Makna Kejayaan Sebuah Perjalanan Panjang



Semenjak saya mendaftar di University of Adelaide sebagai pelajar PhD dalam bidang Sistem Maklumat setahun setengah yang lalu, rasanya belum pernah saya menulis walau satu ‘entry’ secara spesifik berkenaan perjalanan pengajian yang dilalui.

Sayang juga kerana jika satu hari nanti saya ingin menoleh kembali untuk mengimbau kenangan lama, saya mengharapkan agar bukanlah artikel jurnal usang berconteng-conteng atau draf tesis 150 halaman yang menjadi penggamit memori, tapi biarlah catatan-catatan pengalaman unik yang akan berbicara dengan bahasa pengalaman yang amat kaya.

Kembara PhD adalah satu pengalaman unik yang mungkin kecil, tapi cukup signifikan dalam kehidupan seorang akademia (meminjam ayat hikmat Dr Kamil). Setiap yang melaluinya, akan menghadapi cabaran yang tersendiri. Setiap orang akan punya masalah dan pengalaman yang berbeza-beza.

Ada yang diuji dengan masalah keluarga. Mungkin dalam bentuk ayah dan ibu di kampung kurang sihat bahkan banyak juga yang saya dengar kehilangan orang yang tersayang ketika dalam pengajian.

Ada yang diuji dengan masalah kesihatan. Kulit mengelupas tika musim sejuk, tiba-tiba didiagnos dengan sakit kencing manis, darah tinggi dan ada juga yang mendapat kanser.

Amat banyak juga yang diuji dengan masalah penyelia. Penyelia tidak memahami, terlalu sibuk, ‘racist’, meletakkan harapan terlalu tinggi, ‘perfectionist’ tidak bertempat dan macam-macam lagi karenah.

Oleh kerana cabaran-cabaran yang dinyatakan di atas dan banyak lagi yang tidak terungkap pastinya, tidak ada satu sifir sempurna yang boleh diaplikasikan oleh setiap orang untuk menyelesaikan atau untuk memastikan pengajian dapat dihabiskan tepat pada masanya.

Bukan tidak bersungguh, bukan tidak merancang, bukan miskin usaha, tapi banyaknya ranjau luar kawal di sepanjang perjalanan yang membantutkan langkah. Tanyalah sendiri pada mereka yang telah melalui atau sedang melaluinya.

Namun, satu yang saya pasti, makna sebenar kejayaan bagi seorang pelajar PhD bukan sekadar pada cepat atau lambatnya menamatkan pengajian, bukan juga pada banyaknya tulisan-tulisan yang diterbitkan oleh jurnal-jurnal berkualiti, bukan juga pada tebalnya halaman tesis yang dihantar. Ia sebahagian daripadanya dan boleh dikatakan sebagai penanda aras kejayaan seseorang dalam pengajian, tapi ia bukan sekadar itu. BUKAN SEKADAR ITU.

Pada saya, makna sebenar kejayaan bagi seorang pelajar PhD adalah apabila dia dapat menjadi manusia yang lebih baik dari sebelumnya, bukan sekadar dari aspek kesarjanaan dalam bidang kajian yang dikajinya, tapi juga lebih baik dalam sisi lain kehidupannya.

Dia menjadi lebih tawadhuk dengan ilmu dan tahu menghormati perbezaan pendapat dan adab untuk berbeza pendapat dengan para sarjana.

Dia menjadi manusia yang lebih cemerlang dalam mengimbangi tanggungjawab dirinya sebagai ketua keluarga (juga pasangan) yang bertanggungjawab terhadap anak-anak (jika telah berkahwin), anak yang sentiasa taat dan berbakti kepada kedua orang tuanya dan bermanfaat kepada ahli masyarakatnya yang lain.

Dia menjadi manusia yang lebih amanah dengan masa, lebih tersusun urusan kehidupannya, tahu menyusun keutamaan diri terutamanya dalam aspek penjagaan kesihatan dan sentiasa sabar dalam memikul amanah.

Dia menjadi manusia yang lebih baik dalam mengurus masalah, tahu cara untuk bangkit selepas rebah dan tentunya lebih sabar dalam mengurus konflik perasaan dan tekanan yang sentiasa hadir akibat banyaknya masalah yang timbul.

Banyak lagi aspek-aspek kualiti diri yang bagi saya adalah makna sebenar kejayaan bagi seorang pelajar PhD. Jika selepas 4 tahun atau 5 tahun perjalanan, ditaqdirkan Allah ijazah itu bukan miliknya walaupun selepas berusaha bersungguh-sungguh, namun jika kualiti-kualiti ini telah terbina, sebenarnya kejayaan itu telah pun berjaya dimiliki.

Kerana kejayaan itu adalah perjalanan, bukan tujuan.

Salam perjuangan kepada semua sahabat-sahabat sepengajian!

1 comment:

  1. 2 thun yg lepas, saya berazam untuk menyambung sarjana adalah disebabkan tak puas hati dengan apa yg saya capai sewaktu degree.perjalanannya juga bukan mudah..reaction yg selalu tak menjadi.percubaan yang sentiasa gagal & kdg2 sy seringakali rasa berputus asa dengan apa yang perlu dihadapi.sy sgt bersetuju..perjalanan yg indah tu bkn terletak pada kejayaan membuat pembntangan di conference, jurnal yg ditulis & tesis yg dirangka..tetapi ia indah pd apa yg dipelajari di setiap jalan yg dilalui...perjalanan yg pnjang ini memberi peluang pd sy utk mengutip ilmu& pnglaman dr akhawat di medan ini...He knows better..
    ~alhamdulillah..terima kasih Allah

    ReplyDelete