Mengapa Air Laut Masin

Merenung jauh ke hadapan, mengilhamkan harapan untuk kita

“Humaira’ ingat lagi tak masa Humaira’ tanya ayah kenapa air laut masin?” Tanya saya pada suatu petang ketika kami sedang berada di dapur menikmati hidangan goreng pisang dan teh tarik.

“Ingat-ingat, ayah dah tahu ke macamana, ayah dah baca buku ke?”

***

Soalan mengenai mengapa air laut masin ditanyanya pada saya minggu lepas ketika kami bercuti di Marang, Terengganu. Ketika sedang mandi laut, acap kali juga air laut termasuk dalam mulutnya sehingga menyebabkan lidahnya merasai rasa masin yang bersangatan dan ketika itu juga timbul persoalan pada benak pemikirannya bagaimana air laut boleh menjadi masin.

“Erk! Masinnya! Ayah, kenapa air laut ni masin sangat?” Dia bertanya saat air laut masuk ke mulutnya.

“Hehe, masin kan, sebab dalam laut ni banyak garam.” Saya menjawab, sambil sekali sekala saya merendamkan kepala ke dalam air laut yang jernih.

“Oh!, tapi macamana garam ni boleh ada dalam laut pula?” Soalannya seperti biasa bersambungan.

“Eh, ke situ pula soalannya, saya sendiri tidak pernah mengetahui atau memikirkan tentangnya” Getus saya sendiri dalam hati.

“Ermmm, ayah tak tahu lah Humaira’, nanti ayah baca buku ye.” Biasanya jika tidak tahu jawapan kepada sesuatu persoalan, jujur saya akan menjawab tidak tahu dan kemudian akan memberitahunya saya akan membaca buku bagi mendapatkan jawapannya agar dia tahu membaca itu akan menambah ilmu.

Pulang ke rumah, saya hampir terlupa mengenainya sehinggalah pada suatu hari telur goreng dadar yang dimasak oleh isteri terlebih masinnya kerana tanpa pengetahuannya sebelum telur itu digoreng, Humaira’ secara senyap-senyap telah meletakkan garam dalam kuantiti yang agak banyak pada telur mentah yang telah dikacau dan menanti untuk digoreng.

Setelah hari itu, saya mula membuat rujukan di internet dan merujuk ensiklopedia untuk mengetahui punca kemasinan air laut dan saya mendapat tahu bahawa garam yang banyak berada dilaut adalah bawaan dari sungai di mana mineral yang terhakis pada batuan akibat aliran air sungai dan hujan yang turun akhirnya dilambakkan di laut dan bertukar menjadi garam. Proses pemeluwapan lautan juga pada masa yang sama meningkatkan kadar kemasinan laut apabila air yang tersejat meninggalkan garam mineral tertinggal di lautan. Namun untuk menerangkannya kepada Humaira’, tidaklah semudah memahaminya.

***

“Ye, ayah dah baca buku, ayah dah tahu dah”

Saya kemudiannya bangun dari meja dan mengambil mangkuk kecil di atas rak pinggan dan straw bersaiz besar yang sebelumnya telah saya gunting di bahagian tengah agar ia menjadi seperti longkang. Kemudian saya mengambil bekas garam dan mengajak Humaira’ ke sinki dapur. Dia berdiri di atas kerusi menanti demonstrasi.

“Ayah nak buat apa tu?” Dia bertanya kehairanan.

“Ha, inilah ayah nak ajar Humaira’ macamana air laut boleh jadi masin. Humaira’ tengok ye.”

“Begini Humaira’, katalah mangkuk ini air laut.” Saya memulakan penjelasan dengan menerangkan objek-objek dan perwakilannya pada alam yang saya akan gunakan dalam demonstrasi mudah ini. Saya meletakkan sedikit air di dalam mangkuk itu.

“Kemudian straw ni pula, katalah ianya sungai dan air dari paip pula, ialah air sungai.” Saya kemudian mengambil garam yang telah diletakkan berhampiran dan memberikan kepadanya.

“Sekarang Humaira’ letakkan garam ke atas straw ni, letak banyak sikit tau.” Saya memberikan arahan.

Dia kemudiannya menaburkan garam ke atas straw, kemudian saya membuka paip dengan perlahan dan mengalirkan aliran air di dalam straw ke dalam mangkuk yang tersedia.

“Sekarang Humaira’ tengok, aliran air ni akan membawa garam masuk ke dalam “laut”, dan sekarang cuba Humaira’ rasa air “laut” ni, masin ke tidak?”

“Masin-masin.” Sambil jarinya dua tiga kali dicelup di dalam mangkuk dan kemudian diletakkan ke lidahnya.

“Haaa, begitulah air laut boleh jadi masin, sebab garam yang berada di sungai, air bawak ia ke laut.” Saya memberikan analogi mudah mineral-mineral dari batuan yang dialirkan melalui sungai dan dilambakkan ke laut menyebabkan laut menjadi masin. Mungkin secara saintifiknya, demonstrasi mudah yang saya implementasikan ini tidak tepat, tapi saya hanya ingin memberi asas kefahaman dan mengajarnya bahawa sains alam sebenarnya adalah sesuatu yang mudah dan menyeronokkan.

“Setiap hari air sungai akan bawa garam ke laut dan sebab itulah air laut sangat masin.” Saya menyudahkan demonstrasi dengan menutup paip air.

“Tapi ayah, macamana pula garam ni boleh ada dalam sungai?” Logik juga soalan yang ditanyakannya.

“Garam ni, memang Allah jadikan pada batu-batu sungai, kemudian bila air sungai lalu, dia akan kikis garam ni sikit-sikit dan bawa ia ke laut.”

Saya mengambil sepotong serpihan tulang ayam kecil yang masih tertinggal di dalam sinki kemudian meletakkannya di dalam straw. Saya taburkan sedikit garam di atasnya kemudian saya buka kembali paip air dan mengalirkan airnya melalui straw. Tulang itu saya tahan dengan jari agar ia tidak jatuh ke “laut”.

“Ok, sekarang katalah, tulang ayam ni, batu yang ada garam. Bila air lalu, dia akan bawa garam dari batu masuk ke dalam laut.”

Kali ini kelihatan aliran air itu menghakis garam yang berada di atas “batu” dan mengalirkannya ke “laut”.

“Sekarang, Humaira’ faham?” Saya menguji.

“Ok, faham dah” cerah wajahnya dengan senyuman, secerah mentari petang yang bersinar indah diselimuti awan-awan kecil.

Kemudian saya menambah

“Humaira’, air sungai, air laut dan air hujan semuanya Allah jadikan. Air sungai Allah jadikan tawar supaya kita boleh minum airnya, kemudian air laut pula Allah jadikan masin supaya ikan-ikan yang tinggal dalam laut boleh hidup dan air hujan Allah jadikan supaya pokok-pokok semua boleh tumbuh dan agar bila cuaca panas, kita akan rasa sejuk sedikit. Hebat tak Allah?”

“Hebat!” dengan bersemangat sekali dia menjawabnya.

Mutiara Untuk Ibu Bapa

Jika anak-anak bertanyakan soalan yang kita tidak ketahui akan jawapannya, jujurlah berkata tidak tahu, usahlah mereka-reka jawapan yang sebenarnya tidak menepati fakta sebenar. Anak-anak tidak suka kita berbohong pada mereka. Beritahulah kepada mereka bahawa kita tidak tahu dan akan mencari jawapannya kemudian nanti. Setelah mengkaji dan mengetahui jawapan kepada persoalan kompleks yang mereka tanyakan, mudahkanlah penerangannya dengan demonstrasi-demonstrasi mudah yang mampu dilakukan bersama untuk menyemai minat dan kecintaan mereka kepada ilmu pengetahuan melalui jalan yang menyeronokkan.

3 comments:

  1. Salam ziarah akhi...

    Enta kena bukukan ni.. 1001 celoteh ayah.. hehe..

    Teringat kat Safiyyah di rumah nuu.. Allah....

    Selamat terus mentarbiyyah!
    A.K
    O.U

    ReplyDelete
  2. Salam,
    Abu Khairah, Jazakallah atas kunjungan, besar hati ana dapat kunjungan dari orang Oxford ni..hehe. Insyaallah segala kisah ni akan dibukukan dan akan terbit tidak lama lagi. Moga ada kebaikan yang banyak darinya.

    ReplyDelete