Ustaz Fisol yang Saya Kenali

Selain dari ibu bapa, keluarga dan murabbi (pendidik) pertama saya di Matrikulasi dan zaman pengajian di Universiti Utara Malaysia, Akh Muhammad Shakirin Shaari, individu yang paling banyak mencorak dan mewarnai kehidupan saya adalah Ustaz Abdul Fisol Bin Md Isa, atau Ustaz Fisol.

Saya mengenalinya hampir lapan belas tahun, sejak saya masih bersekolah di Lembah Keramat. Ketika itu beliau masih bertugas sebagai guru di sekolah tahfiz yang terletak berhampiran masjid Sobirin, hampir dengan rumah saya di Taman Permata. Saya sering menghadiri kuliah Maghribnya tentang Tafsir dan Sirah yang disampaikan di Masjid Sobirin dan kuliah kendalian beliau adalah antara kuliah yang paling saya dan ayah saya minati ketika itu.




Selepas Ustaz berpindah ke Kedah, saya tidak pernah terfikir untuk bertemu dengannya lagi. Namun ‘jodoh’ saya dan Ustaz rupanya masih panjang. Ditaqdirkan Allah, saya mendapat tawaran pengajian ke UUM, dan melalui program-program dakwah dan tarbiah yang dianjurkan oleh Akh Shakirin di Kolej EON ketika itu, saya bertemu semula dengan Ustaz Fisol yang menjadi antara tenaga utama untuk menyampaikan pengisian dalam siri daurah fikrah haraki (fikrah gerakan islam) yang saya dan rakan-rakan lalui. Antara yang masih saya ingat, adalah penyampaian daurah tentang kepentingan Al Quran yang disampaikan melalui kaedah Rasmul Bayan. Cukup berharga.

Contoh Rasmul Bayan Makna Al Ilah


Saya melalui banyak siri pengajian bersama beliau. Antaranya kuliah hadis Sahih Bukhari yang dianjurkan selama bertahun-tahun di masjid UUM, Fathul Qorib (fiqh ibadah Imam Syafi’ie) di syarikat Masdar (kendalian Akh Amar Maarof) dan kemudiannya kuliah hadis di Pejabat ISMA Jitra.

Ustaz sentiasa menekankan kepada saya, bahawa jika ingin menjadi orang yang dihormati, mesti melalui ilmu dan sebelum menguasai ilmu dunia, ilmu asas dalam ibadah mesti dikuasai dengan sempurna.

Banyak perkara berkaitan dengan ibadah, terutamanya berkaitan Solat, saya pelajari dari Ustaz Fisol. Sehingga hari ini, jika mempunyai permasalahan berkaitan ibadah, saya dan isteri akan menghubungi Ustaz untuk mendapatkan pencerahan. Nama ketiga-tiga anak kami juga punya sentuhan Ustaz Fisol.

Ketika menjadi salah seorang mutarabbi (anak usrah) beliau, saya masih ingat, antara penekanan yang diberi adalah berkenaan dengan tilawah, hafazan dan Qiamullail. Displin yang tegas di dalam usrah membolehkan saya menghafaz banyak ayat-ayat dari Al Quran di bawah kendalian Ustaz.

Saya mengenali Ustaz sebagai seorang ilmuan yang sentiasa tawadhuk, dan tidak pernah mengeluh dengan kesusahan. Beliau tinggal di rumah sewa yang sama di Kedah sejak belasan tahun. Perabot rumah juga seingat saya tidak pernah bertukar. Bertahun-tahun Ustaz menggunakan Nissan Sunny dan Proton Saga lama dan kini barulah ‘upgrade’ sikit ke Perodua Viva. Selain mengajar di masjid dan pejabat, Ustaz juga pernah mempunyai perniagaannya sendiri. 

Sebelum menjadi calon Parlimen dan DUN di kawasan Alor Setar dan Derga, Ustaz menghabiskan masa bertahun-tahun bekerja menjual dan membaiki basikal selain top up prepaid dan beraneka jenis barangan runcit keluaran muslim. Beberapa kali ketika menjemput beliau untuk memberi kuliah, saya perasan, tangannya sedikit hitam dan kasar seperti tangan mekanik kereta, menggambarkan susahnya kehidupan yang beliau lalui. Siang hari di kedai basikal, menguruskan jualan dan membaiki basikal yang rosak. Malam hari pula beliau mengajar di masjid-masjid sekitar Alor Setar. Hujung minggu pula berniaga di Pasar Nat dan mengajar di masjid-masjid.

Perniagaan basikal dan kedai runcit tersebut akhirnya terpaksa ditutup kerana kedai tersebut mengalami kecurian beberapa kali hingga menyebabkan kerugian teruk dan Ustaz tidak mampu untuk meneruskannya lagi.

Walaupun tidak mewah dari segi dunia, namun anak-anaknya sentiasa dipastikan untuk mendapat pendidikan yang terbaik. Miqdad, anak sulung yang saya kenal sejak kecil, adalah antara pelajar terbaik Maktab Mahmud Alor Setar dan kini sedang di tahun-tahun akhir kuliah perubatan di Mesir. Habib dan Muthanna juga tidak ketinggalan, keduanya masih di Mesir dan menjadi tonggak dakwah ISMA di sana.

Banyak kisah peribadi yang saya dan Ustaz kongsi bersama dan dalam setiap ruang, pasti ada ilmu baru yang dipelajari. Ketika berjaulah, dalam kuliah pengajian, ketika saat-saat getir kelahiran anak pertama, ketika motor saya pancit di tengah bandaraya alor setar di tengah malam buta dan banyak lagi. Tidak muat rasanya ruangan ini untuk menceritakan semuanya.

Ustaz juga manusia biasa, terdedah kepada kelemahan, sesuai dengan sifatnya sebagai manusia. Namun cukuplah saya katakan bahawa ISLAM adalah teras kehidupan beliau dan keluarga, dan kebahagiaan akhirat adalah cita-citanya yang dikongsi bersama keluarga, ahli-ahli ISMA, anak-anak kuliah di masjid dan surau dan ahli masyarakat sekitar yang cukup kenal dengan beliau dan amal yang dilakukannya terutama dalam tarbiah masyarakat untuk memahami ISLAM dengan sempurna.

Antara pimpinan dan generasi awal ISMA Kedah
Bila saya mengetahui Ustaz dicalonkan untuk bertanding di peringkat Parlimen dan DUN, saya amat gembira kerana saya tahu beliau adalah calon Muslim yang amat berwibawa. Mengenali Ustaz secara peribadi, saya yakin, Ustaz akan mampu untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada pengundi-pengundi di kawasannya dan menjadikan ISLAM sebagai teras dalam khidmatnya kepada ummah.



Justeru itu, dengan penuh rasa sedar dan tanggungjawab dan sebagai kesaksian kepada syahadah yang saya lafazkan, Dengan nama Allah, saya menyeru kepada semua pengundi Muslim di Parlimen Alor Setar dan DUN Derga untuk mengundi Ustaz Fisol bagi meletakkan suara Islam yang lebih kukuh di Parlimen dan DUN, apatah lagi bila kedua-dua Parlimen dan DUN ini akan ditandingi oleh bukan Muslim walaupun mempunyai majoriti Muslim sebagai penduduk.

Sama-sama kita bekerja untuk mendaulatkan ISLAM di dalam negara. Moga ISLAM akan berdaulat, dan Malaysia akan bertambah sejahtera. 

No comments:

Post a Comment