KBAZ-Tahniah Pembina, Kita boleh menggegar!



Tahniah diucapkan kepada seluruh warga kerja PEMBINA setiap negeri yang telah berhempas pulas dalam memastikan kejayaan penganjuran Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis yang penuh gilang gemilang.

Penganjuran ini menjadi bukti bahawa kita boleh melakukan apa sahaja jika kita melakukannya, ayuh sahabat-sahabat PEMBINA semuanya, kita gegarkan Malaysia!

PEMBINA Boleh!

Nota : PEMBINA (Persatuan Belia Islam Nasional)
www.pembina.com.my

Siri 6 : Berbahagialah Wahai Penghuni Baqi'



Petang itu kami dibawa berziarah ke perkuburan Baqi bersebelahan Masjid Nabawi, tempat bersemadinya jasad ahli Bait (ahli keluarga nabi), 10000 para sahabat, para syuhada dan ahli Madinah.

Berbahagialah siapa yang disemadikan disini kerana syafaat nabi menanti bagi setiap penghuni Baqi. Penghuni Baqi juga akan menjadi golongan pertama yang akan dibangkitkan dari kubur masing-masing pada hari kiamat.

Dataran Baqi yang luas terhampar, memberi keinsafan kepada hati bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui mati. Hampir setiap waktu solat, akan ada jasad yang disemadikan disini, tanah kubur disini lapang tanpa sebarang binaan, bebas dari unsur khurafat dan bid'ah.

"Salam sejahtera untuk penghuni kampung ini dari kaum mukminin dan muslimin, semoga Allah merahmati orang yang telah mendahului kami dan yang masih tinggal, dan insyaallah kami akan menyusul kalian"

Siri 5 : Taman Syurga di Dunia



"Diantara rumahku dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga, dan mimbarku ini ada diatas telagaku" (Bukhari, Muslim)

Pengalaman bertamu ke raudah adalah antara koleksi pengalaman yang akan disimpan sepanjang hayat, pengalaman yang pasti akan membasahkan jiwa setiap kali mengingatinya.

Ketenangan solat di raudah adalah ketenangan yang tidak dapat dibeli dengan harta benda dunia, mencecahkan dahi di lantaian karpet hijau merebahkan segala ego keduniaan.

Tergambar bayangan saf para sahabat yang sedang khusyuk mendengar khutbah nabi, dibawah tarbiyyah ahli raudhah inilah lahir jiwa-jiwa kental yang menjadi tunggak kepada umat.

Raudah ini pernah menjadi saksi turunnya wahyu kepada nabi, rahmat Allah mencurah-curah turun di sini buat para ahlinya.

Tiang-tiang di raudhah ini setiapnya mempunyai sejarah yang tersendiri, Tiang Aisyah (119) tempat yang paling utama untuk solat, tiang Abu Lubabah yang pernah menjadi saksi penerimaan taubat Abu Lubabah sahabat yang mulia, Tiang Sarir, Tiang Mahras tempat sahabat berkawal menjaga nabi, Tiang Wufud, tempat Nabi melayan tamunya dan Tiang Murabba' Al Kubur, tempat persinggahan Jibril ketika menziarahi nabi.

Sungguh, aku bersyukur kerana diberi peluang untuk bersinggah dibawah limpahan rahmat dan kasih sayang Allah di raudah, benarlah bahawa ia adalah taman-taman syurga, wangiannya harum mendamaikan setiap jiwa yang menziarahinya.

Siri 4 : Cinta Madinah


Perjalanan kami diteruskan dari Jeddah ke Madinah, perjalanan 400 km yang mengambil masa lebih kurang 5 jam dengan menaiki bas. Kami tertidur sepanjang perjalanan dan hanya terjaga saat bas berhenti untuk solat Subuh di lokasi yang entah dimana.

Selepas Subuh, aku tidak dapat melelapkan mata, membayangkan sebentar lagi aku akan tiba ke Kota yang bercahaya, kota yang bercahaya dengan keimanan, nubuwwah dan perjuangan.

Madinah adalah kota yang mempunyai banyak kisah bagaikan sebuah kitab sejarah yang terhampar luas, Kota ini mulia, penduduknya mulia, masjidnya mulia, sukatan dan timbangannya diberkati, Madinah ibarat pembakar besi yang akan menghilangkan karat-karat yang berdaki.

Madinah adalah kota yang harus setiap hati jatuh cinta padanya, ingin mati didalamnya kerana ia adalah kota yang cukup dicintai oleh Rasulullah yang mulia, cukuplah hadis-hadis sahih dibawah ini sebagai bukti cinta Nabi terhadap Madinah dan keutamaan untuk kita menziarahinya

”Ya Allah berilah kami kecintaan kepada Madinah seperti cinta kami kepada Mekah atau melebihinya(Bukhari)”.

" Ya Allah! Berkahilah kami di kota Madinah kami. Ya Allah! Berkahilah kami pada rezki kami. Ya Allah! Berkahilah kami pada makanan kami. Ya Allah! Jadikanlah satu keberkahan menjadi dua keberkahan.(Muslim)"

" Barangsiapa yang mampu untuk meninggal di Madinah, maka meninggallah di sana karena sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada orang yang meninggal di sana. (Tirmizi)"



Kami tiba di Madinah lebih kurang jam 9 am. Ketika bas melalui jalan bersebelahan Masjid Nabawi, kelihatan kubah hijau dibawahnya tempat Rasulullah bersemadi, hatiku menangis, ketika menulis artikel ini juga hatiku menangis dek kerana kerinduanku kepada Masjid Nabawi dan penghuni-penghuninya yang mulia.

Kami sampai dan terus meletakkan beg di hotel, kemudian Ustaz Halim selaku ketua rombongan terus mengajak kami untuk menziarahi Masjid Nabawi dan menziarahi Rasulullah, Masyaallah, bagaikan mimpi terindah yang tidak pernah terbayang sebelum ini, tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan diri ini pada pagi yang penuh dengan rahmat itu.

Kami masuk di Babul Salam dan kemudiannya terus ke Maqam Rasulullah, disana ku lihat ramai yang basah matanya, aku terpegun berhadapan dengan Maqam itu, bagaikan Rasulullah, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar berada dihadapan kami, tersenyum dan menjawab salam, oh! satu keindahan yang tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.

"Salam sejahtera, rahmat Allah dan keberkatannya untuk mu ya Rasulullah

Siri 3 : Solatlah Walau Dimana Kamu Berada



Perjalanan untuk menunaikan Umrah adalah satu kembara hati dan perjalanan yang penuh dengan ujian-ujiannya yang tersendiri. Kami sendiri merasa sangat beruntung dapat diberikan kesempatan untuk bertamu ke rumahnya yang agung. Kesempatan yang kami perolehi ketika usia kami masih sangat muda belia. Sungguh kami merasa amat bertuah dan bersyukur atas nikmat yang tidak terhingga ini.

Kami bertolak ke KLIA dari rumah jam 800 am, memandangkan urusan check in perlu dilakukan 4 jam sebelum kapalterbang berlepas. Selesai solat sunat musafir dan berdoa, kami memulakan kembara agung ini. Hati ini berdebar-debar sepanjang perjalanan, berdebar kerana sedar bahawa hati ini gelap pekat dengan dosa dan maksiat, risau jika ibadah di sana tidak diterima Allah, dan kunjungan hanya menjadi kunjungan yang sia-sia semata.



Selesai urusan check in dan sebagainya, kami menaiki kapalterbang Pakistan Airlines jam 1200 pm menuju ke Karachi, transit persinggahan pertama sebelum terus ke Jeddah. Satu pengalaman yang cukup mendebarkan memandangkan kami belum pernah menaiki kapalterbang untuk ke mana-mana destinasi di luar negara. Hanya sekali kami berkesempatan untuk menaiki Air Asia dari Alor Setar ke KL sebelum ini. Mata saya tidak terlepas dari memandang ke luar, dan bibir tidak henti-henti mengalunkan zikir dan doa agar diselamatkan perjalanan hingga ke destinasi.

Selepas makan tengahari yang menyelerakan, jam menunjukkan pukul 2.30 pm, kami mula tertanya-tanya, bagaimana caranya hendak solat diatas kapalterbang, wudhuk telah kami ambil semasa di KLIA tadi dan alhamdulillah masih lagi kekal. Pakcik yang duduk disebelah melihat saya terpinga-pinga tanpa dipinta menerangkan caranya

"Untuk solat, adik cuma perlu menghadap kiblat yang mana kiblat adalah selari dengan arah perjalanan kapalterbang ini, jika mampu adik solat berdiri, berdiri lebih baik, tapi jika keadaan sukar, maka solat sahaja di tempat duduk, rukuk dan sujud isyaratkan saja, sujud harus lebih rendah dari rukuk"

Alhamdulillah, penerangan yang ringkas dan padat itu memudahkan kami. Ini pengalaman pertama kami solat di atas kapalterbang. Menarik dan mendebarkan.

Begitu juga ketika perjalanan pulang, kami turut solat subuh diatas kapalterbang memandangkan waktu subuh masuk dan berakhir ketika kami masih di atas kapalterbang.

Sesungguhnya Islam itu mudah dan memudahkan, apa yang penting solat mesti dijaga walau dimana jua kita berada, hatta diatas perahu atau diatas pokok sekalipun, solat harus ditegakkan.

Namun, amat menyedihkan melihat terdapat sebahagian dari Jemaah yang lalai dalam solatnya, meninggalkan sahaja solat dengan alasan untuk Qadha bila sampai ke destinasi. Tiada istilah Qadha kerana solat wajib didirikan dalam apa jua keadaan sekalipun, jika tidak mampu berdiri, duduk, jika duduk pun tidak mampu, berbaring, jika tidak mampu juga, isyaratkan dengan mata atau hati, jika semuanya sudah tidak mampu, panggil sahaja orang ramai untuk menyolatkan diri.

Berada diatas kenderaan bukan alasan untuk meninggalkan solat, begitu juga ketika menaiki bas, wajib kita untuk menyuruh pemandu bas berhenti pada waktu solat, terutamanya jika perjalanan melalui waktu subuh.

Solat adalah kefardhuan yang telah ditentukan waktunya untuk orang-orang yang beriman, tunaikanlah ia walau dimana kita berada.

Alhamdulillah, kami tiba di Jeddah jam 8 pm waktu Arab Saudi, di lapangan terbang kami disambut oleh ketua rombongan iaitu Ustaz Abdul Halim Abdullah. Satu suasana yang cukup berbeza berbanding Malaysia, pemeriksaan di lapangan terbang agak ketat dan rumit berbanding di Malaysia dan terdapat Masjid yang cukup besar di dalam lapangan terbang, suasana ibadah mula menggamit hati yang hitam ini.