Menanam Empati Dalam Diri Anak-Anak

“Ya Allah, berak lagi ke adik ni?”

Saya berkata sendiri ketika tercium bau busuk semasa mendukungnya. Hari ini masuk hari ke empat Khadijah mengalami cirit birit dan hari ini sahaja telah beberapa kali lampinnya bocor kerana terlalu banyak najis cair yang keluar setiap kali dia cirit menyebabkan lampin pakai buang Pet Pet yang dibawa dari Malaysia tidak mampu untuk membendungnya.

Setiap kali lampinnya bocor, pasti akan terkena pada seluar dan jika kami tidak berhati-hati dan tidak cepat menyedarinya, besar kemungkinan akan terpalit pada tempat lain pula. Lebih memedihkan, punggungnya juga telah kemerahan menyebabkan dia menangis setiap kali cirit dan paling mencabar bagi kami dan juga dia adalah hendak membersihkan najis pada punggung dan pada seluarnya dalam suasana yang sangat sejuk. Walaupun menggunakan alat pemanas air, namun kesejukan yang begitu mencengkam cepat sahaja akan menghilangkan kepanasan dari alat pemanas.

Musim sejuk begini di Australia kanak-kanak memang mudah terdedah kepada jangkitan virus yang akan menyebabkan sakit yang pelbagai seperti demam, selsema, sakit kepala dan cirit birit. Minggu lepas Humaira’ mengalaminya dan kini giliran Khadijah pula menjadi mangsa.

“Ayah, bila kita nak pergi Zoo ni? Bukankah ayah dah janji?” Humaira’ datang menagih janji dengan wajah yang tidak ingin memahami kesulitan yang sedang dihadapi saat saya sedang menukar lampin Khadijah yang sedang menggigil kesejukan.

Masa yang sungguh tidak kena untuk bertanya, walaupun minggu lepas saya telah berjanji padanya untuk membawanya ke Taman Haiwan Liar Goerge untuk melihat Kanggaroo, Koala dan Wombat.

Asalnya kami bercadang untuk ke taman tersebut hari ini sempena cuti hari lahir Ratu British, namun, disebabkan oleh adik Khadijah yang masih belum pulih dari cirit, saya dan isteri memutuskan untuk menangguhkan dulu perancangan dan janji tersebut. Bimbang jika adik Khadijah tercirit ketika perjalanan yang tentunya akan menyebabkan keadaan menjadi sukar. Ada juga kebimbangan ciritnya nanti akan bertambah teruk dek kerana jangkitan dari virus-virus yang ada di taman haiwan liar tersebut.

“Iye, memanglah ayah dah janji, tapi lihatlah keadaan adik Khadijah, macamana kita hendak ke Zoo dalam keadaan adik sedang cirit begini?” saya menjelaskan sambil meletakkan bedak dan memakaikan Khadijah lampin.

“Alaa, bawalah seluar lebih, kalau bocor nanti tukar sahajalah.” Humaira’ memberikan cadangan. Masih tidak mahu mengalah dan masih tidak cuba untuk memahami.

“Senangnye Humaira’ cakap ye, kalau adik tercirit, bukannya Humaira’ yang akan basuh nanti. Lagipun dekat sana kita tak tahu tandasnya macamana, entah ada atau tidak, dan kalau adapun mungkin tiada air panas.” Saya membidas cadangannya kerana yang susah nanti bukannya dia, tapi kami yang akan pening kepala.

“Kalau adik dah sihat, nanti kita pergilah ye. Insyaallah.” Saya memberikan jaminan. Keizinan Allah sebagai tebusan.

“Ala, kalau begitu, kita sahajalah pergi minggu ini, adik tak payahlah ikut, duduk dengan ibu je kat rumah, boleh tak?” Humaira’ memberikan cadangan lagi, kali ini membuatkan telinga saya sedikit panas tika mendengarnya.

“Mana boleh begitu.” Saya membalas dengan suara yang agak tegas dan kemudian memandangnya tajam.
Humaira’ menundukkan kepala, mungkin tahu cadangannya tadi agak sedikit keterlaluan.

“Cuba Humaira’ bayangkan, kalau yang tercirit ini adalah Humaira’. Seronok tak kalau waktu Humaira’ tercirit, ayah pergi Zoo dengan adik dan tinggalkan Humaira’ di rumah dengan ibu.” Saya menjelaskan lagi. Meletakkan dirinya pada kedudukan adik Khadijah agar dia lebih memahami. Juga agar dia lebih empati.

“Seronok tak?”

Saya bertanya lagi, melihat dia menundukkan wajah sambil membatukan diri membuatkan saya jadi kasihan. Namun, sifat buruk sebegini harus segera dibersihkan. Pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesusahan orang lain adalah sifat yang amat tidak disukai oleh tuhan dan juga manusia.

Kepalanya digelengkan perlahan.

“Apa yang kita tak suka pada diri kita, jangan buat pada orang lain Humaira’. Kalau Humaira’ sendiri tak suka kena tinggal, jangan sesekali fikir untuk buat pada adik. Faham tak?” Saya menjelaskan dengan nada sedikit membebel. Dia menundukkan wajah mendengar sedikit leteran saya pagi itu. 

Empati itu adalah pada memahami jiwa manusia serta merasai keperitannya. Pada cirit adik Khadijah, ada tarbiah tentang empati untuk kakaknya.

“Sudahlah Humaira’, Insyaallah kalau minggu depan adik dan sihat, kita akan pergi. Lepas ini jom kita sama-sama main belon tampar nak?” Saya merendahkan sedikit suara, mengajaknya untuk bermain bagi melupakan sedikit kesedihan.

Ketika menyudahkan urusan Khadijah, saya terfikir sendiri. 


Empatikah saya pada perjuangan Rasul dan para sahabat untuk menegakkan agama. 


Empatikah saya pada ibu bapa saya yang selama ini berusaha keras untuk memastikan kejayaan anak-anaknya. 


Empatikah saya ketika melihat isteri membasuh pinggan dalam suasana yang sejuk, empatikah saya ketika melihat isteri membasuh lauk untuk dimasak tanpa gagal setiap hari.

Mendidik anak tentang teori empati mungkin satu perkara yang mudah, tapi untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan sendiri memerlukan mujahadah.

“Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan”



Pengajaran: 

Mendidik anak memahami sifat empati adalah antara perkara penting yang perlu diterapkan dalam minda kanak-kanak yang sedang membesar dan baru hendak belajar bersosial bersama dengan rakan-rakannya. Terutama yang berusia 5-8 tahun.


Kegagalan memahami empati akan menyebabkan anak itu membesar menjadi seorang yang pentingkan diri sendiri dan tidak akan pernah faham akan kesusahan yang sedang dialami orang lain.

Memahami empati juga, adalah perkara paling asas dalam menjadikan seorang manusia itu sebagai pendakwah yang baik kerana pendakwah yang sentiasa peka akan kesusahan dan keperitan yang dialami oleh orang lain akan sentiasa cuba bersungguh-sungguh untuk menjadi penyelesai kepada masalah yang sedang dihadapi oleh umat.

No comments:

Post a Comment