan ayam semuanya akan mati, dan selepas matilah baru seseorang itu akan dihisab atas segala amal perbuatannya ketika di dunia.

Mengapa Air Laut Masin

Merenung jauh ke hadapan, mengilhamkan harapan untuk kita

“Humaira’ ingat lagi tak masa Humaira’ tanya ayah kenapa air laut masin?” Tanya saya pada suatu petang ketika kami sedang berada di dapur menikmati hidangan goreng pisang dan teh tarik.

“Ingat-ingat, ayah dah tahu ke macamana, ayah dah baca buku ke?”

***

Soalan mengenai mengapa air laut masin ditanyanya pada saya minggu lepas ketika kami bercuti di Marang, Terengganu. Ketika sedang mandi laut, acap kali juga air laut termasuk dalam mulutnya sehingga menyebabkan lidahnya merasai rasa masin yang bersangatan dan ketika itu juga timbul persoalan pada benak pemikirannya bagaimana air laut boleh menjadi masin.

“Erk! Masinnya! Ayah, kenapa air laut ni masin sangat?” Dia bertanya saat air laut masuk ke mulutnya.

“Hehe, masin kan, sebab dalam laut ni banyak garam.” Saya menjawab, sambil sekali sekala saya merendamkan kepala ke dalam air laut yang jernih.

“Oh!, tapi macamana garam ni boleh ada dalam laut pula?” Soalannya seperti biasa bersambungan.

“Eh, ke situ pula soalannya, saya sendiri tidak pernah mengetahui atau memikirkan tentangnya” Getus saya sendiri dalam hati.

“Ermmm, ayah tak tahu lah Humaira’, nanti ayah baca buku ye.” Biasanya jika tidak tahu jawapan kepada sesuatu persoalan, jujur saya akan menjawab tidak tahu dan kemudian akan memberitahunya saya akan membaca buku bagi mendapatkan jawapannya agar dia tahu membaca itu akan menambah ilmu.

Pulang ke rumah, saya hampir terlupa mengenainya sehinggalah pada suatu hari telur goreng dadar yang dimasak oleh isteri terlebih masinnya kerana tanpa pengetahuannya sebelum telur itu digoreng, Humaira’ secara senyap-senyap telah meletakkan garam dalam kuantiti yang agak banyak pada telur mentah yang telah dikacau dan menanti untuk digoreng.

Setelah hari itu, saya mula membuat rujukan di internet dan merujuk ensiklopedia untuk mengetahui punca kemasinan air laut dan saya mendapat tahu bahawa garam yang banyak berada dilaut adalah bawaan dari sungai di mana mineral yang terhakis pada batuan akibat aliran air sungai dan hujan yang turun akhirnya dilambakkan di laut dan bertukar menjadi garam. Proses pemeluwapan lautan juga pada masa yang sama meningkatkan kadar kemasinan laut apabila air yang tersejat meninggalkan garam mineral tertinggal di lautan. Namun untuk menerangkannya kepada Humaira’, tidaklah semudah memahaminya.

***

“Ye, ayah dah baca buku, ayah dah tahu dah”

Saya kemudiannya bangun dari meja dan mengambil mangkuk kecil di atas rak pinggan dan straw bersaiz besar yang sebelumnya telah saya gunting di bahagian tengah agar ia menjadi seperti longkang. Kemudian saya mengambil bekas garam dan mengajak Humaira’ ke sinki dapur. Dia berdiri di atas kerusi menanti demonstrasi.

“Ayah nak buat apa tu?” Dia bertanya kehairanan.

“Ha, inilah ayah nak ajar Humaira’ macamana air laut boleh jadi masin. Humaira’ tengok ye.”

“Begini Humaira’, katalah mangkuk ini air laut.” Saya memulakan penjelasan dengan menerangkan objek-objek dan perwakilannya pada alam yang saya akan gunakan dalam demonstrasi mudah ini. Saya meletakkan sedikit air di dalam mangkuk itu.

“Kemudian straw ni pula, katalah ianya sungai dan air dari paip pula, ialah air sungai.” Saya kemudian mengambil garam yang telah diletakkan berhampiran dan memberikan kepadanya.

“Sekarang Humaira’ letakkan garam ke atas straw ni, letak banyak sikit tau.” Saya memberikan arahan.

Dia kemudiannya menaburkan garam ke atas straw, kemudian saya membuka paip dengan perlahan dan mengalirkan aliran air di dalam straw ke dalam mangkuk yang tersedia.

“Sekarang Humaira’ tengok, aliran air ni akan membawa garam masuk ke dalam “laut”, dan sekarang cuba Humaira’ rasa air “laut” ni, masin ke tidak?”

“Masin-masin.” Sambil jarinya dua tiga kali dicelup di dalam mangkuk dan kemudian diletakkan ke lidahnya.

“Haaa, begitulah air laut boleh jadi masin, sebab garam yang berada di sungai, air bawak ia ke laut.” Saya memberikan analogi mudah mineral-mineral dari batuan yang dialirkan melalui sungai dan dilambakkan ke laut menyebabkan laut menjadi masin. Mungkin secara saintifiknya, demonstrasi mudah yang saya implementasikan ini tidak tepat, tapi saya hanya ingin memberi asas kefahaman dan mengajarnya bahawa sains alam sebenarnya adalah sesuatu yang mudah dan menyeronokkan.

“Setiap hari air sungai akan bawa garam ke laut dan sebab itulah air laut sangat masin.” Saya menyudahkan demonstrasi dengan menutup paip air.

“Tapi ayah, macamana pula garam ni boleh ada dalam sungai?” Logik juga soalan yang ditanyakannya.

“Garam ni, memang Allah jadikan pada batu-batu sungai, kemudian bila air sungai lalu, dia akan kikis garam ni sikit-sikit dan bawa ia ke laut.”

Saya mengambil sepotong serpihan tulang ayam kecil yang masih tertinggal di dalam sinki kemudian meletakkannya di dalam straw. Saya taburkan sedikit garam di atasnya kemudian saya buka kembali paip air dan mengalirkan airnya melalui straw. Tulang itu saya tahan dengan jari agar ia tidak jatuh ke “laut”.

“Ok, sekarang katalah, tulang ayam ni, batu yang ada garam. Bila air lalu, dia akan bawa garam dari batu masuk ke dalam laut.”

Kali ini kelihatan aliran air itu menghakis garam yang berada di atas “batu” dan mengalirkannya ke “laut”.

“Sekarang, Humaira’ faham?” Saya menguji.

“Ok, faham dah” cerah wajahnya dengan senyuman, secerah mentari petang yang bersinar indah diselimuti awan-awan kecil.

Kemudian saya menambah

“Humaira’, air sungai, air laut dan air hujan semuanya Allah jadikan. Air sungai Allah jadikan tawar supaya kita boleh minum airnya, kemudian air laut pula Allah jadikan masin supaya ikan-ikan yang tinggal dalam laut boleh hidup dan air hujan Allah jadikan supaya pokok-pokok semua boleh tumbuh dan agar bila cuaca panas, kita akan rasa sejuk sedikit. Hebat tak Allah?”

“Hebat!” dengan bersemangat sekali dia menjawabnya.

Mutiara Untuk Ibu Bapa

Jika anak-anak bertanyakan soalan yang kita tidak ketahui akan jawapannya, jujurlah berkata tidak tahu, usahlah mereka-reka jawapan yang sebenarnya tidak menepati fakta sebenar. Anak-anak tidak suka kita berbohong pada mereka. Beritahulah kepada mereka bahawa kita tidak tahu dan akan mencari jawapannya kemudian nanti. Setelah mengkaji dan mengetahui jawapan kepada persoalan kompleks yang mereka tanyakan, mudahkanlah penerangannya dengan demonstrasi-demonstrasi mudah yang mampu dilakukan bersama untuk menyemai minat dan kecintaan mereka kepada ilmu pengetahuan melalui jalan yang menyeronokkan.

Bila Sakit, Allah Sembuhkan

Malam itu malam yang penuh keributan. Hujan lebat dengan kilat sekali-sekala berdentum diluar sana menambahkan lagi kecelaruan suasana. Adik Khadijah yang meraung entah kenapa, Humaira’ yang merengek-rengek kerana demam yang masih belum kebah dan rumah yang bagaikan tongkang pecah sungguh menyesakkan suasana.

“Abang sahajalah bawa Humaira’ ke klinik, dah semakin panas badan dia ni” Isteri saya memberikan saranan, wajahnya penuh tekanan sambil mengendong adik Khadijah yang masih meraung-raung, kembong perut agaknya. Sejak petang tadi, memang Humaira’ tidak seperti biasa, ajakan kawan-kawan untuk bermain pun tidak diendahkannya, dia hanya terbaring diatas sofa dengan wajah yang suram. Menjelang Maghrib, selepas makan dia muntah di atas sofa dan badannya mulai panas. Sudah agak lama dia tidak sakit sebegini.

“Baiklah, tapi biar abang pergi solat Isya’ sebentar. Lepas tu” kebetulan azan Isya’ telah berkumandang dari surau.

Pulang dari solat Isya’, Humaira’ telah tertidur diatas sofa, sementara isteri saya juga tidak kelihatan, mungkin berada diatas menyapu minyak telon ke perut Khadijah kemudian menidurkannya. Hujan diluar juga sudah semakin reda, mujurlah. Saya mengangkat Humaira’ dalam keadaannya yang masih lena dan meletakkannya di kerusi hadapan sebelah pemandu kemudian menurunkannya sedikit bagi membolehkan dia berada dalam keadaan yang lebih selesa. Jam di kereta menunjukkan 915 malam, saya menuju terus ke klinik 24 jam di Kedah Medical Center kerana klinik-klinik lain sekitar Jitra hampir ditutup pada waktu ini.

Tiba di klinik, mujurlah tidak ramai yang menunggu, saya mendaftarkan nama kemudian menunggu giliran dipanggil. Humaira’ yang telah jaga, masih kelihatan lesu, keletihan selepas muntah agaknya.

Tidak berapa lama selepas itu, namanya dipanggil.

“Nganga mulut, aaaaaaaaaa” doktor India separuh umur itu melakukan pemeriksaan. Saya berdiri disebelahnya sambil Humaira’ duduk di kerusi bersebelahan meja doktor.

Humaira’ menganga mulutnya dengan luas, dan doktor itu menyuluh menggunakan lampu suluh kecil.

“Oh! Encik, tonsilnya bengkak dan merah sangat, mungkin kerana jangkitan kuman agaknya” Doktor itu menjelaskan. Saya hanya mengangguk. Setelah itu dia mencapai pula stetoskop dan memeriksa pernafasan.

“Tarik nafas”

“Lepas”

“Tarik sekali lagi”

“Lepas”

Doktor itu memberikan arahan. Humaira’ mengikut sahaja, dadanya berombak-ombak menghembus dan melepaskan nafas.

“Kahak ok” dia berkata sendiri.

Kemudian dia meletakkan stetoskop dan mencapai pula termometer kemudian meletakkannya di telinga Humaira’.

“39 darjah Celsius, panas sangat ni, kena masuk ubat punggung” dia memberikan cadangan.

“Buatlah apa yang perlu doktor” melihat keadaan Humaira’ sebegitu, saya menerima sahaja cadangan tanpa sebarang persoalan.

“Misi, masuk ubat punggung pada budak ini ye” doktor itu memberikan arahan kepada jururawat berbaju biru yang hanya menunggu sejak tadi sambil doktor itu mencatat sesuatu pada kad memberikan preskripsi ubat.

“Encik, saya bagi ubat demam dan antibiotik, boleh ambil di farmasi, kemudian Encik masuk bilik rawatan di sebelah, nanti misi akan masuk ubat punggung.”

“Baik, terima kasih doktor” saya menyalaminya.

“Humaira’, salam doktor, ucapkan terima kasih padanya” lemah sahaja tangannya dihulurkan.

“Adik makan ubat ye, minum air masak banyak-banyak tau” Doktor itu memberikan pesanan. Humaira’ mengangguk lemah. Kemudian saya memimpin tangannya menuruti misi menuju ke bilik rawatan bersebelahan.

***

Wajahnya kelihatan sedikit ceria semasa menunggu di farmasi, ubat punggung itu cukup pantas kesannya bagi meredakan demam. Mulutnya yang ibarat terkunci sejak tadi, mula berfungsi.

“Ayah, kenapa kita demam?” soalannya bermula. Mencabar juga soalannya, untuk menjawabnya, saya cuba mengingati fakta yang pernah saya baca dalam web harunyahya.com berkenaan dengan bagaimana sistem pertahanan badan berfungi.

“Kita demam bila ada kuman yang masuk dalam badan.” Ringkas saya menjawab, namun sebelum sempat dia menjawab, terbit satu lagi soalan.

“Kuman tu apa ayah?”

“Kuman tu adalah satu makhluk kecil yang kita tak nampak, dia akan masuk melalui hidung, telinga atau mulut kita. Kuman ni ada yang baik dan ada yang jahat, bila kuman yang jahat masuk kita akan jadi sakit sebab dia akan kacau badan kita.”

Saya menjelaskan, kemudian cepat-cepat saya menyambung sebelum dia menyampuk dengan soalan lain.

“Bila kuman jahat masuk, badan kita akan lawan dia, masa badan kita nak lawan, dia akan suruh kita rehat dengan bagi kita rasa demam dan tak larat, supaya ayah tahu yang ada kuman jahat dah masuk dalam badan Humaira’. Juga supaya Humaira’ tak pergi bermain dan melompat sana sini, kena berehat dan minum air masak banyak-banyak”

“Ooooo, ayah, kenapa bila demam kita kena makan ubat?” soalannya datang lagi, kali ini berkaitan dengan ubat pula. Bagus juga soalannya, membuatkan saya turut berfikir.

“Hmmm, ubat tu akan bantu badan kita untuk lawan kuman, sebab tu kena makan ubat bila sakit.”

“Cumanya Humaira’, bila kita makan ubat, bukan ubat tu yang sembuhkan kita, tapi Allah yang sembuhkan kita, Humaira kena faham tu, penting sangat” kemudian saya memberikan pengajaran tauhid yang paling penting kepadanya iaitu mengimani Allah sebagai penyembuh segala kesakitan bukannya ubat-ubatan yang memberikan kesihatan.

“Humaira’ Binti Mohd Hisham” kedengaran namanya dipanggil. Saya bingkas bangun dari kerusi untuk mengambil ubat yang dipreskripsikan oleh doktor di kaunter farmasi.

Berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan ubat adalah ikhtiar, namun tawakkal kita seharusnya hanya kepada pemilik tubuh kita, iaitulah Allah yang maha esa.

Mutiara Untuk Ibu Bapa

Apabila kanak-kanak mengalami demam dan muntah-muntah, ia tidak harus dipandang ringan. Ibu bapa harus segera membawanya ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan bagi mendapatkan rawatan. Namun begitu, anak-anak yang telah mula boleh berfikir harus diterapkan kefahaman bahawa bukan ubat-ubatan itu yang menyembuhkannya, tapi Allahlah yang menyembuhkan. Khuatir jika kefahaman ini tidak diterapkan, kebergantungannya ketika sakit adalah kepada ubat, bukan kepada Allah. Ubat itu ikhtiar tapi tawakkal seharusnya kepada Allah.