Assalamualaika Ya Ahlil Qubur…

“Humaira’ ikut ayah baca ye, kita baca sama-sama”

“Assalamualaika” saya memulakan,

“Assalamualaika” dan dia mengikuti

“Ya Ahlil Qubur”

“Ya Ahlil Qubur”

Kami membaca doa itu bersama-sama ketika melintasi tanah perkuburan berhampiran tempat parkir pasar Jitra. Pagi itu, saya mengajaknya bersama-sama ke pasar untuk mencari lauk basah dan sarapan pagi. Ketibaan kami yang agak lewat ke kawasan pasar menyebabkan kami terpaksa mencari tempat parkir kereta yang agak jauh dan kebetulan tempat saya meletakkan kereta berhampiran dengan sebidang tanah perkuburan kecil.

“Wa inna insya allah lahiqun” saya mengakhiri doa tersebut diikuti dengan bacaannya yang telah agak lancar. Setiap kali melintasi kawasan perkuburan pasti saya tidak akan lupa untuk mengajaknya sama-sama mengucapkan salam terhadap ahli kubur dan mendoakan kesejahteraan mereka. Masih saya teringat ketika kali pertama Humaira’ bertanya tentang kematian dan persoalan-persoalannya, berpeluh juga hendak menjawabnya. Ketika itu kami baru melepasi sebuah kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah motorsikal dan sebuah kereta, kelihatan mayat seorang penunggang motorsikal terlantar dijalanan dibalut dengan kain hitam, sementara menunggu ketibaan ambulans, pihak polis kelihatan mengambil gambar dan mengawal keadaan lalu lintas.

Humaira’ dapat melihat senario itu dengan jelas melalui tingkap kereta kerana semua kenderaan bergerak dengan amat perlahan.

“Kenapa dengan orang tu ayah, kenapa ditutup dengan plastik hitam?” dia bertanya, sedang kepalanya masih berada di tepi tingkap, menjenguk-jenguk suasana.

“Errr...Emmm...dia kemalangan, dan dia dah mati” saya teragak-agak menjawab.

“Kenapa dia mati ayah?” dia bertanya lagi.

“Sebab dia kemalangan, dan badan dia luka teruk sangat agaknya” saya menjelaskan logik mudah, walaupun pada hakikatnya ramai juga manusia yang mati walaupun tanpa seinci luka.

“Ayah, lepas ni orang tu kena masuk kubur ke ayah?” Jujur dia bertanya. Kereta kami ketika ini telah melepasi kawasan kemalangan.

Terkejut juga saya dengan pertanyaannya, sebelum ini tidak pernah pula saya menceritakan tentang kematian dan perkuburan kepadanya, mungkin hasil dari pemerhatiannya sendiri agaknya.

“Iye sayang.” Ringkas saya menjawab, fikiran saya sebenarnya masih terganggu melihat kemalangan tadi.

“Ayah, kenapa orang mati kena masuk dalam kubur?” terkesima seketika saya mendengar soalannya. Harus saya fikirkan jawapan terbaik untuk menjawab bagi mengelak dari memberi kefahaman yang salah ataupun menimbulkan ketakutan padanya tatkala berbicara tentang kematian. Kematian adalah satu destinasi pasti yang seharusnya menjadi motivasi, bukan ilusi yang akan hanya membuat wajah menjadi pucat lesi.

“Humaira, sampai satu hari nanti, semua manusia akan mati, tak kira siapa dan tak kira masa” saya memulakan penerangan.

“Ayah, Humaira’ tak nak mati, Humaira takut ayah.” Mungkin melihat kengerian kematian tadi membuatkan dia trauma tentang mati. Tidak mustahil kerana saya juga masih mempunyai trauma tersebut kerana ketika kecil tidak didedahkan dengan hakikat sebenar kematian.

“Begini Humaira’, suka atau tidak suka, takut atau berani kita akan mati juga. Selepas kita mati, kita akan masuk dalam kubur, dan dalam kubur malaikat akan datang dan tanya tentang apa yang kita buat semasa kita hidup.”

“Malaikat itu, namanya Munkar dan Nakir, kedua-dua malaikat ini akan senyum dan layan kita baik-baik jika semasa di dunia kita ini adalah orang yang baik, rajin solat, dengar cakap ayah dan ibu, rajin baca Quran, rajin belajar, kongsi barang dengan adik, suka tolong ayah dan ibu juga tolong cikgu dan kawan-kawan. Kubur kita juga kalau kita baik, Allah akan besarkan dan pasangkan lampu, kemudian Allah akan letakkan TV besar untuk kita tengok rancangan syurga. Best tak?” Saya memberikan khabar gembira buatnya dan motivasi agar balasan baik selepas kematian itu akan menjadi penghambat untuk dia menjadi insan yang lebih berbakti.

“Best-Best!” wajahnya kelihatan ceria.

“Tapi, kalau di dunia ini kita selalu buat jahat, bangun lambat dan tak solat subuh, degil dan tak dengar kata, kemudian malas baca buku dan selalu lawan cikgu, buang sampah merata-rata, buat jahat dengan adik dan kawan-kawan, Allah akan sempitkan kubur kita. Kemudian malaikat Munkar dan Nakir akan datang dan rotan kita dengan kayu besar. Kubur kita pun gelap dan Allah akan biarkan kita panas dalam kubur. Takut tak?” Balasan bagi mereka yang ingkar kemudiannya saya ceritakan, tapi dalam versi kanak-kanak yang lebih mudah dihadam fikiran.

“Takutnya!, Ayah, Humaira’ tak nak jadi jahat, esok ayah kejut Humaira’ solat subuh ye.” Wajahnya yang ceria tadi, bertukar mendung.

“Insyaallah. Emm, Humaira’, kita kena selalu berdoa pada Allah, agar Allah jadikan kita orang yang baik dan soleh, kemudian minta juga pada Allah agar Allah jauhkan kita dari rotan malaikat Munkar dan Nakir dalam kubur.”

“Baik, ayah, nanti ayah ajar ye doa tu.” Wajahnya kelihatan penuh pengharapan.

“Insyaallah, Ok, jom kita baca sama-sama, Humaira ikut ayah ye.”

“Allahummainni” saya membaca salah satu doa mohon perlindungan dari azab kubur yang mudah dan ma’thur, terdapat dalam himpunan al Ma’thurat dan kemudian diikuti oleh Humaira’.

“A’udzubika min azabil qabri” saya menyudahkan doa dalam bahasa arab dan kemudian saya membacakan maknanya pula.

“Ya Allah, jauhkanlah kami dari azab kubur”

“Amin” kami sama-sama mengaminkan doa. Dalam hati saya bersyukur kerana hari ini saya diberi peringatan tentang kematian. Moga tazkirah ini akan menjadikan saya lebih bermotivasi untuk menyemai taqwa dalam diri dan untuk memelihara ahli keluarga saya dari menjadi bahan bakar api neraka.

Mutiara Untuk Ibu Bapa

Hakikat kematian adalah antara perkara yang sering ditanya oleh anak-anak dan sebagai ibu bapa kita tidak harus mengelak atau merasa takut untuk menjelaskan tentang kematian kepada anak-anak yang masih kecil, kerana kematian akan hadir tidak kira masa dan usia. Menjelaskan tentang kematian, tidak harus menjadikan mereka manusia yang pengecut dan takut kepadanya. Jelaskanlah kepada mereka akan balasan baik selepas kematian kepada mereka yang rajin berbakti agar anak-anak akan termotivasi untuk menjadi manusia yang baik dan jangan lupakan juga penjelasan tentang balasan buruk buat mereka yang ingkar perintah tuhan. Penting juga untuk menjelaskan kepada anak-anak bahawa kematian seseorang bukanlah balasan kerana dia adalah seorang yang jahat, tetapi ceritakan kepada mereka bahawa tidak kira baik atau jahat, semua makhluk termasuk kucing, lembu, kura-kura, itik dan ayam semuanya akan mati, dan selepas matilah baru seseorang itu akan dihisab atas segala amal perbuatannya ketika di dunia.

1 comment:

  1. saya kira peringatan2 dalam blog ini sebagai sumber tarbiyah buat saya dan pembaca lain yg masih tercari2 jalan untuk memperbetulkan kesilapan2 yg pernah dilakukan...syabbas akhi!...teruskan dengan coretan2 tarbiyah seperti ini... moga ianya memberi manfaat buat semua pembaca...insyaALLAH...doa saya buat en. hisham, kak syifa, humaira' dan khadijah, moga sentiasa berada dlm rahmat dan lindungan Rabbul'alamin...

    ReplyDelete